20200613-49-greta-acosta-reyes_mujeres-que-luchan_cuba
Poster oleh oleh Greta Acosta Reyes (Kuba), Wanita yang melawan

Dunia kita sedang menghadapi krisis yang mendalam dengan penularan pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi di peringkat global. Negera-negara Selatan Global, yang kebanyakannya merupakan negara-negara sedang membangun, menerima impak yang besar akibat daripada krisis global ini. Oleh yang demikian, Tricontinental: Institute for Social Research telah membangunkan satu agenda 10-perkara untuk dunia pasca COVID-19. Agenda ini boleh menjadi panduan atau rujukan kepada gerakan masyarakat kita untuk memperjuangkan alternatif kepada sistem kapitalis global yang sedia ada.

Berikut ialah 10 perkara yang terkandung dalam agenda tersebut: 

1. Menangani pandemik global

Keutamaan kita sekarang ini adalah untuk menangani pandemik global. Untuk mencapai matlamat ini, meningkatkan dan menumpukan pengeluaran sektor awam kepada menghasilkan lebih banyak pelitup muka, kelengkapan perlindungan, alat pernafasan, hospital lapangan dan peralatan ujian untuk seluruh rakyat perlu dijadikan keutamaan. Perkara ini sudah pun berlaku di negara seperti Vietnam dan Venezuela. Ia adalah penting untuk mewujudkan kawalan pekerja ke atas keadaan kerja supaya pekerja – iaitu mereka yang berada di kedudukan yang terbaik untuk membuat keputusan – boleh dijamin persekitaran kerja yang bersih dan bebas jangkitan. Sekiranya tiada tindakan orang awam yang memadai, kerajaan perlu mewujudkan rancangan kerja untuk mengupah rakyat dalam projek-projek yang bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan dan memastikan semua rakyat mendapat makanan, pakaian dan berada dalam keadaan sihat. Tindakan awam sebegini boleh belajar daripada koperasi-koperasi di Kerala, India, dan Jawatankuasa untuk Pertananan Revolusi yang wujud di negara Kuba. Tenaga kerja dalam sektor yang tutup – seperti pelancongan – patut diambil segera ke dalam kerja-kerja yang diperlukan untuk melawan pandemik. 

2. Memperluaskan solidariti perubatan

Satu barisan bersatu negara-negara Selatan Global perlu menolak had yang dikenakan ke atas gaji sektor kerajaan yang dibawa oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pemiutang. Oleh sebab wujudnya had-had sebegini, negara-negara yang pernah dijajah telah kehilangan kakitangan perubatan yang berhijrah ke negara-negara Atlantik Utara. Negara-negara perlu menggunakan sumber mereka yang bernilai untuk meningkatkan pendidikan perubatan awam dan melatih pekerja-pekerja perubatan dalam komuniti-komuniti untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan awm. Internasionalisme perubatan ALBA (Perikatan Bolivarian untuk Rakyat Amerika Kita), dengan briged perubatan Kuba yang mengambil peranan memimpin, perlu menjadi model untuk dunia melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Internasionalisme perubatan China akan memainkan peranan penting di sini setelah Amerika Syarikat menarik diri daripada WHO. Seluruh sektor swasta harus dimiliknegarakan, dan pusat-pusat perubatan yang lebih kecil perlu diwujudkan supaya rakyat boleh mengakses kemudahan kesihatan awam dengan mudahnya. Kerajaan harus menarik diri daripada insurans awam untuk perkhidmatan kesihatan swasta; dalam erti kata lain, tiada lagi subsidi awam untuk perkhidmatan kesihatan swasta. Sistem kesihatan awam perlu diperkukuhkan, termasuk pengeluaran kelengkapan perubatan dan ubat-ubatan serta pengagihan ubat-ubatan penting (di mana harga perlu dikawal dengan peraturan)/

3. Mewujudkan harta awam intelek

Negara-negara Selatan Global perlu mendesak untuk pembatalan Perjanjian TRIPS (Aspek Hak Harta Intelek Berkaitan Perdagangan), yang memberikan hak harta yang tiada sekatan ke atas barangan yang sepatutnya merupakan sebahagian daripada hak awam (commons) global. Ini diaplikasi secara langsung pada vaksin COVID-19, yang harus ditawarkan untuk pengeluaran di negara-negara tanpa pertimbangan keuntungan atau hak harta intelek. Namun, ia juga harus diaplikasikan secara samarata pada mana-mana ubat-ubatan farmaseutikal, di mana kebanyakannya dibiayai dana awam – tetapi keuntungan diambil oleh sektor swasta – dan teknologi tenaga yang akan memindahkan kita dengan cepat dari bahan api fosil ke sumber tenaga boleh diperbaharui, di samping teknologi komunikasi yang lebih efisien (seperti 5G). Dalam jangka masa yang pendek, negara-negara Selatan Global perlu mempertingkatkan mekanisme untuk pemindahan sains dan teknologi dalam kalangan mereka.

4. Membatalkan hutang

Anggaran yang munasabah menunjukkan bahawa “negara-negara sedang membangun” menanggung sebanyak USD11 trilion hutang luar, dengan bayaran khidmat hutang untuk tahun ini sahaja dianggarkan sebanyak USD3.9 trilion. Dengan wujudnya kemelesetan akibat koronavirus, bayaran yang sedemikian adalah tidak masuk akal. Pelepasan hutang perlu melangkaui 47 “negara-negara yang kurang membangun” dan termasuk semua negara di Selatan Global. Pelepasan hutang ini bukannya hanya penangguhan pembayaran balik hutang, tetapi ia perlu membatalkan hutang (daripada kedua-dua pemiutang awam dan swasta). Satu gabungan antarabangsa perlu dibentuk berasaskan fron yang meluas untuk mendesak pemiutang supaya membatalkan hutang demi membolehkan semua sumber yang disalurkan kepada pembayaran hutang dapat dialihkan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan masyarakat.

5. Mengembangkan solidariti makanan

Separuh daripada penduduk dunia hari ini terpaksa bergelut dengan kelaparan. Kedaulatan makanan dan solidariti makanan ialah ubat penawar yang penting, seperti yang telah ditunjukkan oleh platform-platform seperti Via Campesina. Kawalan korporat ke atas pertanian perlu dicabar dan pengeluaran makanan perlu dijadikan keutamaan hak asasi manusia. Dana perlu dikumpulkan untuk meningkatkan pengeluaran makanan. Dana ini perlu dibelanjakan dalam infrastruktur untuk pengeluaran pertanian (termasuk mempertingkatkan projek-projek seperti Bank Benih ALBA). Sistem pengagihan awam yang sejagat perlu diperkukuhkan untuk memberikan pendapatan yang lebih tinggi kepada petani-petani dan memastikan pengagihan makanan kepada rakyat. Lanskap luar bandar yang lebih mantap akan mengurangkan kesesakan bandar dan menarik minat orang ramai untuk menjalani kehidupan yang bermakna di kawasan luar bandar.

6. Mempertingkatkan dan melabur dalam sektor awam

Kejutan wabak koronavirus menunjukkan bahawa sektor swasta memang tidak mampu menangani kecemasan, apatah lagi keperluan manusia. Negara-negara Selatan Global perlu memimpin dengan menawarkan pertahanan mantap untuk sektor awam, bukan sahaja untuk pengeluaran barangan dan perkhidmatan penting (ubat-ubatan dan makanan), tetapi juga untuk apa-apa yang penting untuk kehidupan zaman moden – lebih banyak perumahan awam, lebih banyak pengangkutan awam, lebih banyak Wi-Fi awam, dan lebih banyak pendidikan awam. Membenarkan sektor yang mengaut keuntungan untuk mengkomoditikan bahagian-bahagian kehidupan manusia ini telah menghakis keupayaan kita untuk membina sebuah masyarakat yang bertamadun.

7. Melaksanakan cukai kekayaan

Pada masa ini, lebih kurang USD32 trilion disimpan di tempat berlindung cukai luar pesisir, dan jumlah wang yang tidak diberitahu memang tidak dikira untuk percukaian. Dua perkara adalah perlu: yang pertama, mendapatkan semula wang yang mengalir keluar secara haram, dan yang kedua, mengenakan cukai kekayaan sewajarnya ke atas lapisan atasan golongan kapitalis dan elit pemilik tanah yang kaya, serta pemodal kewangan dan mereka yang terlibat dalam spekulasi kewangan. Dana ini akan mencukupi untuk mengalihkan keutamaan untuk membasmi kemiskinan, kelaparan, buta huruf, kehilangan tempat tinggal dan kehilangan maruah di peringkat global.

8. Menggubal kawalan modal

Tanpa kawalan modal, sesebuah negara tidak mempunyai kedaulatan ekonomi yang berkesan. Negara-negara Selatan Global perlu mewujudkan platform antarabangsa yang mengikat setiap negara antara mereka untuk melakukan kawalan modal. Ini merupakan isu politik yang tidak boleh dilaksanakan oleh satu-satu negara secara sendiri. Kawalan modal merupakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengawalselia aliran kewangan ke dalam dan keluar dari sebuah negara. Kawalan sebegini termasuk cukai transaksi, syarat penetapan yang minimum, dan had maksimum ke atas jumlah matawang yang boleh bergerak merentasi sempadan. Kawalan modal dan kawalan secara demokratik ke atas Bank Pusat akan mencegah pelarian modal, dan patut memberi kedaulatan kepada kerajaan ke atas matawang dan ekonomi negara.

9. Beralih ke perdagangan serantau bukan berasaskan dollar

Penyahdollaran merupakan sebahagian penting untuk agenda baru. 60% daripada wang simpanan dunia dipegang dalam dollar AS, dan perdagangan dunia kebanyakannya dijalankan dengan dollar. Kompleks Dollar-Wall Street mempunyai cengkaman hampir penuh ke atas kewangan dan perdagangan antarabangsa. Adalah tidak mengejutkan bahawa sekatan unilateral AS mendatangkan kesan buruk kepada negara-negara bukan semestinya kerana mereka bergantung pada dollar, tetapi kerana rakan dagang mereka terjebak dalamnya. Dollar telah menjadi senjata untuk menyekat pembangunan. Sistem bayaran alternatif yang bersifat eksperimen seperti Sucre perlu digalakkan, dan institusi kewangan global yang baru perlu diwujudkan untuk memudahkan penindahan wang. Dalam jangka masa pendek, ini boleh dimulakan dengan kemudhan seratau bukan berasaskan dollar, walaupun terdapat keperluan institusi global untuk mengetapikan kelebihan besar yang diberikan kepada Amerika Syarikat oleh dollar yang digunakan sebagai matawang global. Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan blok perdagangan serantau yang akan menggunakan cara barter sebagai mekanisme untuk pembayaran.

10. Memusatkan perancangan, menyahpusatkan tindakan awam

Pandemik terbaru ini telah menunjukkan kepada kita tentang kehebatan perancangan berpusat dan kepentingan tindakan awam yang dinyahpusatkan. Negara-negara yang tidak dibenarkan untuk merancang penggunaan sumber mereka telah terkandas apabila berdepan dengan virus. Terdapat keperluan untuk mewujudkan mekanisme perancangan berpusat yang partisipatori pada skala yang semakin meningkat dan menyusun semula pengeluaran sosial demi keperluan – bukannya keuntungan. Rancangan-rancangan ini perlu dirangka daripada input demokratik yang maksimum dan perlu telus kepada orang awam. Perancangan berpusat akan membolehkan pemiliknegaraan sektor-sektor seperti perlombongan (termasuk pengeluaran tenaga), pengeluaran dan pemprosesan makanan berskala besar, dan pelancongan. Semua ini akan diletakkan di bawah kawalan pekerja dalam bentuk koperasi. Ia akan menjadi instrumen untuk mengurangkan pembaziran, termasuk perbelanjaan ketenteraan yang tidak perlu. Peningkatan dalam pengeluaran kerajaan diri setempat dan koperasi, serta pertubuhan-pertubuhan dan kesatuan-kesatuan rakyat, akan membolehkan kehidupan sosial menjadi semakin demokratik.

20200613-71-túlio-carapiá-e-clara-cerqueira_frutos-da-terra_brazil
Poster oleh Túlio Carapiá e Clara Cerqueira (Brazil), Buah-buahan Bumi

Tiba masanya untuk Susunan Ekonomi Antarabangsa yang Baru

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah meluluskan Perisytiharan mengenai Pembentukan Susunan Ekonomi Antarabangsa Baru (NIEO) pada tahun 1974, hasil daripada usaha desakan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM). Resolusi tersebut telah menggariskan rancangan untuk transformasi struktural terhadap sistem dunia yang berada dalam krisis pada masa itu. Namun, NIEO telah diketepikan dan susunan dunia dibentuk dalam halatuju neoliberal yang dibawa oleh kuasa besar di Utara Global. Dasar neoliberal telah melanjutkan krisis dan membawa dunia kita ke jalan buntu. Dalam situasi dunia sedang terjerumus dalam krisis yang meruncing pada ketika ini, kita memang perlukan satu Susunan Ekonomi Antarabangsa Baru, yang mampu melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat biasa di seluruh dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *