20200223 - coronavirus-2

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytihar pada 11 Mac 2020 bahawa wabak Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) boleh disifatkan sebagai “Pandemik”, iaitu kejadian wabak besar-besaran yang merebak seantero dunia dan melibatkan populasi yang besar. Ini merupakan pandemik pertama yang disebabkan oleh koronavirus (wabak SARS yang juga disebabkan oleh jangkitan koronavirus pada tahun 2002-2003 hanya dikategorikan sebagai epidemik).

Pengumuman ini dibuat pada ketika bilangan kes yang disahkan dijangkiti COVID-19 meningkat berlipatganda dalam tempoh dua minggu yang lalu di luar negara China, iaitu negara yang paling awal tercetus wabak COVID-19 sejak bulan Disember 2019.

COVID-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 (Koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk 2) terbaru ini, mula tercetus di bandaraya Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, bahagian tengah negara China, pada bulan Disember 2019, kemudiannya merebak ke seluruh negara China dan juga banyak negara di dunia. Setakat 12 Mac 2020, seramai lebih 126,000 orang telah dijangkiti penyakit ini (dengan lebih 80 ribu orang di China), dan seramai lebih 4,600 orang meninggal dunia kerana penyakit ini, sementara lebih 68,000 orang telah dilaporkan sembuh daripada penyakit COVID-19.

Sebanyak 116 buah negara dan wilayah, termasuk Malaysia, telah melaporkan kes COVID-19 yang disahkan. Selain negara China yang terjejas paling teruk oleh penularan wabak COVID-19, keadaan penularan COVID-19 juga amat membimbangkan di negara-negara seperti Itali, Iran dan Korea Selatan, yang melibatkan ribuan orang dijangkiti penyakit ini, diikuti dengan Perancis, Sepanyol, Jerman dan Amerika Syarikat dengan bilangan jangkitan yang disahkan sehingga 12 Mac 2020 sudah melebihi 1,000 orang. Negara Itali telah melakukan kuarantin seluruh negara mulai 9 Mac 2020.

Dalam era globalisasi dengan pergerakan manusia merentasi sempadan negara yang semakin kerap, negara Malaysia memang tidak dapat “imun” daripada penularan COVID-19. Pada 25 Januari 2020, kes COVID-19 yang pertama disahkan di Malaysia. Pada ketika hampir semua pesakit yang dijangkiti COVID-19 dalam gelombang pertama di negara kita sembuh, muncul pula gelombang kes jangkitan yang disahkan mulai 27 Februari 2020, dan bilangan kes jangkitan meningkat pada kadar yang lebih cepat. Sudah 149 kes COVID-19 disahkan pada 11 Mac 2020.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Mac 2020, Tedros Adhanom selaku Ketua Pengarah WHO berkata, “Pandemik bukannya satu perkataan yang digunakan secara senang atau cuai. Ia merupakan perkataan, jika disalahgunakan, boleh menyebabkan ketakutan yang tidak masuk akal, atau pengakuan kalah yang tidak berasas bahawa perlawanan telah habis, membawa kepada penderitaan dan kematian yang tidak patut berlaku.”

“Dalam hari-hari dan minggu-minggu akan datang, kita menjangkakan untuk melibat bilangan kes, bilangan kematian dan bilangan negara yang terjejas memanjat lebih tinggi lagi,” kata Tedros Adhanom.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Mac 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa agar:

  • Semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan berlakunya jangkitanCOVID-19;
  • Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan,dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan;
  • Individu yang bergejala dinasihatkan agar menjarakkan dirisekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain;
  • Orang ramai tidak melancong ke negara-negara yang sedangmengalami wabak jangkitan COVID-19; dan
  • Rakyat Malaysia yang mengalami gejala jangkitan saluranpernafasan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.

Orang ramai juga digesa untuk mengambil langkah-langkah melindungi diri daripada jangkitan COVID-19, termasuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi (seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau bahan pencuci tangan), mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan sekiranya perlu mengunjungi tempat tumpuan ramai, dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan (seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas).

Ketika menghadapi penularan pandemik yang mengancam kesihatan awam, yang paling penting adalah jangan panik dan tidak melakukan perkara yang mencetuskan kepanikan. Pada masa yang sama, kerajaan memainkan peranan penting dalam mengambil langkah-langkah persiapan dan pencegahan yang sewajar, dengan meningkatkan sistem kesihatan awam kita, untuk mengurangkan impak wabak kepada rakyat jelata. Selain itu, kerajaan perlu memperuntukkan dana kecemasan yang lebih banyak untuk membantu rakyat menghadapi masalah pengurangan pendapatan atau kehilangan rezeki dalam tempoh berlakunya penularan wabak.

Pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam seluruh dunia, malah sedang mencetuskan satu lagi krisis yang lebih mendalam kepada ekonomi dunia, dan isu akan akan berterusan walaupun kejadian pandemik ini berlalu nanti. Kerajaan sedunia, termasuk Kerajaan Malaysia, perlu mempunyai dasar sosio-ekonomi yang melangkaui logik kapitalis untuk menghadapi krisis global ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *