oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Cara Amerika Syarikat (AS) menangani wabak COVID-19 yang sangat tidak berkesan boleh menjadi agak membimbangkan, kerana adalah semakin jelas bahawa ia tidak terbatas pada Presiden AS dan pasukan di sekelilingnya. Imej-imej dari Michigan dan negeri-negeri yang lain di AS di mana rakyat biasa menuntut hak mereka untuk berhimpun dalam kumpulan besar, mengadakan upacara keagamaan beramai-ramai dan enggan memakai topeng muka di tempat awam, menunjukkan bahawa sentimen anti-sains agak meluas dalam kalangan masyarakat umum AS.
Fakta-fakta berkaitan dengan penyebaran COVID-19 bukanlah susah untuk difahami. Sekiranya virus ini dibenarkan untuk menular tanpa sebarang cubaan untuk mengamalkan penjarakan fizikal dan mengasingkan mereka yang dijangkiti, secara puratanya setiap individu yang dijangkiti virus akan menyebarkan jangkitan kepada 3 orang lagi. Dalam erti kata lain, kadar jangkitan (ROT) virus ini ialah 3. Dengan tempoh masa purata inkubasi adalah 6 hari, maka bermakna bahawa 100 kes pada Hari 0 akan membawa kepada 300 kes pada Hari ke-6, 900 kes pada Hari ke-12, 2,700 kes pada Hari ke-18, 8,100 kes pada Hari ke-24 dan 24,300 kes pada Hari ke-42. Namun, sebelum mencecah angka ini, hospital-hospital akan dibanjiri dengan 15% kes yang pesakitnya mengalami kegagalan pernafasan dan memerlukan rawatan oksigen. Ini akan menyebabkan kekurangan katil penjagaan akut, kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang tidak mencukupi dan kakitangan hospital akan dijangkiti dalam jumlah yang besar. Perkhidmatan klinikal akan mengalami keruntuhan dan bilik mayat akan penuh sesak. Ini bukannya spekulasi yang tidak berasas. Kita semua melihat perkara sebegini berlaku di Wuhan, Sepanyol, Itali, London dan New York. Itulah sifat raksasa ini!
AS adalah jauh ketinggalan dalam mewujudkan “keimunan kelompok” (herd immunity). Kajian di New York menunjukkan bahawa lebih kurang 24% daripada populasi di Bandaraya New York mempunyai antibodi COVID-19. Bandaraya New York mencapai tahap keimunan sebegitu selepas melalui enam minggu yang mengerikan yang menyaksikan lebih 700 kematian sehari pada kemuncaknya. Namun, tahap keimunan sebegitu masih tidak dapat melindungi mereka daripada satu lagi gelombang jangkitan jika mereka terlalu cepat melonggarkan sekatan pergerakan mereka. Kadar jangkitan untuk Bandaraya New York akan menjadi 2.28 sekiranya mereka tidak mengambil langkah-langkah yang aktif untuk mengurangkan jangkitan (3 X 0.76 = 2.28). Kadar jangkitan di bawah 1.0 bermakna bilangan kes yang baru akan berkurangan mengikut masa. Kadar jangkitan melebihi 1.0 akan menyaksikan peningkatan bilangan kes baru pada kadar gandaan. Ia memerlukan tahap kelaziman antibodi setinggi 70% untuk memberikan keimunan kelompok kepada sesuatu komuniti (kadar jangkitan: 3 X 0.3 = 0.9). Sebahagian daripada daerah di utara New York mempunyai kadar kelaziman antibodi sebanyak lebih kurang 5%. Kadar yang lebih rendah ini berkemungkinan menggambarkan situasi di kebanyakan negeri yang lain di AS.
Keputusan terburu-buru yang diambil di banyak negeri di AS untuk membuka ekonomi sebelum wabak dapat dikawal sepenuhnya, akan menyebabkan peningkatan hebat dalam kes jangkitan wabak dan mendatangkan penderitaan manusia yang amat teruk. AS sudahpun mempunyai sebanyak 1,691,229 kes yang didiagnosis setakat ini (30.54% daripada jumlah sedunia) dan 99,398 kematian (28.6% daripada jumlah sedunia) walaupun negara itu hanya mempunyai 4.3% daripada jumlah penduduk dunia. Mereka akan mendapati hakikat yang penuh keperitan bahawa anda tidak dapat mengawal wabak penyakit melalui meneriak-neriakkan ancaman, berita palsu, menyalahkan orang lain dan menasihatkan penduduk untuk kembali kepada aktiviti normal. Semua negeri yang sekarang ini ghairah membuka semula ekonomi akan mengisytihar sekatan pergerakan kemudian kerana ia merupakan satu-satunya cara yang dibuktikan dapat memutuskan jangkitan dan menurunkan kadar jangkitan ke bawah 1.0. Semua solusi lain yang telah disebut-sebutkan – sinaran matahari musim panas dan hidoksiklorokuin adalah sangat spekulatif, dan tiadanya bukti yang menunjukkan cara-cara tersebut dapat menurunkan kadar jangkitan.
Penolakan terhadap nasihat saintifik pada skala yang begitu besar dalam masyarakat umum AS tidak boleh hanya dikaitkan dengan individualisme Amerika yang kasar. Ia merupakan fenomena sosiologi yang mempunyai punca kemasyarakatannya. Pandangan saya adalah, kelas menengah dan kelas pekerja AS menjadi sangat tidak mempercayai elit politik mereka yang telah meletakkan AS dalam laluan di mana kerja-kerja yang bergaji lumayan dan terjamin telah dipindahkan dalam jumlah yang besar ke destinasi luar negara, kilang-kilang ditutup di seluruh negara, tenaga kerja dikasualisasikan, pendapatan untuk golongan 70% terbawah menjadi terbantut walaupun kekayaan golongan 15% teratas meningkat secara hebat, peningkatan tahap hutang untuk isi rumah dan pelajar, dan ketidakjaminan kewangan yang semakin meningkat. Trend-trend ini telah diteruskan di bawah kedua-dua kerajaan Parti Republikan dan Parti Demokratik, dan secara keseluruhannya, dasar-dasar yang menyebabkan trend-trend ini – misalnya perjanjian-perjanjian perdagangan bebas seperti NAFTA, pengurangan cukai korporat secara beransur-ansur, liberalisasi pasaran kewangan – telah disokong oleh golongan akademik dan pakar (yang muncul dalam rancangan bual bicara dalam TV) sebagai cara yang terbaik untuk mengekalkan corak kehidupan Amerika (American way of life).
Bak kata pepatah “anda tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa”. Sebahagian besar masyarakat umum AS telah merumuskan bahawa golongan elit – sama ada secara politik, ekonomi ataupun golongan intelek yang mendapat pendidikan daripada Ivy League – menipu mereka dan menghancurkan mereka dalam proses ini. Kualiti kehidupan mereka sedang merosot, dan kehidupan harian mereka semakin hari semakin tidak menentu, tetapi golongan elit sedang hidup dalam kemewahan. Saya berpendapat bahawa inilah kuasa emosi di sebalik pendirian anti-sains dan “pasca-kebenaran” (post-truth) yang ditunjukkan oleh begitu ramai orang. Ia merupakan sejenis bentuk pemberontakan terhadap status quo (lebih kurang sama seperti fenomena “Takut Apa Bossku” yang kita nampak di Malaysia). Trump bukannya pencipta sentimen ini tetapi dia sedang menunggangnya. Kritikan terhadap Trump oleh media arus perdana dan ahli-ahli akademik sebenarnya memperkukuhkan lagi sokongan yang diperolehnya daripada bahagian masyarakat awam ini yang merasakan bahawa sistem telah mengecewakan mereka dan golongan elit – politik dan akademik – hanyalah sekumpulan penjenayah yang berkepentingan sendiri.
Adalah menarik bahawa sentimen anti-sains ini tidak begitu ketara di sesetengah negeri. Misalnya penduduk di New York, nampaknya agak rela untuk mematuhi sekatan pergerakan yang dikenakan di situ. Ini mungkin sebahagiannya disebabkan oleh kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi dan mereka boleh melihat bahawa nyawa mereka sedang diancam dan perlu melakukan sesuatu. Namun, saya berpendapat bahawa cara Gabenor New York, Andrew Cuomo, berusaha untuk menerangkan secara sabar beberapa aspek respon yang diambil oleh pihak berkuasa negeri itu, dan sebab-sebabnya mengambil tindakan sebegitu, telah memainkan peranan besar dalam memujuk mereka yang berasa ragu dan memastikan sokongan meluas kepada pendekatan saintifik dalam menangani krisis COVID-19 di negeri itu. New York telah menurunkan lengkung jangkitan dan mereka sekarang ini berbincang tentang pembukaan semula ekonomi secara berperingkat.
Patutkah seluruh dunia bimbang tentang AS sedang menuju ke arah bencana kesihatan yang besar? Ya, saya fikir begitu. Dunia kita ini adalah begitu berhubungkait sesama diri pada hari ini, sehingga tiada bahagian di dunia boleh menjadi selamat sekiranya wabak penyakit tidak dikawal di setiap tempat. Gelombang kedua yang sedang berinkubasi di AS boleh membawa semula jangkitan kepada negara-negaya yang telah berjaya memutuskan rantaian jangkitan sebelum ini, sekiranya negara-negara ini cukup cuai untuk membatalkan sekatan perjalanan dengan terlalu cepat. Yang kedua, AS menyumbang lebih kurang 24% daripada KDNK global. Impak negatif besar kerana wabak penyakit yang tidak dikawal dengan baik ke atas ekonomi AS akan mengurangkan permintaan kasar dunia untuk sepanjang tahun 2020 yang tinggal, melanjutkan dan memperdalamkan lagi kemelesetan ekonomi yang sedang berlangsung.
Yang ketiga, seekor harimau yang cedera adalah yang paling bahaya, khususnya apabila ia mempunyai kekuasaan tentera yang terbesar di planet ini. Presiden AS dan pasukannya sedang cuba mengalihkan perhatian dengan menyalahkan China, dan nampaknya sebahagian besar masyarakat umum AS terpengaruh oleh taktik ini. AS juga mengambil pendirian yang lebih bermusuhan terhadap Iran dan Venezuela, serta isu kawalan senjata nuklear. Wujudnya bahaya serius tentang campurtangan ketenteraan oleh AS dalam setahun akan datang.
AS terjebak dalam “pasca-kebenaran”, patut dijadikan amaran kepada kita semua yang percaya bahawa rancangan untuk membangunkan negara kita perlu berasaskan kerasionalan dan sains. Jika kita, golongan yang berintelek di Malaysia, gagal untuk menghubungkan diri dengan rakyat biasa dan menggunakan sains dan kerasionalan untuk menangani masalah sebenar yang dihadapi mereka, sebaliknya menjual perkhidmatan intelek dan profesional kita kepada elit korporat dan menggalakkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang melebarkan jurang pendapatan, mengurangkan jaringan sokongan sosial dan menjadikan kehidupan rakyat biasa Malaysia semakin tidak terjamin, maka detik “pasca-kebenaran” kita berada tidak jauh dari kita.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).