“Aku tak dapat bernafas!” (I can’t breathe!) Ini ialah kata-kata oleh Eric Garner, seorang warga Amerika Afrika yang menjadi mangsa keganasan polis yang mati di Staten Island, New York, pada tahun 2014. Selepas enam tahun, kata-kata yang sama keluar daripada mulut seorang lagi warga Amerika Afrika, George Floyd, sebelum dia meninggal dunia akibat dilayan secara keras oleh pegawai polis di bandar Minneapolis, negeri Minnesota, Amerika Syarikat (AS).
Pada 25 Mei 2020, George Floyd, berumur 46 tahun, seorang ayah kepada dua orang anak yang kehilangan kerja baru-baru ini kerana perintah duduk rumah ketika penularan wabak COVID-19 di AS, telah meninggal dunia selepas dilayan secara kasar oleh pegawai polis Minneapolis yang menangkapnya di jalanan.
Peristiwa penangkapan George Floyd yang meragut nyawanya itu telah dirakamkan oleh pejalan kaki yang berada di situ dan menjadi viral. Dalam video tersebut, Floyd telah digari dan ditekan secara meniarap di atas permukaan jalanraya oleh seorang pegawai polis berkulit putih yang bernama Derek Chauvin, dengan menekankan lututnya di atas leher Floyd untuk sekurang-kurangnya 7 minit. Floyd berkata berulang kali, “Tolonglah!” dan “Aku tak dapat bernafas!”. Apabila Floyd berkata, “Aku dah nak mati!”, pegawai polis Chauvin menyuruh Floyd untuk bertenang. Pegawai polis bertanya pada Floyd, “Apa yang kau nak?” Floyd mengulangi kata-katanya, “Aku tak dapat bernafas.” “Tolonglah, lutut di atas leherku ini, aku tidak dapat bernafas.” Floyd cuba merayu pada pegawai polis untuk menghentikan tingkah laku keras mereka, “Jangan bunuh aku!” Floyd kelihatan sudah tidak sedar diri apabila kereta ambulans sampai di tempat kejadian. Pegawai polis yang bernama Chauvin itu tidak mengalihkan lututnya daripada leher Floyd sehingga anggota medik datang mengangkat Floyd dengan usungan. Denyutan nadi Floyd sudah berhenti ketika berada di dalam kereta ambulans, dan diisytihar mati di hospital.
Menurut kenyataan pihak polis, Floyd ditangkap pada masa itu kerana disyaki menggunakan wang palsu. Pada awalnya pihak polis mendakwa bahawa Floyd cuba untuk “melawan tangkapan”, namun kenyataan oleh saksi-saksi di tempat kejadian menyangkal dakwaan tersebut, sebaliknya mengatakan bahawa pegawai polis yang berkenaan telah menggunakan keganasan yang berketerlaluan.
Pembunuhan Floyd oleh polis Minneapolis ini telah mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh AS. Protes besar-besaran di kawasan metropolitan bandar Minneapolis dan Saint Paul bermula pada 26 Mei 2020. Demonstrasi yang menyuarakan kemarahan terhadap keganasan polis kemudiannya berkembang menjadi pertempuran dengan polis. Pihak polis telah menembak gas pemedih mata dan peluru getah ke arah demonstran. Perkarangan balai polis dan pasaraya telah diserbu oleh demonstran. Pada 28 Mei 2020, salah sebuah bangunan ibupejabat polis daerah di Minneapolis telah ditawan oleh demonstran dan dibakar.
Gabenor Minnesota, Tim Walz, telah memanggil pengerahan Pengawal Nasional untuk mematahkan rusuhan di Minneapolis. Sementara itu, Presiden AS Donald Trump pula menulis dalam hantaran twitternya bahawa dia menyokong untuk menembak perusuh. Kenyataan Trump ini jelas menunjukkan sikap hipokritnya, kerana tidak lama sebelum ini dia telah memuji penyokongnya yang berprotes membawa senjata api untuk melanggar perintah sekatan pergerakan yang bertujuan untuk mengawal penularan COVID-19.
George Floyd bukannya mangsa pertama perangai rasis dan keganasan polis di AS. Tanggisannya “Aku tak dapat bernafas!” membangkitkan semula memori tentang Eric Garner yang dibunuh dalam keadaan yang hampir serupa. “Aku tak dapat bernafas!” menjadi salah satu slogan yang dilaungkan oleh demonstran di jalanan Minneapolis.
Berikutan kematian Floyd, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Biro Penangkapan Jenayah Minnesota (BCA) telah melancarkan siasatan yang berasingan ke atas insiden ini. Empat orang pegawai polis yang terlibat, termasuk Derek Chauvin, telah dipecat. Namun, tindakan daripada pihak berkuasa ini tidak mencukupi untuk memadamkan api kemarahan rakyat AS yang sudah lama mengalami masalah rasisme secara institusi dan keganasan polis yang berterusan. Lebih-lebih lagi, daripada pengalaman mengenai kes pembunuhan oleh polis sebelum ini, selalunya berakhir dengan hukuman yang ringan atau langsung tiada hukuman ke atas pegawai polis yang dituduh.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, telah menyeru untuk mendakwa pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap kematian Floyd di mahkamah. “Kenapa orang yang membunuh George Floyd bukan di dalam penjara?” begitu kata Jacob Frey.
Menurut rekod daripada pemantauan terhadap keganasan polis di Minneapolis, Derak Chauvin, pegawai polis yang menekan Floyd di atas lantai dengan lututnya itu, pernah terlibat dalam beberapa insiden keganasan polis sebelum ini, menunjukkan bahawa dia bukannya pertama kali melakukan keganasan sebegini. Chauvin pernah menerima 3 kali teguran atas aduan terhadapnya. Chauvin merupakan salah seorang daripada 5 orang pegawai polis yang disuruh untuk mengambil cuti selepas terlibat dalam insiden menembak dan mencederakan seorang lelaki orang asal pada tahun 2011, namun pihak berkuasa kemudiannya memutuskan bahawa tindakan pegawai-pegawai polis tersebut adalah “sesuai” maka tiada tindakan lanjut diambil. Seorang lagi pegawai polis yang bersama dengan Chauvin ketika insiden pembunuhan Floyd, Tou Thao, juga pernah terlibat dalam beberapa insiden salahguna kuasa. Namun, kedua-dua orang pegawai polis ini tidak pernah diambil tindakan displin ke atas salahlaku mereka sebelum ini.
Amy Klobuchar, Senator yang mewakili negeri Minnesota, yang merupakan salah seorang yang bertanding untuk calon Parti Demokratik dalam pilihanraya Presiden AS tahun ini, telah menyeru untuk “penyiasatan luar yang lengkap dan menyeluruh” ke atas insiden kematian Floyd. Namun, kenyataan Klobuchar mengundang kritikan mengenai hipokrasinya dalam isu keganasan polis. Semasa menjadi pendakwaraya di negeri Minnesota dari tahun 1999 hingga 2007, Klobuchar telah menolak untuk meneruskan pendakwaan dalam banyak kes pegawai polis yang dituduh membunuh orang awam, termasuk satu kes penembakan pada tahun 2006 di mana Derak Chauvin juga terlibat.
Benjamin Crump, seorang peguam dan aktivis hak sivil, akan mewakili keluarga Floyd dalam kes mahkamah terhadap pegawai-pegawai yang terlibat dalam pembunuhannya. Crump berkata, “Ini adalah penggunaan kekerasan yang salah, berketerlaluan dan tidak berperikemanusiaan, meragut nyawa seorang yang ditahan oleh polis untuk sosal siasat tentang satu pertuduhan yang bukan keganasan.” Crump pernah menjadi peguam wakil ahli keluarga dalam kes keganasan perkauman yang melibatkan mangsa seperti Trayvon Martin, Michael Brown dan Martin Lee-Anderson. Pembunuhan Trayvon Martin di Sanford, Florida, pada tahun 2012, dan keputusan mahkamah yang membebaskan pembunuhnya, telah mencetuskan gerakan Black Lives Matter. Kes penembakan mati Michael Brown oleh polis di bandar Ferguson, Missouri, pada tahun 2014, telah mencetuskan gelombang protes dan rusuhan di situ.
Gelombang protes dan rusuhan di Minneapolis, seolah-olah ulang tayang apa yang berlaku di Ferguson pada tahun 2014. Selagi masih berlakunya keganasan polis, selagi pegawai polis yang membunuh orang awam tidak menerima hukuman yang setimpal, selagi golongan warga Amerika Afrika masih ditindas, penentangan hebat daripada rakyat AS yang terdiri daripada berbilang kaum akan tetap berterusan.
7 thoughts on ““Aku tak dapat bernafas” lagi: Rasisme dan keganasan polis cetus rusuhan di Minneapolis”