20200528 - 170615_Longgokan_balak_yang_ditebang_di_Hutan_Simpan_Ulu_Muda

oleh M. Sharan Raj

Kenyataan terkini oleh Menteri Besar Kedah bahawa Negeri Kedah perlu membayar pampasan RM1 bilion kepada kapitalis balak kerana menghentikan konsesi pembalakan di Hutan Simpan Kekal Ulu Muda amat mengejutkan kami.

Hutan Simpan Kekal Ulu Muda merupakan tunjang kehidupan rakyat, kerana ia membekal air bersih kepada lebih 4 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Perlindungan hutan simpan amat penting demi menangkis impak krisis iklim yang semakin kronik.

Pada tahun 2019, kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Mukhriz Mahathir menerima premium pembalakan sebanyak RM18.36 juta. Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Kedah terdahulu di bawah pimpinan PAS pula menerima premium pembalakan sebanyak RM75 juta pada tahun 2011.

Bidang kuasa kerajaan negeri termasuk mentadbir hasil hutan dan memelihara alam sekitar. Maka, pampasan kepada kapitalis balak bernilai RM 1 bilion untuk menghentikan konsesi pembalakan di kawasan tadahan air adalah tidak munasabah.

Pemberian pampasan oleh kerajaan negeri kepada syarikat kapitalis konsesi ini amat mengejutkan dan seolah-olah mencabar dan menghina kedaulatan rakyat. Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sebarang tindakan oleh kapitalis balak untuk mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Negeri yang akhirnya akan dibiayai oleh cukai rakyat negeri Kedah. Harta warisan semulajadi harus dipelihara dan bukan dijadikan sebuah komoditi yang boleh diniagakan. Menjual harta warisan semulajadi hutan demi menjana dana untuk Kerajaan Negeri oleh BN, PH dan kini PN harus dihentikan segera.

Jikalau perjanjian “berat sebelah” yang pro-kapitalis dan anti-rakyat telah dilaksanakan oleh Mukhriz, maka Menteri Besar Kedah baru perlu mengheret Mukhriz ke mahkamah untuk kesalahan pecah amanah, bukan bertikam lidah dengannya.

PSM menggesa Menteri Besar Kedah untuk menghentikan aktiviti pembalakan di hutan dara di negeri Kedah untuk memelihara sumber bekalan air dan udara bersih untuk rakyat di Utara Semenanjung.

==========

M. Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *