20190107 - maxresdefault (2).jpg

oleh S. Arutchelvan

Kecaman Mahathir terhadap orang miskin semasa menyampaikan ucapannya dalam program perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri pada 6 Januari 2020, menunjukkan ketiadaan kemanusiaan dalam kenyataannya dan menghina jutaan pekerja dan rakyat yang bekerja keras setiap hari hanya untuk hidup. Hanya seseorang dengan minda Trump akan memuji ucapan yang menghina dan merendah-rendahkan orang.

Mahathir berkata, “Kenapa mereka miskin? Sebabnya adalah mereka tidak produktif, tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat yang mana masyarakat akan membalas dengan memberi upah dan balasan kepada mereka.” Dia juga berkata bahawa orang miskin tidak patut berasa iri hati pada orang kaya kerana orang kaya membayar cukai tinggi dan Kerajaan menggunakan wang ini untuk membayar gaji dan membangunkan negara.

Siapa yang tidak produktif dan tidak menyumbang kepada masyarakat seperti yang dikatakan Mahathir?

Adakah dia bercakap tentang nelayan yang pergi menangkap ikan sebelum subuh lagi dan mempertaruhkan nyawa mereka di laut? Atau dia bercakap tentang pesawah padi di kampungnya di Kedah yang membanting tulang di pendang sawah padi untuk menanam padi bagi negara? Adakah dia bercakap tentang pekerja-pekerja kilang, yang terpaksa bekerja 12 jam sehari kerana gaji minimum yang dibayar langsung tidak mencukupi? Adakah dia bercakap tentang petani kecil yang mengusahakan tanah untuk memastikan kita mendapat bekalan makanan? Atau pengasuh yang menjaga kanak-kanak kita kerana ketiadaan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja? Atau dia bercakap tentang pekerja-pekerja ladang, atau pekerja-pekerja pembersihan, atau ribuan orang yang melintasi sempadan pada waktu awal pagi untuk melakukan kerja-kerja 3D di Singapura? Atau pemandu-pemandu lori yang meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan untuk tidur sekejap? Atau dia bercakap tentang penjawat awam yang pencen mereka akan dikurangkan oleh kerajaan? Atau dia bercakap tentang penghantar makanan bermotosikal yang dibayar dengan begitu rendah, atau pemandu grab…? Siapa yang dimaksudkan oleh Mahathir itu tidak produktif, tidak menyumbang kepada pembangunan negara, dan simpan rasa iri hati pada orang kaya?

Produktiviti rendah?

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, produktiviti buruh Malaysia meningkat sebanyak 2.2% pada tahun 2018, mendahului sesetengah negara-negara maju termasuk CHina dan Australia, dan berada di depan di kalangan negara-negara Asia yang terpilih. Malah Jepun yang selalu dipandang tinggi oleh Mahathir mempunyai produktiviti buruh yang lebih rendah.

Mari kita lihat pada satu lagi kajian, “Adakah Pekerja-pekerja Malaysia Dibayar Secara Adil? Penilaian terhadap Produktiviti dan Kesaksamaan” (Are Malaysian Workers Paid Fairly?: An Assessment of Productivity and Equity) oleh Athreya Murugasu, Mohamad Ishaq Hakim dan Yeam Shin Yau. Kajian mereka ini menyimpulkan bahawa pekerja-pekerja Malaysia menerima ganjaran yang lebih rendah berbanding sumbangan mereka kepada pendapatan negara dari perspektif produktiviti dan kesaksamaan. Mereka mengatakan bahawa rakyat Malaysia dibayar gaji yang lebih rendah berbanding negara-negara penanda aras, malah selepas mengambilkira perbezaan produktiviti, dan mereka juga menyimpulkan bahawa Malaysia mempunyai nisbah perkongsian pendapatan yang lebih rendah untuk pekerja walaupun ekonomi negara kita bersifat intensif-buruh. Ini menunjukkan bahawa pekerja-pekerja tidak dibayar ganjaran yang bersesuaian untuk sumbangan mereka.

Kajian ini membangkitkan beberapa isu serius yang Mahathir dan golongan kaya tidak mahu kita tahu tentang. Kajian ini mempersoalkan – walaupun majikan patut dibayar ganjaran secara adil untuk input faktor mereka masing-masing, tetapi persoalan yang masih wujud adalah, kenapa nisbah ganjaran untuk majikan lebih tinggi berbanding dengan pekerja dan kenapa ini tidak ditunjukkan dalam dasar-dasar percukaian dan pengagihan di Malaysia?

Adakah orang kaya membayar cukai yang tinggi?

Mari kita cakap tentang cukai pula. Mahathir mengagung-agungkan golongan kaya kononnya mereka membayar cukai. Mungkin dia tidak terdengar apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng. Dalam salah satu forum pasca pembentangan Belanjawan, Guan Eng berkata bahawa walaupun meningkatkan kadar cukai ke 30% pun, negara kita masih di kalangan negara dengan kadar cukai terendah berbanding dengan negara-negara jiran, dan dia menegaskan bahawa Kerajaan tidak percaya pada langkah-langkah yang keras dan drastik dalam percukaian. Mungkin langkah-langkah yang keras dan drastik disimpan untuk pekerja sahaja dengan mengekalkan gaji minimum itu rendah.

Guan Eng juga berkata sebelum ini bahawa tidak akan adanya cukai baru ke atas golongan kaya supaya mengelakkan kejutan terhadap sistem kewangan. Dia berkata bahawa Kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai perolehan modal ke atas saham dan cukai lain ke atas golongan kaya demi mengelakkan “kejutan terhadap sistem”. Langkah-langkah ini dikatakan bertujuan untuk memastikan tiada pelarian keluar modal.

Jadi, golongan kaya yang dimaksudkan Mahathir itu akan melarikan diri apabila cukai ditingkatkan. Begitulah golongan kaya dan cukai mereka yang diagung-agungkan Mahathir: sejurus selepas cukai dinaikkan, mereka akan meninggalkannya, tidak sama dengan golongan miskin yang diserang begitu ghairah olehnya.

Walau bagaimanapun, berapa banyakkah orang kaya dicukai di Malaysia? Bolehkah Mahathir memberikan angka yang tepat berapa banyak cukai yang dibayar oleh 10 orang terkaya di Malaysia? Walaupun pendapatan orang kaya itu diketahui umum, tetapi maklumat pembayaran cukai mereka tergolong di bawah Akta Rahsia Rasmi mengikut jawatan yang diberikan dalam Parlimen. Dan siapa boleh lupa bahawa, Kerajaan memberi pengecualian cukai sebanyak 12 tahun kepada syarikat Lynas walaupun begitu hebat kontroversi tentang caranya mengendalikan sisa buangan radioaktif.

Orang miskin dan 80% yang lain

Melihat pada kuasa beli, gaji pekerja di Malaysia adalah yang paling rendah di rantau ini. Kebanyakan orang miskin di Malaysia mendapat gaji bulanan yang 2 kali lebih rendah berbanding elaun hiburan RM2,500 yang dibayar kepada Ahli-ahli Parlimen. Ahli-ahli Parlimen negara kita malah mendapat subsidi bahan api RM1,500 sebulan, lebih tinggi daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengikut rencana yang ditulis oleh Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, yang diterbitkan di Malaysiakini pada 31 Disember 2019, hampir 30% rakyat Malaysia yang disoal selidik oleh Gallup pada tahun 2019 merasakan mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk makanan, manakala 23% dilaporan tidak mempunyai wang yang cukup untuk penginapan. 80% daripada mereka mengalami ketidakjaminan ekonomi, seperti gaji rendah di samping kos perumahan dan pengangkutan yang tinggi.

Apa yang mengejutkan tentang pendedahan ini adalah dia berkata, “Kategori golongan miskin B20, seperti yang ditakrif oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, memerlukan kebajikan, tetapi dalam konteks Malaysia, nampaknya 60% yang seterusnya (M60) memerlukan kerja yang lebih baik, gaji yang lebih baik, peluang perniagaan yang lebih baik, mobiliti ke atas yang lebih baik untuk anak-anak mereka, pilihan perumahan yang lebih baik dan alternatif pengangkutan yang lebih baik.”

Laporan yang dikemukakan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston, menyatakan bahawa kadar kemiskinan di Malaysia berkemungkinan besar antara 16% hingga 20%, dan Chin Tong walaupun bersetuju dengan ini, juga berkata bahawa selain kumpulan B20, penduduk yang lain – mungkin tidak termasuk 20% teratas – 60% di pertengahan (B21-B40, M40) berada dalam keadaan yang lebih kurang sama.

Apa yang kelakar apabila Mahathir berkata, “Saya harap semua pihak akan tumpukan pada negara, bukan pada diri sendiri.” Jika begitu kenapa Mahathir menumpukan serangannya ke atas golongan miskin, dan bukannya mempersoalkan elaun lumayan yang dibayar kepada anggota Kabinetnya? Ataupun kenapa tidak memberi perhatian kepada golongan korporat yang menyembunyikan kekayaan di tempat berlindung cukai, atau gaji lumayan yang dinikmati oleh CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC)? Sebaliknya, Mahathir hanya mensasarkan orang miskin yang bekerja sepanjang hari hanya untuk cuba memenuhi keperluan harian!

===========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s