MALAYSIA-BANGLADESH-LABOUR-SHELTER
(Foto oleh Tengku Bahar / AFP)

oleh Cecilia Anthonysamy

Alasan utama pekerja migran tanpa dokumen ditangkap, yang diberikan oleh kerajaan pada masa kita sibuk berperang menumpaskan penularan COVID-19 adalah disebabkan oleh posisi sebegini: “Kerajaan perlu menegakkan kedaulatan undang-undang dan tidak boleh membiarkan warga asing memasuki negara ini secara haram ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.” (Petikan daripada laporan portal berita Malaysiakini, 24 Mei 2020).

Migran menjadi tidak berdokumen disebabkan oleh majikan

Punca utama pekerja migran tidak ada dokumen, adalah kerana ramai pekerja migran dibawa masuk oleh agen-agen dan majikan-majikan tetapi ditipu kemudian. Kerja yang diberi di sini bukan seperti yang ditawarkan dahulu. Gaji jauh berbeza. Pasport disimpan oleh majikan. Pekerja migran dibuli. Gaji tidak dibayar berbulan-bulan.

Agen yang membawa masuk pekerja akan mendapatkan permit di bawah syarikat tertentu, dan kemudian mensubkontrakkan pekerja migran itu kepada syarikat lain. Perlanjutan permit kerja adalah tanggungjawab dan kuasa majikan mengikut undang-undang, bukan pekerja. Tetapi apabila majikan terus mengupah pekerja tanpa melanjutkan permit kerja, pekerjalah yang dianggap salah.  Akhirnya  pekerja yang masuk secara sah, kemudian menjadi migran tanpa pasport dan tanpa  permit kerja disebabkan angkara majikan. Hakikatnya, mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI). Mereka masuk secara sah.

Majikan mengupah migran tanpa dokumen secara berleluasa

Pekerja migran seringkali tidak dapat melawan tindakan majikan yang menindas mereka. Undang-undang negara kita berat sebelah. Adalah sukar untuk pekerja migran memperolehi keadilan. Mereka melarikan diri dari majikan ke majikan lain kerana perkara-perkara di atas  berlaku, dan terpaksa terus mencari kerja lain. Jika pekerja lari, permit kerja akan dibatalkan dengan serta-merta oleh majikan. Pekerja migran itu menjadi migran tanpa dokumen, bukannya PATI. Ada Majikan lain menanti peluang durian runtuh untuk mengupah migran tanpa  dokumen ini, kerana boleh menjimat kos – tanpa perlu membayar agen, tidak perlu  membayar levi, tanpa insuran dan tidak peduli langsung tentang perlindungan kepada pekerja migran.

Pekerja-pekerja migran tanpa dokumen, bukanlah tidak bersalah langsung. Mereka sepatutnya tidak masuk melalui jalan tikus. Mereka sepatutnya berjaga-jaga supaya tidak tertipu oleh agen dan majikan yang tidak bertanggungjawab. Ada pekerja migran sendiri yang mahu bebas, bekerja di mana dia suka. Ada pekerja migran sendiri lari dari majikan walaupun majikan mematuhi apa yang ditentukan dalam undang-undang.

Apa punca masalahnya?

Mari kita bertanya mengapa jalan tikus itu wujud, bahkan berterusan?

Mengapa majikan-majikan masih boleh menggaji pekerja migran tanpa dokumen dan ianya nampak menjadi fenomena berterusan? Mengapa ada peluang untuk migran menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja? Sekiranya tiada manipulasi, tiada rasuah, adanya penjagaan sempadan yang dilakukan secara telus, dan kerajaan kita tegas dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap majikan yang mengupah pekerja tanpa dokumen, masalah migran tanpa dokumen nescaya tidak akan menjadi masalah  besar seperti sekarang.

Jika Kerajaan bertegas mahu menegakkan kedaulatan undang-undang terhadap migran, sila pastikan kedaulatan semua undang-undang seperti Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966, Akta Pekerjaan 1955, Akta Kesatuan Sekerja dan sebagainya juga ditegakkan. Memegang pasport orang lain tanpa kebenaran adalah tindakan yang mencabuli Peraturan Imigresen dan Akta Passport 1966 yang harus ditegakkan secara adil.  Namun, pihak imigresen dan polis tidak tegas dalam membuat tangkapan terhadap majikan yang ingkar. Ini adalah contoh penegakan kedaulatan undang-undang yang pilih bulu dan berbaur rasuah.

Penginapan migran: Siapa punca penularan COVID-19?

Tindakan majikan adalah punca jangkitan COVID-19 di rumah kongsi dan asrama yang sesak lagi sempit yang diduduki para pekerja migran. Ini disebabkan majikan tidak mematuhi Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), yang merangkumi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan . 

Untuk membanteras COVID-19, kerajaan harus menegakkan undang-undang dan mendesak majikan supaya segera mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang  telah diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan bagi pekerja, yang mula berkuatkuasa pada 1 Jun ini.  (Rujuk pada sumber berita Malaysiakini, 27 Mei 2020)

Pindaan Akta 446 ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019, serta diwartakan pada 18 September 2019.  Majikan telah pun diberi tempoh masa yang mencukupi, iaitu lebih lapan bulan untuk membuat persediaan. Kerajaan harus tegas menegakkan undang-undang supaya memastikan majikan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446). Ini penting untuk mengelakkan 3S (sesak, sempit dan sembang pada jarak dekat) dan mempraktikkan 3W (wash – cuci tangan, wear – pakai pelitup muka, dan warn – amaran) supaya mencegah COVID-19 daripaka meledak dalam kalangan migran.

Adalah tidak munasabah kerana majikan diberi masa penangguhan selama tiga bulan sehingga 31 Ogos 2020 dalam penguatkuasaan Akta 446 seperti yang diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia. Di manakah perlindungan terhadap pekerja , yang sepatutnya menjadi tanggungjawab Menteri tersebut? Jika kerajaan tegas terhadap migran, kerajaan juga harus tegas terhadap majikan dalam membanteras COVID-19. Biar kita adil semasa menegakkan undang-undang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *