20200223 - coronavirus-2

oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya berhenti membuat keputusan tergesa-gesa pada ketika seluruh negara sedang menempuh kesusahan. 

1. Isu bayaran ujian COVID-19

Perdana Menteri berkata dalam sidang akhbar tengahari tadi (23 Mac 2020) bahawa warga asing perlu membayar untuk ujian COVID-19. Namun, nasib baiknya Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hashim Abdullah menjelaskan kemudian bahawa ujian COVID-19 di mana-mana klinik atau hospital di bawah Kementerian Kesihatan adalah PERCUMA untuk semua orang termasuk warga asing. Ketika kita sedang sibuk melawan pandemik ini dan menggalakkan warga migran, termasuk mereka yang tanpa dokumen, untuk keluar mendapatkan ujian dan rawatan jika mereka mempunyai simptom penyakit, kenyataan daripada Muhyiddin Yassin sebegini adalah tidak bertanggungjawab. Ini bukan masanya untuk menjimat kos ataupun terus melaksanakan dasar-dasar yang bersifat diskriminasi. Serangan virus itu tidak mendiskriminasi sesiapa pun.

PSM menyeru pada Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara supaya memberi jaminan yang jelas bahawa sesiapa yang mempunyai simptom boleh menjalani ujian dan rawatan COVID-19 secara percuma dan tanpa sebarang gangguan. Jaminan ini penting kerana golongan migran dan pelarian di negara kita akan berasa lega untuk tampil ke hadapan tanpa ketakutan daripada ditangkap atau didakwa atau dihantar pulang ke negara asal apabila mereka menjalani ujian saringan atau rawatan COVID-19.

PSM juga menyeru pada Kerajaan untuk mengisytihar moratorium ke atas operasi penangkapan imigresen selama 6 bulan. Kerajaan harus menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan komuniti pekerja asing untuk membantuk Kementerian Kesihatan dalam mengenalpasti dan menghubungi kes-kes COVID-19 dalam kalangan mereka di samping menyampaikan maklumat kesihatan kepada pekerja-pekerja asing.

2. Pengeluaran simpanan KWSP

PSM bersetuju dengan pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional kerana membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan wang maksimum RM500 sebulan sehingga bulan Disember ini. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bijak dan tidak dipertimbangkan betul-betul. Kebanyakan orang yang memang menghadapi kesusahan hidup sebenarnya tidak mempunyai akaun simpanan KWSP pun, seperti petani, pekerja dalam sektor ekonomi gig dan sebagainya. Oleh sebab Kerajaan sudahpun menyatakan bahawa majikan tidak boleh memotong gaji dan adanya Skim Insurans Pekerjaan (SIP) untuk membantu pekerja-pekerja yang menghadapi pemberhentian kerja, maka adalah tidak perlu untuk ini. Pendekatan sebegini akan sekali lagi menghakis kebajikan hari tua pekerja dan mewujudkan lubang besar dalam jaring keselamatan mereka.

==========

S.Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *