oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menghargai bahawa Langkah Tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) telah memberi perhatian kepada sebahagian kritikan terhadap Pakej PRIHATIN yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Mac 2020. Banyak rungutan daripada sektor perniagaan yang mengkritik bahawa Pakej PRIHATIN yang diumumkan pada 27 Mac 2020 itu tidak memberi sokongan yang mencukupi kepada SME (perusahaan bersaiz kecil dan sederhana). SME ialah perniagaan yang mengupah kurang daripada 150 orang pekerja dan/atau dengan jumlah jualan kurang daripada RM25 juta setahun. SME membentuk tulang belakang kepada ekonomi Malaysia, mengupah sejumlah dua pertiga daripada pekerja-pekerja Malaysia.
Bantuan kepada SME
Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM10 bilion yang diumumkan pada 6 April 2020, telah memperuntukkan sebanyak RM7.9 bilion tambahan untuk mempertingkatkan program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac 2020. Subsidi per pekerja telah ditingkatkan kepada RM1,200 sebulan untuk tempoh masa 3 bulan bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang (bagi pekerja-pekerja bergaji bulanan kurang daripada RM4,000) . Subsidi upah lebih rendah (RM600 hingga RM800 sebulan) bagi syarikat-syarikat yang mempunyai bilangan pekerja melebihi 75 orang. Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi juga telah memperuntukkan RM2.1 bilion untuk dibayar sebagai Geran Khas sebanyak RM3,000 kepada hampir 700,000 perniagaan mikro.
Selain daripada perbelanjaan fiskal ini, Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi juga mengurangkan kadar faedah pinjaman Bank Simpanan Nasional kepada perniagaan mikro, pengurangan sewa bagi SME yang menggunakan bangunan kerajaan, dan pengurangan sebanyak 25% dalam bayaran levi untuk pekerja-pekerja asing.
Kami juga menghargai bahawa tiadanya “mainan politik” dalam pembentangan Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi ini. Rakyat Malaysia sudah biasa menyaksikan Menteri yang sedang berpegang pada jawatannya (sama ada daripada Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan) membuat komen yang mencemuh untuk menyerang pihak pembangkang semasa membentangkan belanjawan. Tiada sebarang petanda untuk tindakan sebegini dalam pembentangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pembentangannya pada 6 April 2020, dan ini boleh dianggap profesional.
Adakah majikan akan membuli pekerja?
Namun begitu, terdapat beberapa isu yang dibimbangi oleh PSM. Yang pertama, adalah memberikan kefleksibelan atau kelonggaran kepada majikan untuk merundingkan semula kontrak pekerjaan berkaitan dengan pemotongan gaji dan cuti tidak berbayar semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PSM khuatir bahawa majikan yang licik akan menggunakan “kefleksibelan” ini untuk membuli pekerjanya dengan enggan membayar gaji sepanjang tempoh PKP. Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perubahan pada syarat pekerjaan perlu mendapat persetujuan daripada pekerja yang berkenaan. Jika tidak, ia akan dianggap sebagai “pemberhentian terancang” (constructive dismissal) dan pekerja harus dibayar pampasan seperti yang termaktub dalam Akta Kerja.
Tidak akan kembali kepada “normal”
Yang kedua, adalah isu yang lebih besar – pakej rangsangan ekonomi ini tidak cukup! Pemikiran kerajaan pada masa kini nampaknya adalah kerajaan hanya perlu memastikan perniagaan yang sedia ada mampu untuk membayar, supaya apabila wabak COVID-19 “hilang” maka mereka akan kembali kepada aktiviti ekonomi seperti biasa dan segalanya akan kekal sama. Namun, ia tidak akan berlaku begitu mudah sahaja. Sesetengah sektor tidak akan pulih dalam masa terdekat, misalnya sektor penerbangan. Adalah hampir pasti bahawa kebanyakan negara akan mengenakan kuarantin 2 minggu untuk pelawat dari luar negara untuk setahun akan datang ini. Syarikat-syarikat penerbangan akan terpaksa mengecilkan operasinya dan memberhentikan pekerja-pekerja kerana mungkin perlu lebih setahun untuk perjalanan antarabangsa kembali kepada 50% daripada jumlah sebelum pandemik COVID-19. Keruntuhan sektor pelancongan bermakna perniagaan yang mensasarkan pelancong luar negara – seperti hotel, pusat beli-belah pelancong, syarikat pelancongan dan sesetengah restoran – perlu mengecilkan saiz perniagaan dan memberhentikan pekerja-pekerja. Mereka tidak dapat mengekalkan ribuan pekerja yang dibayar gaji dalam bulan-bulan akan datang sekiranya perniagaan masih tersekat.
Kilang-kilang di Malaysia yang merupakan sebahagian daripada rantaian global juga akan terjejas. Kemelesetan ekonomi sedunia akan mengurangkan permintaan untuk barangan atau komponen yang dibekalkan oleh kilang-kilang ini kepada pasaran antarabangsa. Kilang-kilang ini terpaksa memberhentikan pekerja-pekerja. Penghematan atau pengurangan pekerja, akan menjadi masalah besar di Malaysia untuk beberapa bulan yang akan datang ini, dan ini akan membawa kepada pengangguran jangkamasa panjang kerana adalah tidak mungkin untuk sektor swasta mewujudkan industri baru yang dapat menyerap semua pekerja yang diberhentikan kerja di bawah keadaan ekonomi global yang mengalami kegawatan teruk.
Campurtangan kerajaan adalah penting
Adalah penting untuk perancang dalam kerajaan menyedari bahawa ekonomi pasaran bebas sedunia tidak akan dapat pulih daripada krisis ini secara sendiri. Perlunya campurtangan kerajaan yang signifikan untuk mengupah rakyat, membayar gaji dan maka mewujudkan permintaan pengguna – sesuatu yang sama dengan “New Deal” yang diperkenalkan oleh Presiden Roosevelt di Amerika Syarikat pada tahun 1930-an – supaya ia akan mewujudkan keadaan yang menguntungkan untuk perniagaan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan bagi kegunaan rakyat.
Pendekatan Keynesian ini memerlukan anjakan paradigma yang hebat daripada perancang ekonomi dan ahli politik yang telah dibentuk pemikiran mereka oleh tradisi neoliberal yang menganggap bahawa peranan kerajaan perlu kekal minimum dalam ekonomi, pasaran dapat memperbetulkan diri dan cara yang sesuai untuk menangani kemerosotan ekonomi adalah menyuntik kecairan tunai (likuiditi) ke dalam sistem untuk membeli balik bon daripada sektor swasta (Peringanan Kuantitatif – Quantitative Easing, QE).
Kita sudahpun melihat sepanjang 12 tahun yang lalu bagaimana pendekatan QE mewujudkan gelembung kewangan, kenaikan harga hartanah yang mendadak dan peningkatan ketidaksamarataan dalam masyarakat, tetapi tidak mewujudkan pekerjaan yang mencukupi khususnya untuk generasi anak muda. Pinjaman mudah kepada golongan terkaya 0.1% tidak dapat menyelesaikan masalah pengangguran dan permintaan pengguna yang lembap.
Apakah fungsi ekonomi yang sepatutnya?
Kita perlu kembali kepada asas dan bertanya pada diri kita sendiri – bagaimana kita menilai ekonomi negara? Berdasarkan berapa besar jumlahnya KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar)? Atau berapa cepatnya pertumbuhan KDNK? Atau betapa baik prestasi pasaran saham? Atau berapa pelaburan asing (FDI) yang masuk ke dalam negara? Atau berapa markah yang diberikan oleh Agensi Pengadaran Kredit kepada negara kita?
Kami di PSM berpandangan bahawa tiga kriteria berikut sepatutnya paling penting dalam menilai prestasi ekonomi sesebuah negara:
- Adakah ekonomi mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat? Misalnya makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, produk kebudayaan dan sebagainya.
- Adakah ia membekalkan rakyat sumber untuk memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang penting ini?
- Adakah ia melakukan kedua-dua perkara di atas dalam cara yang lestari, tanpa memburukkan krisis iklim?
“New Deal” untuk Malaysia
PSM berpandangan bahawa solusi untuk krisis pada masa kini adalah mewujudkan pekerjaan kepada semua orang yang ingin bekerja. Apabila rakyat dapat bekerja dan mendapat gaji mereka, mereka akan mempunyai pendapatan yang diperlukan mereka untuk memperoleh barangan keperluan penting untuk keluarga mereka. Permintaan pengguna yang timbul daripada bayaran gaji agregat kepada semua pekerja ini akan mewujudkan peluang perniagaan kepada SME kita dan mereka akan mula mengupah lebih ramai pekerja untuk mengeluarkan dan menjual barangan kepada rakyat.
Namun, pihak mana yang akan memikul tanggungjawab untuk mewujudkan pekerjaan pada ketika permintaan pengguna sedang mengecut? Sektor swasta tidak akan mengambil risiko modal mereka untuk mengeluarkan lebih banyak barangan apabila pasaran adalah begitu lembap. Golongan terkaya 1% akan hanya berpeluk tangan dan menggunakan simpanan kewangan mereka yang besar itu untuk membeli saham murah pada ketika pasaran saham runtuh. Sememangnya kekayaan golongan terkaya 1% akan merosot secara nominal kerana nilai saham yang dipegang mereka juga menurun, tetapi jumlah saham yang dimiliki mereka akan meningkat secara mendadak dan mereka akan muncul sebagai pemilik kepada bahagian kekayaan masyarakat yang lebih besar lagi selepas kemelesetan ekonomi! Jadi, bukannya kebimbangan untuk golongan mahakaya ini sekiranya kadar pengangguran berada pada paras 5% atau 20%, ataupun sama ada berlakunya kebuluran dalam masyarakat atau tidak.
Oleh itu, hanya kerajaan dapat mengambil langkah tegas yang diperlukan untuk menghentikan kemerosotan ekonomi. Kita perlukan campurtangan kerajaan dalam ekonomi dalam bentuk penciptaan pekerjaan – sebaiknya dalam projek untuk kebaikan awam seperti memperluaskan penanaman makanan bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan, perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah, membina sistem pengurusan sisa buangan yang lebih baik untuk isi rumah, membina semula sistem pengangkutan awam, memulihkan hutan kita yang dimusnahkan, memperluaskan penggunaan panel solar dan mod tenaga boleh diperbaharui yang lain, penjagaan yang lebih baik untuk warga emas kita, dan sebagainya. Pendapatan isi rumah yang dijana oleh pekerjaan tambahan ini akan memperluaskan permintaan pengguna domestik dan ini akan menguntungkan untuk perniagaan membekalkan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan rakyat.
Namun, seperti yang kami katakan, ini memerlukan anjakan paradigma daripada pembuat dasar, perancang dan juga masyarakat umum negara kita. Memang terdapatnya kekurangan dalam mempunyai birokrasi kerajaan yang besar – ia boleh memudaratkan demokrasi dan kebebasan untuk berfikir secara berbeza. Namun, terdapat cara untuk menangani kekurangan ini dengan mewujudkan semak-dan-imbang dan menurunkan kuasa kepada struktur tempatan. Kita perlu melibatkan lebih ramai rakyat dalam perbincangan ini kerana masalah kemelesetan ekonomi yang serius sudahpun menghantui kita semua dan kita perlu membangunkan segera langkah-langkah jelas yang diperlukan untuk mengurangkan kesannya ke atas anggota masyarakat kita yang lebih lemah dari segi ekonomi, supaya kita semua dapat menempuhi cabaran hebat ini secara bersama!
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
**********
Nota:
“New Deal” (Urusan Baru) ialah siri dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt pada tahun 1930-an sebagai usaha untuk memulihkan ekonomi negara itu daripada Zaman Meleset (Great Depression). Antara langkah-langkah yang diperkenalkan dalam New Deal termasuk penjanaan peluang pekerjaan melalui projek pembinaan awam, perlindungan kepada kesatuan sekerja, penetapan masa kerja maksimum dan gaji minimum untuk kebanyakan pekerja, penggubalan Akta Keselamatan Sosial, bantuan kepada petani, batuan kepada penganggur, bantuan kepada pekerja asing, dan sebagainya.
One thought on “Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi: Bagus tapi kita perlukan “New Deal””