20200625 - kes buruh (2)

IPOH, PERAK: 2 daripada 3 orang pekerja pembersihan di Proton Tanjung Malim telah dipulihkan kerja selepas proses rundingan damai di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Perak pada 24 Jun 2020.

Sesi yang diadakan pada 24 Jun 2020 ini merupakan rundingan damai yang kedua di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan yang diadakan antara 3 orang pekerja pembersihan yang diberhentikan kerja dengan majikan mereka, Perkhidmatan Arah (M) Sdn. Bhd. Pekerja-pekerja tersebut telah diwakili oleh L. Danaletchumi yang merupakan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), sementara pihak majikan diwakili oleh Mohd Noor selaku Pengurus Besar syarikat Perkhidmatan Arah (M) Sdn. Bhd.

3 orang pekerja tersebut telah diberhentikan kerja secara tiba-tiba tanpa notis penamatan perkhidmatan dan tidak mengikut prosedur yang betul. Lebih-lebih lagi mereka diberhentikan kerja semasa Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pekerja yang diberhentikan kerja ini memfailkan kes di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, untuk menuntut supaya dipulihkan kerja. Rundingan Pertama telah diadakan pada 09 Jun 2020, dan majikan memberitahu bahawa syarikat Proton yang mengarahkan untuk mengurangkan bilangan pekerja apabila kontrak perkhidmatan pembersihan yang dipegangnya diperbaharui pada 15 April 2020, maka pekerja-pekerja berkenaan dihentikan. Majikan diarahkan oleh JPP untuk memberikan dokumen berkaitan kontrak barunya dalam sesi rundingan damai kedua pada 24 Jun 2020.

Oleh kerana adanya 2 kekosongan di Proton, majikan mencadangkan bahawa untuk 2 orang pekerja yang berkhidmat lebih lama, kerja mereka akan dipulihkan tanpa sebarang bayaran gaji tunggakan. Pekerja tidak bersetuju dan menuntut pembayaran gaji ke belakang selama 2.5 bulan yang berjumlah RM3,000. Pada awalnya, majkan hanya bersetuju untuk memberi sagu hati sebanyak RM 300, tetapi pekerja enggan mengalah dan terus bertegas dengan pembayaran gaji tunggakan RM 3,000.

Selepas rundingan yang berterusan, akhirnya majikan bersetuju untuk menjelaskan gaji tunggakan sejumlah RM 2,500 dan memulihkan kerja untuk 2 orang pekerja. 2 orang pekerja tersebut diminta untuk memulakan kerja pada 26 Jun 2020.

Walaupun 2 orang pekerja sudah dipulihkan kerja dengan bayaran gaji ke belakang, namun seorang lagi pekerja tidak dipulihkan kerja oleh pihak majikan dengan alasan pekerja ini hanya bekerja selama 10 bulan dan keutamaan diberi kepada pekerja lama. Bagi pekerja ini, kes akan disambung di Mahkamah Perusahaan. Perjuangan pekerja ini akan diteruskan.

Syabas kepada 2 orang pekerja yang dapat kembali bekerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *