20190824dscf3227
Philip Alston, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, melawat Kampung Numbak di Sabah. (foto oleh Bassam Khawaja)

Dakwaan Kerajaan Malaysia bahawa negara kita mencatat kadar kemiskinan negara yang terendah di dunia, telah dipertikai oleh Philip Alston selaku Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia. Pakar hak asasi manusia PBB tersebut menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia menetapkan pendapatan garis kemiskinan yang terlalu rendah yang tidak mencerminkan kos sara hidup sebenar dan tidak mengambilkira rakyat terpinggir dalam angka-angka rasminya.

Alston berpandangan bahawa Kerajaan Malaysia perlu mengkaji semula segera kaedahnya mengukur kemiskinan supaya ia sejajar dan selaras dengan kos sara hidup sebenar dalam negara. Golongan bukan warganegara (termasuk pekerja migran dan pelarian) juga perlu disertakan dalam kaedah pengukuran kemiskinan yang baru.

“Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, dakwaan kerajaan bahawa kemiskinan telah berjaya dibasmi atau hanya wujud dalam kelompok-kelompok kecil di kawasan luar bandar, adalah tidak tepat dan ini telah melumpuhkan penggubalan dasar yang berkaitan,” kata Philip Alston dalam kenyataannya pada 23 Ogos 2019 selepas lawatannya selama 11 hari ke Malaysia untuk meninjau situasi kemiskinan di negara kita.

Kadar kemiskinan rasmi di Malaysia telah turun dari 49% pada tahun 1970 kepada hanya 0.4% pada tahun 2016. Namun, pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan pada kadar RM980 (bersamaan USD235) sebulan bagi setiap isi rumah, bermakna sebuah keluarga dengan 4 orang anggota di kawasan bandar hanya terpaksa hidup dengan RM8 bagi setiap orang setiap hari, ataupun kurang daripada USD2 bagi setiap orang setiap hari.

“Garis kemiskinan serendah ini adalah tragik bagi sebuah negara yang hampir mencapai status berpendapatan tinggi, lebih-lebih lagi apabila terdapat pelbagai analisis yang telah mencadangkan kadar kemiskinan yang lebih realistik sebanyak 16-20%, dan kira-kira 9% daripada isi rumah masih hidup dengan kurang daripada RM2,000 (bersamaan USD479) sebulan,” kata Alston.

“Kadar kemiskinan sebenarnya adalah jauh lebih tinggi daripada yang digambarkan oleh angka-angka rasmi, dan kerajaan perlu menilai semula caranya mengukur kemiskinan supaya kesusahan yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia tidak dilesapkan begitu sahaja dengan memandang ringan pada statistik,” ulas Alston.

Alston menggesa Kerajaan Pakatan Harapan supaya segera mempertimbangkan semula pendekatannya jika negara Malaysia ingin mencapai sebarang kemajuan dalam menangani isu kemiskinan ini.

Alston berkata, “Walaupun terdapat penjagaan kesihatan yang hampir sejagat dan kadar kemasukan sekolah yang tinggi bagi warganegara, serta ekonomi yang sedang bertumbuh, tetapi sebahagian besar penduduk masih ketinggalan dan ramai yang dikatakan hidup di atas garis kemiskinan rasmi adalah sebenarnya masih hidup dalam kemiskinan.”

“Saya berbual dengan keluarga yang bersusah payah untuk membayar sewa, mereka dengan anak-anak tidak mampu untuk pergi ke sekolah, dan mereka yang tidak mendapat penjagaan kesihatan disebabkan oleh kos pengangkutan.”

Penetapan garis kemiskinan pada kadar yang rendah berbanding realiti telah membawa kepada kekurangan peruntukan dana kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan dan membekalkan jaring keselamatan sosial yang mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.

Alston juga mengetengahkan isu masyarakat orang asli yang menghadapi kadar kemiskinan yang lebih tinggi. “Walaupun terdapat komitmen kerajaan yang wajar dipuji untuk menjamin hak mereka, tanah adat masyarakat orang asli masih terancam, lantas turut menjejas kehidupan, jaminan makanan dan akses kepada perubatan tradisional mereka. Saya amat terganggu apabila mendengar pegawai kerajaan negeri bercakap tentang perlunya masyarakat orang asli ‘menyesuaikan diri’ dan ditempatkan semula ke kawasan bandar untuk mendapatkan hak mereka,” katanya.

Alston telah menjelajah ke Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan semasa lawatannya ke Malaysia. Beliau telah bertemu dengan pegawai-pegawai daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri, agensi antarabangsa yang berada di Malaysia, masyarakat sivil, ahli-ahli akademik dan masyarakat yang hidup dalam kemiskinan. Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), turut memberikan inputnya melalui kapasiti individu, dengan mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh golongan yang tiada kewarganegaraan, pelarian, masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan ibu tunggal daripada golongan B40 (berpendapatan terbawah 40%). Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) turut menyerahkan inputnya yang memfokus pada isu pengusiran yang dihadapi oleh masyarakat peneroka bandar, pekerja ladang dan petani kecil.

Pelapor Khas PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia tersebut akan membentang laporan lengkap dengan kesimpulan dan cadangannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada bulan Jun 2020.

Laporan awal Pelapor Khas PBB ini telah mengundang reaksi yang defensif daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. Azmin menyatakan “kekecewaannya” terhadap kenyataan Alston, dan mempertahankan pendekatan Kerajaan Malaysia dalam penetapan garis kemiskinan, serta menegaskan bahawa kadar kemiskinan di negara kita hanya 0.4% seperti pada tahun 2016. Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak perlu terasa terganggu dengan laporan Pelapor Khas yang cuba membantu dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara kita, kerana penafian yang berterusan tentang realiti masyarakat kita seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini hanya akan mengekalkan ketidakadilan sosial dengan rakyat miskin masih hidup dalam kesengsaraan. Penetapan garis kemiskinan yang lebih mencerminkan realiti masyarakat sebenar adalah penting untuk penggubalan dasar sosio-ekonomi yang mampu membasmi kemiskinan secara efektif dan menjamin kesejahteraan rakyat biasa.

2 thoughts on “Garis kemiskinan Malaysia tidak cerminkan realiti, kata pakar PBB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *