Screenshot_2020-04-09 emco-masjid-india-1280x640 webp (WEBP Image, 1280 × 640 pixels)

oleh Soh Sook Hwa

Apabila kita menyaksikan negara Kuba menghantar pasukan perubatan ke Eropah untuk membantu dalam memerangi pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia menunjukkan sikap tidak berperikemanusiaan kepada dunia dengan enggan memberikan sumbangan makanan kepada pekerja migran di Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Kedua-dua bangunan yang terletak di Kuala Lumpur ini telah diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan 15 kes positif COVID-19 dilaporkan dari kawasan itu.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin memperingatkan Kerajaan Perikatan Nasional bahawa, pekerja migran telah menyumbangkan 15% tenaga kerja di negara ini. Tindakan kerajaan yang cuba mencuci tangan terhadap kesusahan mereka dalam masa sebegini bagai kacang lupakan kulit. Padahal, pekerja migran selama ini diperaskan di bawah dasar buruh murah dan bekerja dalam bidang 3D (bahaya, kotor dan sukar) yang amat mencabar persekitaran kerjanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada bulan Januari lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom menegaskan bahawa satu-satunya cara untuk kita menewaskan penularan wabak ini adalah semua negara bekerjasama dengan semangat solidariti dan kerjasama.

Sikap Kerajaan Malaysia yang pilih kasih dan mementingkan diri sendiri bukan sahaja akan gagal mengawal penularan wabak penyakit, malah menjadi teladan yang buruk kepada rakyat sendiri serta membiak ketidakadilan.

Penyebaran wabak merupakan kecemasan kesihatan masyarakat, tetapi sikap tidak berperikemanusiaan itu bencana yang sebenar dan akan menghancurkan fabrik sosial kita.

PSM ingin mengirimkan penghargaan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang telah tampil ke depan untuk membantu saudara kita di Selangor Mansion dan Malayan Mansion. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan ini telah menunjukkan integriti yang mulia dan patut dijadikan teladan kepada kerajaan kita.

Ini cara maju ke depan. Wabak COVID-19 hanya boleh dikawal berlandaskan semangat solidariti komuniti, kekitaan, kesamarataan dan pembebasan.

==========

Soh Sook Hwa ialah Bendahari Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap PSM Cawangan KL/PJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *