20200317 - 28397457417fcefeaa24ae337049747701e035396fa70df5345be8979381dcd8-1000x600

Tirai kapitalisme dibuka dengan penularan wabak

Pada tahun 1545-1548, sejenis wabak penyakit demam berdarah yang dikenali sebagai Cocoliztli merebak di wilayah Sepanyol Baru (Nueva España), iaitu tanah jajahan Empayar Sepanyol pada masa itu di kawasan Mexico hari ini, dianggarkan telah membunuh seramai 5 juta hingga 15 juta orang penduduk masyarakat orang asal tempatan, ataupun bersamaan dengan 80% penduduk di situ. Hampir 30 tahun selepas itu, wabak Cocoliztli muncul semula di Mexico, membunuh lebih kurang 2 juta hingga 2.5 juta orang, ataupun bersamaan dengan 50% penduduk di situ. Wabak penyakit maut yang paling dahsyat dalam sejarah Mexico ini, dengan jumlah kematian paling tinggi sejak wabak “Maut Hitam” (Black Death) pada tahun 1331-1353 di benua Eurasia yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 75 juta orang, merupakan salah satu daripada banyak kejadian wabak yang melanda benua Amerika berikutan penjajahan kuasa imperialis Eropah di “Dunia Baru” itu.

20200316 - pandemik - co

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2018, mendedahkan bahawa patogen yang disyaki sebagai penyebab kepada penyakit Cocoliztli, adalah berkemungkinan dibawa masuk oleh penjajah Eropah ke benua Amerika, dan akhirnya membunuh sejumlah besar penduduk di situ, di samping kekejaman penjajah Eropah terhadap penduduk tempatan di benua Amerika yang menentang kekuasaannya. Selain Cocoliztli di mana punca kepada wabak yang dikatakan “misteri” itu masih diperdebatkan, penjajah Eropah juga telah membawa masuk penyakit lain dari “Dunia Lama”, seperti cacar, tifus, malaria dan demam selesema, ke benua Amerika yang “baru ditemui” oleh kuasa imperialis Eropah pada masa itu.

Penjajahan kuasa Eropah di benua Amerika, membuka ruang kepada pengumpulan primitif untuk pembangunan kapitalisme (sebuah sistem sosio-ekonomi yang berlandaskan pengumpulan modal yang berterusan oleh pemilik modal) di Eropah tidak lama kemudian. Kemunculan kapitalisme dan kuasa besar yang mengamalkan sistem kapitalis, berkait rapat dengan kekejaman penjajah Eropah terhadap masyarakat orang asal di “Dunia Baru”, pemerdagangan hamba dari Afrika, dan penggondolan sumber alam di tanah jajahan kuasa imperialis (yang terletak di Asia, Afrika, sehingga Amerika) sebagai bahan mentah pengeluaran perindustrian kapitalis. Malapetaka wabak penyakit yang meragut jutaan nyawa masyarakat tempatan dan golongan pekerja pendatang di tanah jajahan kuasa besar, turut menjadi pembuka tirai kepada kapitalisme moden!

20200317 - lapook-flu-vaccine-0301182

Wabak penyakit: Produk interaksi masyarakat manusia dengan alam semulajadi

Persekitaran permukaan bumi di mana manusia menghuni dan hidup, penuh dengan mikroorganisma yang bersaiz amat kecil dan halus, sama ada di dalam udara, tanah, badan hidupan yang lain ataupun di dalam badan manusia. Mikroorganisma-mikroorganisma ini boleh dikategorikan kepada beberapa jenis utama, iaitu virus, bakteria, fungus, protozoa dan alga. Sesetengah mikroorganisma boleh menyebabkan penyakit, dikenali sebagai patogen. Bukan semuanya mikroorganisma boleh menjadikan manusia sakit, hanya lebih kurang 3% mikroorganisma boleh menyebabkan penyakit. Manusia boleh jatuh sakit apabila dijangkiti patogen.

Wabak penyakit, iaitu perebakan penyakit berjangkit dalam masa yang singkat dalam kalangan sekumpulan manusia di sesuatu kawasan geografi, sering kali berlaku dalam sejarah masyarakat manusia, kesan daripada interaksi aktiviti masyarakat manusia dengan alam semulajadi.

Dari segi epidemiologi (ilmu yang mengkaji dan menganalisis taburan, corak dan penentu keadaan penyakit), corak kejadian penularan wabak penyakit boleh dibahagikan kepada:

  • Endemik– Kejadian penyebaran penyakit berjangkit berterusan dalam satu populasi tempatan tertentu dengan jumlah jangkitan yang stabil. Contohnya, gejala penyakit denggi di Malaysia.
  • Epidemik – Kejadian penularan penyakit dengan peningkatan jangkitan secara mendadak dalam jangka masa yang pendek di kalangan jumlah orang yang besar, dan boleh merebak kepada komuniti lain di tempat lain. Juga dikenali sebagai “wabak” dalam Bahasa Melayu. Contohnya, wabak virus Nipah yang melanda Malaysia pada tahun 1998-1999; wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002-2003 yang merebak di negara China, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan beberapa buah negara lagi; wabak Ebola di Afrika Barat pada tahun 2014-2016.
  • Pandemik– Kejadian wabak yang merebak ke seluruh dunia, merentasi benua dan menjangkiti orang dalam jumlah yang besar. Contohnya, Pandemik Selesema 1918 yang dianggarkan membunuh 17 juta hingga 50 juta orang; Pandemik Selesema Babi pada tahun 2009-2010 yang disahkan meragut nyawa lebih 14,000 orang di seluruh dunia; Pandemik AIDS sejak tahun 1980-an; Pandemik Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang sedang berlaku ketika ini.

Wabak penyakit boleh timbul apabila kegiatan manusia mengganggu keseimbangan alam sekitar, seperti penebangan hutan secara besar-besaran, kemusnahan persekitaran semula jadi, dan aktiviti ekonomi yang membawa pencemaran alam (seperti penternakan kilang, industri toksik dan sebagainya). Penularan wabak dalam masyarakat manusia pula berkaitan dengan penghijrahan ataupun pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Wabak Maut Hitam yang melanda pada kurun ke-14, pandemik yang paling teruk dalam sejarah tamadun manusia yang dianggarkan meragut nyawa seramai 75 juta hingga 200 juta orang di benua Eurasia (Eropah dan Asia), disebabkan dan diburukkan oleh kombinasi beberapa keadaan, seperti peperangan dan kebuluran yang berkaitan dengan penaklukan Empayar Mongol pada kurun ke-13, serta perubahan iklim pada masa itu. Perluasan kuasa tentera Mongol telah membawa bersamanya penyebaran wabak bubonik (sejenis penyakit boleh membawa maut yang melibatkan keradangan nodus limfa dan disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis) di wilayah yang dicerobohnya di benua Eurasia, dan kemudiannya “menyumbang” kepada penularan wabak Maut Hitam. Wabak Maut Hitam telah dibawa dari China (di mana wabak tercetus berikutan peristiwa kebuluran) dan Asia Tengah ke Timur Tengah dan kemudiannya Eropah, oleh pengembara Mongol dan saudagar-saudagar yang menjelajah untuk berdagang di antara wilayah-wilayah di benua Eurasia.

Selain wabak penyakit yang dibawa masuk oleh orang luar atau penjajah yang menjangkiti dan membunuh populasi tempatan, seperti wabak penyakit Cocoliztli di Mexico, juga adanya penjajah yang dijangkiti penyakit yang wujud di tanah jajahan. Pada tahun 1828, penjajah Belanda mendirikan satu petempatan yang dipanggil Fort du Bus, di pesisiran laut bahagian tenggara pulau New Guinea (iaitu Papua Barat hari ini), tetapi terpaksa meninggalkannya beberapa tahun kemudian pada 1835 kerana ramai warga Belanda yang tinggal di situ dijangkiti penyakit, khususnya penyakit Malaria, selain diserang berterusan oleh puak orang asal yang tidak senang hati dengan kehadiran golongan penjajah Belanda di situ. Walau bagaimanapun, yang paling menanggung kesan penularan wabak, masih adalah masyarakat bawahan yang tidak berkuasa, sama ada masyarakat orang asal ataupun tenaga buruh asing yang dibawa masuk oleh kuasa penjajah.

Pada awal zaman perkembangan sistem kapitalis, penjajah Eropah di benua Amerika mula-mula menggunakan penduduk asal di situ untuk bekerja sebagai buruh paksaan untuk mengeksploitasi tanah dan sumber di “Dunia Baru” supaya menjana keuntungan lumayan kepada golongan pemodal dari Eropah. Namun, ramai penduduk asal benua Amerika yang diperhambakan mati kerana kerja berlebihan dan juga penyakit berjangkit yang dibawa masuk dari “Dunia Lama” (iaitu benua Eropah). Oleh sebab kekurangan tenaga buruh untuk menggondol kekayaan benua Amerika selepas kematian ramai penduduk tempatan, penjajah Eropah membawa masuk pula hamba dari Afrika ke Amerika. Puluhan juta orang hamba dari benua Afrika dibawa merentasi Lautan Atlantik sepanjang abad ke-16 hingga abad ke-19, namun dianggarkan 1.2 juta hingga 2.4 juta hamba Afrika mati dalam perjalanan kerana penyakit, sementara lebih kurang 5 juta orang lagi hamba Afrika mati di dalam kem peralihan untuk hamba di kawasan Kepulauan Carribean kerana penyakit berjangkit seperti disentri.

20200316 - pandemik - gettyimages-56248090-vertical

Karl Marx menulis dalam karya agungnya Das Kapital, “Modal datang ke dunia ini, dengan titisan darah dan kotoran di setiap liang bulu, dari kepala sampai kaki.” Kenyataan ini boleh diubahsuai kepada “modal datang ke dunia ini dengan virus wabak maut di setiap liang bulu, dari kepala sampai kaki”.

Dengan ekonomi sedunia hari ini yang semakin berhubung rapat di bawah mantra “globalisasi” (satu istilah yang agak popular digunakan pada tahun 1990-an dan 2000-an untuk menggambarkan dunia “tanpa sempadan” yang didominasi oleh pasaran bebas kapitalis), di mana bukan sahaja semakin banyak barangan bergerak merentasi sempadan negara, malah pergerakan manusia juga semakin hari semakin kerap, sama ada dalam bentuk penghijrahan pekerja-pekerja migran untuk mencari punca pendapatan yang lebih baik demi menampung kehidupan keluarga mereka, ataupun peredaran pelancong-pelancong yang semakin besar jumlahnya dengan perkembangan jaringan sistem pengangkutan yang semakin meluas dan canggih. Jaringan pengangkutan yang semakin efisien dan meluas, memudahkan peralihan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi pada masa yang sama juga mempercepatkan penularan wabak penyakit.

Bencana alam yang disebabkan perubahan iklim dan peperangan yang disebabkan oleh perebutan kuasa antara golongan berkuasa, tambahan pula dengan kerosakan pada perkhidmatan awam (termasuk sistem kesihatan awam) yang diakibatkan oleh dasar kerajaan yang berlandaskan fahaman neoliberal, memburukkan lagi perebakan wabak, walaupun pada zaman masyarakat moden yang menyaksikan kemajuan teknologi (termasuk teknologi perubatan) yang hebat.

Perang dan pandemik: “Hadiah” kapitalisme dan imperialisme kepada dunia

Pandemik Selesema 1918, yang juga dikenali sebagai “Selesema Sepanyol” (sedangkan wabak ini bukannya berasal dan berkaitan langsung dengan Sepanyol kecuali ia merupakan salah sebuah negara yang dilanda wabak ini), ialah penularan jangkitan penyakit selesema (influeza) membawa maut yang paling serius dalam sejarah moden, malah kemungkinan juga paling teruk dalam sejarah masyarakat manusia. Pandemik yang melibatkan jangkitan virus influenza H1N1 tersebut, tercetus pada ketika berlakunya Perang Dunia I, satu peperangan antara kuasa-kuasa imperialis untuk penyusunan semula kekuasaan dan kepentingan ekonomi kapitalis negara masing-masing. Pandemik yang dikatakan “Ibu kepada Semua Pandemik” ini dianggarkan telah menjangkiti lebih 500 juta orang, dan menyebabkan kematian seramai 50 juta orang di seluruh dunia.

20200316 - pandemik - NINTCHDBPICT000378124840-1

Terdapat banyak hipotesis tentang asal usul Pandemik Selesema 1918, dengan adanya beberapa yang mencadangkan bahawa wabak selesema ini berasal dari China, di mana kawasan itu biasa berlaku pemindahan penyakit dari haiwan ke manusia kerana keadaan petempatan yang padat. Salah satu hipotesis yang dikemukakan oleh Mark Humphries, seorang ahli sejarah dari Kanada, mengatakan bahawa pengerahan 96,000 orang buruh dari China ke Barisan Hadapan Barat (Western Front) Perang Dunia I untuk bekerja bagi pihak tentera British dan Perancis, mungkin merupakan sumber yang mencetuskan penularan Pandemik Selesema 1918. Ada juga hipotesis lain yang mengatakan bahawa Pandemik Selesema 1918 berasal dari negeri Kansas, Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, setelah tercetusnya wabak Selesema 1918, pergerakan tentera dalam jumlah yang besar telah meningkatkan kebarangkalian jangkitan penyakit dan memburukkan lagi kejadian wabak. Tambahan pula dengan sistem imun badan pada askar-askar dan penduduk-penduduk di kawasan peperangan yang dilemahkan oleh kekurangan nutrisi makanan, di samping tekanan daripada pertempuran yang berterusan dan serangan bahan kimia, telah membolehkan penyebaran virus selesema yang lebih mudah dan meningkatkan lagi kadar kematian kerana penyakit.

Perang Dunia I berlaku kerana persaingan antara kuasa-kuasa imperialis untuk merebut tanah jajahan, memperluaskan kuasa pengaruh politik-ekonomi dan menguasai sumber bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran kapitalis. Akibatnya, lebih 20 juta orang, sama ada askar ataupun orang awam, mati secara langsung dalam peperangan, dan lebih ramai lagi mati dalam wabak yang berkaitan dengan Perang Dunia I.

Krisis sistem kapitalis yang berterusan selepas Perang Dunia I, membiak fahaman pelampau Nazi dan Fasis sehingga membawa kepada satu lagi kehancuran dunia yang lebih hebat, Perang Dunia II. Walaupun tidak berlakunya pandemik seteruk Pandemik Selesema 1918 ketika Perang Dunia II, kerana perkembangan teknologi perubatan baru dan vaksin mula digunakan ke atas anggota tentera untuk mencegah penyakit berjangkit ketika perang, namun kejadian penularan wabak yang berlainan berlaku di merata tempat akibat daripada keadaan peperangan. Ramai orang mati kerana wabak Tifus yang melanda kem tahanan Nazi semasa Perang Dunia II. Bagaimanapun, jauh lebih ramai lagi orang mati dalam Perang Dunia II berbanding Perang Dunia I.

Dengan membiak peperangan dan wabak penyakit, tidak hairanlah sebenarnya kapitalisme itu juga sejenis pandemik, malah lebih bahaya daripada pandemik.

Sistem pengeluaran kapitalis menghasilkan wabak penyakit baru

Dalam buku berjudul “Big Farms Make Big Flu” (Ladang Besar Hasilkan Selesema Besar) yang ditulis oleh Rob Wallace, seorang ahli biologi dari Amerika Syarikat, Wallace menjejak bagaimana virus influenza dan patogen yang lain muncul dari sektor pertanian atau agribisnis (perniagaan pengeluaran pertanian) yang dikuasai oleh syarikat korporat multinational. Rob Wallace berhujah bahawa sistem pertanian moden bercorak industri memainkan peranan penting dalam menyebarkan virus influenza yang membawa maut seperti H1N1.

Rob Wallace berkata dalam satu temuramah, “Korporat besar seringkali mengalihkan perhatian orang ramai kepada penjelasan yang lain, seperti apabila berlakunya kejadian wabak seperti penularan wabak selesema burung H5N2 di wilayah Barat Tengah Amerika Syarikat pada tahun 2015. Mereka menyalahkan orang China, atau menyalahkan petani kecil malah petani kontrak yang diupah mereka sendiri atas tuduhan melanggar amalan syarikat, tetapi apa yang sebenarnya hendak dilakukan mereka adalah cuba mengalihkan perhatian daripada hakikat bahawa model ekonomi itu sendiri ialah sumber yang memandu evolusi dan penyebaran patogen maut.

Model ekonomi yang dimaksudkan di sini ialah model yang berasaskan kapitalisme, sistem ekonomi yang sentiasa memaksimumkan keuntungan pemodal atau korporat. Pertanian yang berasaskan model ekonomi kapitalis, bukan lagi pertanian yang bertujuan utama untuk menghasilkan makanan yang memenuhi keperluan asas kehidupan rakyat, tetapi untuk menjana keuntungan korporat yang boleh dilaburkan semula dalam bentuk modal untuk keuntungan yang lebih banyak lagi.

Adalah diketahui umum bahawa virus selesema disebarkan kepada manusia daripada spesies haiwan lain seperti ayam dan khinzir, maka adanya nama samaran seperti “selesema burung” dan “selesema babi”. Namun, jangkitan merentasi spesies ini tidak berlaku begitu mudah jika tiadanya perubahan struktur dalam penternakan haiwan yang memacu evolusi strain virus selesema.

20200316 - pandemik-poultry-farm

Penyusunan semula industri penternakan, khususnya peralihan corak penternakan daripada perternakan berkumpulan kecil dalam ladang keluarga atau perternakan kampung yang kecil-kecilan kepada perternakan besar-besaran dalam ladang korporat yang besar, dengan ternakan seperti ayam dan khinzir dalam jumlah yang besar dihimpitkan dalam ruang yang sempit di dalam kemudahan penternakan yang besar, menyediakan tapak yang subur untuk perkembangan dan kecukan pelbagai jenis virus selesema. Walaupun mampu menghasilkan jumlah makanan daging yang banyak untuk penggunaan populasi yang semakin meningkat, namun berbanding dengan penternakan kecil-kecilan tradisional di perkampungan, industri ini bukan lagi “menternak” tetapi “mengeluarkan” (seperti kilang) haiwan yang membekalkan daging, dengan virus wabak berjangkit sebagai “produk sampingan”.

Antara faktor wilayah di Selatan China sering menjadi tempat asal tercetusnya wabak selesema sejak dahulu lagi, adalah amalan penternakan haiwan (sama ada ayam itik atau khinzir) berskala besar-besaran yang digunakan sejak kurun ke-17 semasa Dinasti Qing, tetapi perkembangan ladang peternakan berbentuk industri pada masa kini meningkatkan lagi kecederungan kemunculan penyebaran virus selesema. Pengeluaran ayam dan khinzir pada skala yang besar, menjadi vektor yang penting untuk evolusi virus selesema yang baru dan dapat menyebarkan kepada manusia.

Wabak penyakit virus Ebola yang berbahaya, juga berkaitan dengan sistem pengeluaran kapitalis yang mendahulukan keuntungan berbanding segala perkara lain termasuk nyawa manusia. Penerokaan kawasan hutan di Afrika Barat untuk perladangan kelapa sawit, yang memusnahkan habitat kelawar yang membawa virus Ebola, menyebabkan wabak maut tersebut berpindah dan merebak dalam komuniti manusia.

Dalam erti kata lain, sistem pengeluaran kapitalis yang mengutamakan keuntungan korporat merupakan punca kepada wabak penyakit baru.

Untuk mengurangkan kejadian wabak virus yang baru, pengeluaran makanan masyarakat kita perlu diubah secara radikal. Kita perlu mengurangkan malah menyekat sepenuhnya pengaruh korporat besar dalam sektor pertanian, di samping mewujudkan alternatif kepada pertanian korporat dan agribisnis. Antara alternatif yang boleh diteroka malah sudah pun diamalkan di banyak tempat, termasuk koperasi pertanian, sistem tanaman-ternakan campuran (yang menghindarkan pertanian monokultur, iaitu satu bidang tanah yang luas digunakan untuk menghasilkan sejenis tanaman atau spesies ternakan sahaja) dan sebagainya, untuk membendung kemusnahan alam sekitar kerana pertanian berbentuk industri yang tidak mampan dan juga mengurangkan risiko pelepasan patogen penyakit berjangkit ke dalam populasi manusia.

Mungkin ramai orang menganggap sistem kesihatan awam kita sebagai barisan terdepan untuk melawan penularan wabak, tetapi sebenarnya barisan terdepan untuk menangkis ancaman wabak ialah sistem pengeluaran masyarakat kita. Apabila sistem pengeluaran kapitalis itu sendiri mewujudkan dan memburukkan lagi penularan wabak, maka satu-satu caranya untuk mencapai kemenangan mutlak dalam pertempuran dengan wabak di barisan terdepan adalah mengubah sepenuhnya sistem pengeluaran ini.

Apabila barisan terdepan ditembusi, maka barisan kedua terdepan yang juga sangat penting untuk menghadapi wabak, ialah sistem kesihatan awam kita, yang perlu disokong juga dengan sistem kebajikan sosial dan perlindungan sosial yang dapat diakses mudah oleh rakyat jelata.

20200317 - panic-frank-wermuth

Panik dan stigma: Kembar siam ketika kejadian wabak

Apabila berlakunya wabak yang disebabkan oleh sejenis patogen yang baru, misalnya wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19), sering tercetusnya panik di kalangan masyarakat umum, khususnya oleh sebab orang ramai tidak tahu banyak tentang wabak baru itu dan kesan sebenarnya. Ini sesuatu yang “normal”, tetapi boleh mendatangkan kesan yang jauh lebih teruk berbanding penularan wabak itu sendiri sekiranya panik merebak di luar kawalan.

Kerap kalinya pihak berkuasa, khususnya pemerintahan yang bersifat autoritarian atau birokratik, cuba tidak mendedahkan maklumat sepenuhnya tentang kejadian wabak, malah ada cubaan untuk menutupi atau melambatkan penyampaian maklumat, seperti yang berlaku pada awal kejadian wabak COVID-19 di bandaraya Wuhan, China, atas alasan mahu mengelakkan kepanikan. Namun, biasanya cara menyekat penyebaran maklumat dan amalan yang tidak telus ini membawa kesan yang sebalik, menimbulkan lebih banyak lagi kegusaran orang umum, dan lebih teruk lagi adalah mewujudkan perasaan tidak percaya lagi kepada kerajaan, sehingga membolehkan berita palsu dapat disebarkan dengan lebih mudah dan lebih meluas lagi. Ketelusan pihak berkuasa dalam menghadapi situasi krisis penularan wabak adalah penting, untuk mewujudkan kepercayaan rakyat kepada maklumat yang disampai dan kepatuhan kepada arahan pihak berkuasa untuk langkah-langkah membendung wabak.

Sering kalinya datang bersama dengan kepanikan masyarakat terhadap sesuatu wabak penyakit, adalah stigma sosial. Stigma ialah tanggapan buruk terhadap seseorang individu atau sesuatu kumpulan masyarakat (berasaskan gender, kaum, agama, budaya, keupayaan, bentuk badan, keadaan penyakit dan sebagainya) sehingga menimbulkan diskriminasi terhadap individu atau kumpulan masyarakat berkenaan. Stigma terhadap orang yang menghidapi sesuatu penyakit atau orang yang dianggap menghidapi sesuatu penyakit itu telah wujud lama dalam masyarakat, khususnya masyarakat kelas yang memecah-belahkan dan memisahkan rakyat mengikut berbagai identiti (seperti status masyarakat, kaum, agama, gender, orientasi seksual, umur, pekerjaan, budaya dan sebagainya).

Salah satu contoh stigma terhadap orang yang menghidap sesuatu penyakit, ialah stigma terhadap orang yang menghidapi penyakit kusta pada zaman dahulu dan masih lagi wujud di sesetengah tempat pada zaman moden kini. Penyakit kusta yang juga dikenali sebagai penyakit Hansen hari ini, sejenis penyakit berjangkit kronik yang tidak begitu mudah berjangkit dan sudah dapat diubati kini, pernah menimbulkan stigma dalam masyarakat terhadap pesakitnya, kerana kekurangan pemahaman tentang punca penyakitnya dan juga “ketakutan” kepada kecacatan fizikal yang berkaitan dengan penyakit itu. Trauma yang diterima oleh pesakit kusta daripada stigma masyarakat, jauh lebih besar berbanding kecacatan yang disebabkan oleh penyakit itu sendiri.

Stigma terhadap pesakit kusta berkembang ke tahap di mana penempatan kusta diwujudkan untuk mengasingkan pesakit kusta daripada masyarakat. Di negara kita, semasa zaman penjajah British, pusat-pusat penempatan pesakit kusta diwujudkan untuk mengasingkan dan menyingkirkan pesakit kusta daripada masyarakat umum, malah satu enakmen digubal pada tahun 1926 untuk tujuan itu. Pusat Kawalan Kusta Negara di Lembah Harapan, Sungai Buloh, Selangor, yang tidak lagi menerima kemasukan kes pesakit kusta sejak tahun 1995, pernah menjadi penempatan kusta kedua terbesar di dunia. Sebelum pembinaan penempatan kusta di Lembah Harapan Sungai Buloh, terdapat beberapa pusat penempatan pesakit kusta di seluruh Tanah Melayu, termasuk Pulau Jerejak yang terletak di Pulau Pinang yang mula menempatkan pesakit kusta seawal tahun 1870-an, sebelum dipindahkan ke Lembah Harapan Sungai Buloh. Yang “menarik” tentang Pulau Jerejak adalah, pulau kecil tersebut juga pernah digunakan sebagai tempat pengasingan untuk pesakit tibi (tuberkulosis), di samping dijadikan kem tahanan untuk mereka yang ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat. Sama ada pesakit kusta atau tahanan politik, mereka mengalami nasib pengasingan yang serupa sebagai mangsa kepada sistem pemerintahan yang tidak berperikemanusiaan.

Untuk beberapa dekad kebelakangan ini, orang yang hidup dengan HIV/AIDS juga menjadi mangsa kepada stigma yang timbul akibat daripada kekurangan pengetahuan tentang HIV/AIDS dan prejudis yang sedia wujud terhadap golongan masyarakat tertentu. Stigma terhadap HIV/AIDS melibatkan diskriminasi yang teruk terhadap golongan LGBT, pekerja seks dan orang yang mengambil dadah.

Stigma terhadap orang yang dikaitkan dengan sesuatu penyakit, memburukkan lagi kepanikan terhadap penyakit berkenaan, sementara kepanikan pula memperhebatkan lagi stigma terhadap kumpulan masyarakat tertentu (berasaskan kaum, agama, gender, orientasi seksual, tempat asal, budaya dan sebagainya). Stigma dan panik bukan sahaja tidak akan menyembuhkan apa-apa penyakit, sebaliknya membawa lebih kesengsaraan kepada pesakit dan keluarga mereka, di samping memburukkan lagi tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka yang tidak menghidap penyakit. Menghapuskan stigma dan mengurangkan kepanikan, adalah penting dan perlu selari dengan usaha mengawal penularan sesuatu penyakit.

Masyarakat kita telah berkembang maju dengan teknologi maklumat yang semakin canggih. Kita perlu menggunakan kelebihan pencapaian teknologi masyarakat kita untuk membendung stigma dan kepanikan, bukan sebaliknya. Apa yang wujud pada hari ini adalah, teknologi yang semakin canggih digunakan atau disalahgunakan oleh sesetengah pihak (sama ada mempunyai agenda tersendiri, pemikiran yang sempit, tiada kesedaran sivik ataupun tidak bertanggungjawab) untuk menyebarkan stigma dan maklumat palsu yang memburukkan kepanikan. Namun, kadang-kadang reaksi pihak berkuasa untuk menyekat maklumat palsu pula, menjurus kepada kaedah yang turut menyekat ruang demokrasi untuk kebebasan bersuara, sehingga memperkukuhkan lagi kuasa pemerintahan birokrasi atau elit politik yang bersifat autoritarian. Perlunya satu keseimbangan dalam membendung penyebaran maklumat palsu dengan perlindungan kebebasan bersuara, dan ini hanya dapat diwujudkan dengan wujudnya masyarakat demokratik sebenar dengan keterlibatan aktif daripada rakyat yang berkesedaran sivik tinggi dan celik politik.

Penghapusan stigma dan pengekalan pemikiran rasional ketika situasi kecemasan penularan apa-apa wabak, dapat dipupuk melalui kesedaran sivik yang dibina melalui pendidikan bersifat pembebasan yang berterusan dan penyertaan rakyat biasa secara aktif dalam proses politik masyarakat.

20200317 - da29688ba3e98319cf7311ef289b93bd

Sistem kesihatan awam: Pertahanan kolektif masyarakat dalam menghadapi ancaman wabak

Tiada masyarakat boleh memanggil dirinya secara sah sebagai bertamadun, sekiranya seseorang yang sakit dinafikan bantuan perubatan kerana kekurangan sarana.

– Aneurin Bevan (1897-1960), tokoh politik Parti Buruh Britain yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di UK

Walaupun sistem kesihatan awam bukannya barisan terdepan sekali untuk menyekat ancaman wabak (kerana barisan terdepan ialah sistem pengeluaran ekonomi, termasuk pengeluaran makanan), tetapi ia merupakan barisan pertahanan yang amat penting untuk menangani sebarang ancaman wabak, bersama-sama dengan kewujudkan sistem kebajikan sosial dan perlindungan sosial yang menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam Perisytiharan Alma-Ata yang diterima dalam Persidangan Antarabangsa mengenai Jagaan Kesihatan Primer yang diadakan pada tahun 1978 di Almaty, ibu kota Republik Sosialis Soviet Kazakhstan masa itu, dinyatakan dengan jelas bahawa “kesihatan, yang merupakan keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang lengkap, dan bukan sekadar ketiadaan penyakit atau kerengsaan, adalah hak asasi manusia, dan pencapaian kesihatan pada tahap yang setinggi mungkin adalah matlamat masyarakat seluruh dunia yang paling penting di mana realisasinya memerlukan tindakan daripada banyak sektor sosial dan masyarakat yang lain selain kesihatan.”

Hak asasi manusia untuk kesihatan merangkumi aspek yang lebih jauh daripada memerangi penyakit, tetapi kehidupan bebas daripada ancaman penyakit adalah sebahagian yang penting untuk mencapai kesejahteraan hidup yang sebenar. Sistem kesihatan awam diwujudkan untuk mencegah penyakit (sama ada berjangkit atau tidak berjangkit), merawat mereka yang sakit, memanjangkan hayat dan meningkatkan kualiti kehidupan harian rakyat.

Hasil daripada perjuangan masyarakat berterusan, kelas pemerintah di banyak negara telah berkompromi dan mengiktiraf kesihatan awam sebagai tanggungjawab kerajaan. Sistem kesihatan awam menjadi sebahagian penting dalam pentadbiran negara kebajikan. Pelaksanaan sistem kesihatan awam, bersama dengan pembangunan teknologi perubatan, banyak penyakit yang dahulunya tidak dapat diubati telah dapat dirawati dan jangka hayat masyarakat juga dipanjangkan secara signifikan.

Sistem kesihatan awam dapat memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat kita terlindung daripada ancaman wabak penyakit, dengan menyediakan kemudahan pengesanan, diagnosis, rawatan dan penjagaan kepada populasi yang terdedah kepada wabak penyakit. Sekiranya sistem kesihatan awam tidak dapat berfungsi secara baik ataupun tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kejadian penularan wabak, kesannya adalah memudaratkan masyarakat dengan risiko tinggi kehilangan nyawa, keselamatan dan kesihatan rakyat. Sistem kesihatan awam yang sempurna tidak terhad kepada sekadar menyediakan perkhidmatan diagnosis dan rawatan kepada mereka yang sakit, tetapi juga termasuk pencegahan yang meliputi pendidikan kesihatan, pemeriksaan badan berkala, pemvaksinan, penjagaan kebersihan persekitaran dan sebagainya. Pembekalan air minuman yang bersih dan selamat, serta sistem pembentungan yang berkesan, juga adalah sebahagian daripada sistem kesihatan awam yang sempurna.

Namun, hanya dengan sistem kesihatan awam sahaja, masih tidak mencukupi untuk menghadapi penularan wabak penyakit. Kita juga perlukan sokongan daripada sektor yang lain, termasuk sistem perlindungan sosial, pemeliharaan alam sekitar, pembekalan makanan berkhasiat, sokongan komuniti tempatan dan sistem ekonomi yang benar-benar memastikan kesejahteraan rakyat jelata.

Trump

Dasar neoliberal menghakis sistem kesihatan awam dan solidariti masyarakat

Selepas pengalaman kemusnahan yang teruk akibat daripada peperangan imperialis (iaitu tahap tertinggi untuk kapitalisme), khususnya Perang Dunia II, banyak negara mula melaksanakan sistem negara kebajikan yang termasuk penyediaan perkhidmatan kesihatan universal yang dibiayai melalui sistem percukaian progresif. Perkhidmatan awam yang termasuk penjagaan kesihatan, disediakan untuk kegunaan semua rakyat atas semangat solidariti masyarakat.

Namun, sistem ekonomi kapitalis yang berfungsi berlandaskan pengumpulan modal secara berterusan, sentiasa mengancam sistem kesihatan awam.

Fahaman ekonomi neoliberal (satu doktrin kapitalisme yang mengagung-agungkan pasaran bebas sebagai satu-satunya mekanisme yang terbaik untuk pengagihan sumber masyarakat) mula tersebar di dunia pada tahun 1970-an dan mempengaruhi pembentukan dasar kerajaan di banyak negara. Di bawah mantra “globalisasi”, dasar ekonomi neoliberal yang membawa pendekatan liberalisasi (iaitu pembukaan pasaran tempatan kepada pelabur asing dan pengurangan tatif untuk membolehkan barangan keluaran korporat multinasional untuk menembusi pasaran di seluruh dunia), penswastaan (iaitu memindah milik syarikat milik kerajaan dan perkhidmatan awam ke dalam tangan syarikat korporat swasta) dan penyahkawalseliaan (iaitu penghapusan peraturan yang mengawal peredaran modal), telah melemahkan perkhidmatan awam di banyak negara, dengan sistem kesihatan awam merupakan salah satu aspek yang terjejas kerananya.

Pengelakan daripada membayar cukai menyebabkan kerajaan kekurangan dana untuk membiayai kesihatan awam, malah adanya sesetengah pihak korporat dalam sektor swasta cuba menjadikan kesihatan satu lagi komoditi untuk menjana keuntungan bagi mereka. Perkembangan sektor kesihatan swasta telah menghakis kualiti perkhidmatan sektor kesihatan awam.

Setelah sistem kebajikan sosial dirosakkan oleh dasar neoliberal yang mengkayakan golongan mahakaya dengan memiskinkan golongan miskin, golongan pendukung dasar neoliberal menawarkan pula “solusi” yang bersifat individualistik, berasaskan nilai mata wang dan menghancurkan solidariti masyarakat. Syarikat insurans swasta mengambil kesempatan untuk menjual “produk” perlindungan insurans kepada rakyat yang tidak begitu mampu untuk membayar caj perkhidmatan perubatan yang tinggi di hospital swasta, bukan kerana syarikat insurans itu begitu murah hati untuk membantu orang atau ingin melakukan kerja amal, sebaliknya ia satu bisnis yang sangat menguntungkan – menjana keuntungan daripada ketidakjaminan sosial yang dialami rakyat terbanyak.

Adanya juga pembekal perkhidmatan kesihatan swasta yang ingin melipatgandakan lagi keuntungan bersekongkol dengan kerajaan yang termakan dengan fahaman neoliberal untuk mempromosi “pelancongan kesihatan”, menjadikan kesihatan satu produk untuk menjana pendapatan matawang asing.

Di negara Malaysia, banyak hospital swasta ditubuhkan dan dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini telah menimbulkan satu konflik kepentingan antara mengekalkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan, dengan menjana keuntungan kewangan daripada perniagaan hospital swasta yang dimiliki oleh sayap pelaburan kerajaan.

Dasar neoliberal telah mengundang krisis yang mendalam kepada ekonomi dunia. Namun, setiap kali berlakunya krisis ekonomi, rakyat biasa pula yang dikorbankan. Demi menyelamatkan ekonomi kapitalis, demi memastikan syarikat korporat besar tidak “dibebankan” dengan cukai progresif, demi membolehkan golongan kapitalis terus mengaut keuntungan daripada penderitaan rakyat bawahan, perbelanjaan kebajikan sosial dipotong dan ini menjejaskan lagi akses orang ramai kepada perkhidmatan awam yang berkualiti, termasuk kesihatan awam. Rakyat sama ada perlu menanggung kesan realiti perkhidmatan kesihatan yang semakin merosot, ataupun perlu membayar lebih untuk “membeli” semula hak asasinya yang digadaikan kepada golongan korporat yang mendahagakan keuntungan. Seringkali apabila ekonomi kapitalis global mengalami krisis, dengan keuntungan yang dapat dikaut oleh golongan korporat itu merosot, kerajaan yang berjinak-jinak dengan sistem kapitalis akan mengurangkan perbelanjaan sosial, termasuk memotong peruntukan kepada kesihatan awam, atas nama “penjimatan”.

Demonstrators take part in a protest against government spending cuts in education during a nationwide education sector strike in Madrid

Kekurangan zat khasiat boleh melemahkan keimunan badan kita terhadap penyakit, dasar kapitalis neoliberal yang “menjimat” (dengan memotong perbelanjaan kebajikan sosial) untuk menyelamatkan keuntungan korporat pula menjejaskan keimunan masyarakat kita terhadap impak wabak penyakit kepada rakyat bawahan.

Lebih-lebih lagi, ramai antara golongan mahakaya di seluruh dunia menyorok kekayaan mereka yang dijana melalui sistem kapitalis yang eksploitatif di tempat berlindung cukai, menyebabkan kekayaan masyarakat yang dihasilkan daripada titik peluh kelas pekerja sedunia tidak dapat diagihkan secara adil ke dalam pembiayaan perkhidmatan awam yang penting seperti kesihatan, pendidikan, bekalan air bersih, sanitasi, perumahan sosial dan sebagainya.

Pengagihan semula kekayaan boleh tingkatkan keimunan masyarakat terhadap krisis global

Melangkah masuk ke dalam abad ke-21, walaupun kekayaan masyarakat sedunia telah bertambah jauh lebih banyak berbanding abad-abad sebelum ini dan teknologi perubahan semakin canggih, ramai rakyat bawahan sama ada di negara maju atau negara miskin, tetap menderita apabila dilanda krisis, termasuk penularan wabak penyakit. Banyak kerajaan menggunakan alasan kekurangan dana untuk membekukan atau mengurangkan peruntukan kepada kesihatan awam sehingga kualiti perkhidmatan kesihatan yang diterima oleh rakyat biasa semakin merosot, apatah lagi ketika menghadapi krisis penularan wabak yang memakan lebih banyak lagi sumber perubatan sektor awam. Lebih-lebih lagi, ramai pekerja dan rakyat bawahan terpaksa menanggung kesulitan dan keperitan hidup yang lebih hebat pada ketika krisis wabak penyakit kerana pendapatan yang rendah, malah ada yang mungkin kehilangan punca pendapatan. Keadaan menjadi lebih teruk sekiranya tiada jaring keselamatan sosial yang dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. Kekurangan dana kerajaan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam dan perlindungan sosial adalah disebabkan kadar cukai ke atas korporat besar dan golongan mahakaya semakin dikurangkan. Golongan mahakaya menjadi lebih kaya lagi dengan pengurangan kadar cukai progresif sedangkan perkhidmatan awam untuk rakyat biasa semakin mereput kerana kekurangan dana.

Laporan Oxfam pada tahun 2019 menyatakan bahawa dengan hanya mengenakan 0.5% cukai tambahan ke atas kekayaan golongan 1% terkaya di dunia, kita akan dapat menjana dana yang mencukupi untuk membiayai pendidikan untuk kesemua 262 juta orang kanak-kanak yang tidak bersekolah pada masa ini dan membekalkan perkhidmatan kesihatan yang dapat menyelamatkan nyawa 3.3 juta orang!

Laporan Oxfam pada tahun 2020 pula menyatakan bahawa, sekiranya kerajaan-kerajaan di dunia meningkatkan kadar cukai ke atas golongan terkaya 1% , akan dapat membantu banyak dalam menangani masalah kerja penjagaan yang tidak dibayar. Pertambahan cukai sebanyak 0.5% ke atas kekayaan golongan terkaya 1% untuk 10 tahun akan datang, sudah mencukupi untuk mencipta 117 juta pekerjaan penjagaan dalam sektor-sektor seperti pendidikan, kesihatan dan jagaan orang tua.

1% daripada kekayaan Jeff Bezos, orang terkaya di dunia pada masa kini, adalah bersamaan dengan dengan belanjawan kesihatan untuk negara Ethiopia yang mempunyai seramai 105 juta orang penduduk. Golongan mahakaya global pada masa kini menyembunyikan sekurang-kurangnya USD 7.6 trilion kekayaan mereka daripada dicukai. Golongan mahakaya dan syarikat korporat besar menyorok kekayaan mereka di tempat berlindung cukai di seluruh dunia, termasuk Luxembuorg, Kepulauan Cayman, Bermuda, Kepulauan Virgin British, Ireland, Switzerland, Belanda, Hong Kong, Singapura dan sebagainya.

Bayangkanlah, jika semua golongan mahakaya 0.1% teratas (seperti Jeff Bezos, Bill Gates, Warren Buffett, Bernard Arnault, Carlos Slim, Armancio Ortega, Mark Zuckerberg, Michael Bloomberg dan sebagainya) membayar semua cukai yang sepatut dibayar oleh mereka, jika kita menutup semua tempat berlindung cukai di seluruh dunia, sudah pasti dunia kita mempunyai dana yang jauh lebih daripada mencukupi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan universal yang percuma dengan kualiti yang tertinggi dan perlindungan sosial yang menyeluruh kepada setiap penduduk di planet Bumi ini, di samping membolehkan dunia kita (termasuk negara-negara yang lebih mundur dari segi ekonomi) untuk membendung sebarang pandemik dan mengurangkan impaknya kepada masyarakat umum.

Pengagihan semula kekayaan masyarakat dunia dengan saksama, bukan sahaja mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat dan mewujudkan keadilan sosial, malah ia dapat menguatkan “keimunan” masyarakat kita terhadap sebarang krisis, sama ada di peringkat lokal ataupun global, sama ada krisis iklim ataupun ancaman pandemik.

Wabak penyakit itu kecemasan kesihatan, kapitalisme itu bencana sebenar

Jika kita dapat cari wang untuk membunuh orang, kita juga dapat cari wang untuk membantu orang.”

– Tony Benn (1925-2014), tokoh politik Parti Buruh UK, petikan daripada temuramah dalam filem dokumentari Sicko (2007) arahan Michael Moore

Penyebaran wabak merupakan kecemasan kesihatan masyarakat, tetapi kapitalisme itu pula bencana yang sebenar. Kapitalisme itu juga sejenis wabak penyakit, sejenis pandemik – pandemik yang menghancurkan solidariti masyarakat di samping membiak ketidakadilan sosial dan eksploitasi yang berterusan (sama ada ke atas rakyat bawahan ataupun alam sekitar).

20200317 - healt

Untuk membendung dan menangani ancaman penularan wabak, kita perlukan sistem kesihatan awam yang berasaskan solidariti masyarakat, di mana ia dibiayai dengan sistem percukaian progresif yang memastikan kekayaan masyarakat diagihkan secara adil, dan sesiapa yang memerlukan perkhidmatan kesihatan tidak perlu membayar semasa menggunakannya. Selain memberi perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat umum, sistem kesihatan awam yang berasaskan solidariti masyarakat, juga akan memastikan semua kakitangan perubatan (seperti doktor, jururawat, paramedik, ahli farmasi, ahli terapi dan sebagainya) dan pekerja sokongan dalam sektor kesihatan (seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan sebagainya) dibayar dengan ganjaran yang setimpal dengan pengorbanan mereka di samping menjamin perlindungan sosial mereka.

Kita tidak perlukan sistem kesihatan yang berasaskan keuntungan ataupun dasar yang menggalakkan pelancongan kesihatan, malah kita boleh menghindarkan diri daripada pendekatan yang merosakkan masyarakat kita ini. Sistem kesihatan awam yang sempurna juga akan menekankan pada pendidikan kesihatan dan pencegahan penyakit untuk masyarakat umum secara menyeluruh. Namun, sistem kesihatan awam yang berkualiti dan sempurna tidak dapat wujud berasingkan, dan ia perlu disokong oleh sistem sosio-ekonomi yang mengutamakan kesejahteraan rakyat bukannya keuntungan korporat.

Oleh yang demikian, kita perlu membina gerakan rakyat dari bawah untuk melawan pandemik kapitalis dan memperjuangkan alternatif masyarakat yang menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan.

Penyakit yang menjangkiti tubuh badan kita boleh dirawat dengan ubat, sementara pandemik kapitalisme yang menghancurkan fabrik sosial dan membiak ketidakadilan di dunia hanya boleh diubati dengan gerakan rakyat dari bawah yang berlandaskan semangat solidariti komuniti, kekitaan, kesamarataan dan pembebasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *