20200226 - india

Pertemuan antara dua orang pemimpin negara yang berhaluan kanan di dunia, telah “dimeriahkan” dengan keganasan samseng pelampau kanan yang mendukung ideologi yang dibawa oleh pemimpin berhaluan kanan tersebut.

Ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan lawatannya ke negara India, kumpulan samseng yang berkaitan dengan Parti Bharatiya Janata (BJP), iaitu parti pemerintah di India yang dipimpin oleh Perdana Menteri Narendra Modi, telah mengganas di ibu negara India, Delhi, untuk menyerang demonstran yang membantah undang-undang diskriminasi, sehingga menimbulkan pertumpahan darah.

Seramai 20 orang telah terbunuh di Delhi sejak tercetusnya serangan keganasan kumpulan pelampau kanan pada 23 Februari 2020, dan lebih 180 orang tercedera. Kumpulan samseng pelampau kanan yang bersenjata telah mengganas di jalanan bandaraya Delhi, mensasarkan orang yang berprotes membantah Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang bersifat diskriminasi dan memecah-belahkan rakyat India. Samseng pelampau kanan yang berkaitan dengan BJP, parti berhaluan kanan yang mendukung fahaman chauvinis Hindu yang sempit, telah membakar kenderaan, memukul orang ramai dan melaungkan slogan yang bersifat ancaman terhadap golongan Muslim. Selepas gagal bertindak malah wujudnya keadaan di mana bersekongkol dengan samseng pelampau kanan yang mengganas, pihak polis telah mengeluarkan arahan untuk menembak sesiapa sahaja di Daerah Timur Laut bandaraya Delhi.

Protes aman telah diadakan di banyak tempat di sekitar bandaraya Delhi sejak bulan Disember 2019, sebagai bantahan terhadap CAA, Pendaftaran Nasional untuk Warganegara (NRC) dan Pendaftaran Penduduk Nasional (NPR), yang dianggap akan menjadikan rakyat India yang beragama Islam warganegara kelas kedua di negara India, sesuatu yang melanggar semangat sekularisme Perlembagaan India. Undang-undang yang bersifat diskriminasi ini juga menjejaskan golongan miskin dan kelas pekerja di India daripada semua agama. Sekurang-kurangnya 27 orang telah dibunuh oleh polis yang cuba mematahkan protes sebelum ini. Pada masa yang sama, kumpulan pelampau kanan Hindu yang bersekutu dengan BJP juga melancarkan kempen keganasan untuk menyerang demonstran yang anti-CAA dan mempolarisasikan rakyat.

Baru-baru ini, dalam Pilihanraya Dewan Perundangan Delhi yang diadakan pada 8 Februari 2020, BJP telah menemui kegagalan untuk merampas pemerintahan bandaranya tersebut setelah hanya menang 8 daripada 70 kerusi Dewan Perundangan Delhi, walaupun BJP menyapu bersih kesemua 7 kerusi Parlimen India di Delhi dalam Piliharaya Umum India pada bulan Mei 2019. Parti Aam Aadmi (AAP) lahir daripada gerakan anti-korupsi pada tahun 2011-2012, kekal menguasai Dewan Perundangan Delhi dengan memenangi 62 kerusi. Kekalahan BJP dalam Pilihanraya Delhi boleh dikatakan tamparan hebat kepada parti berhaluan kanan itu, kerana pengundi yang majoritinya beragama Hindu di Delhi telah menolak agenda politik chauvinis Hindu yang sempit. Namun, politikus BJP masih meneruskan usaha mereka untuk mematahkan perjuangan rakyat yang menolak politik sempit.

Pada 22-23 Februari 2020, ramai demonstran yang anti-CAA mengadakan aksi protes duduk bantah di Delhi. Perhimpunan anti-CAA ini juga merupakan respon kepada seruan Bhim Army untuk bandh (iaitu mogok atau hartal) seluruh negara. Bhim Army yang merupakan sebuah organisasi Dalit (merujuk kepada “orang yang diharamkan untuk disentuh” atau “paria” dalam sistem kasta India) yang mempunyai sokongan masyarakat akar umbi yang kuat, telah menyeru untuk aksi bandh sebagai bantahan terhadap serangan Kerajaan pimpinan BJP terhadap tindakan afirmatif di seluruh negara.

Sebagai reaksi kepada protes anti-CAA terbaru di Delhi, pemimpin tempatan BJP telah menghasut untuk memobilisasi terhadap protes aman anti-CAA. Kumpulan samseng pelampau kanan telah bertindak ganas atas arahan pemimpin BJP untuk menyerang rakyat India yang berprotes secara aman. Ketika berlaku pertempuran jalanan antara demonstran anti-CAA dengan samseng pelampau kanan, pihak polis tidak mengambil apa-a-apa langkah untuk menenangkan keadaan. Sebaliknya, terdapat polis yang menssarkan demonstran anti-CAA yang berprotes secara aman dengan menembak gas pemedih mata dan menyuraikan protes dengan serangan belantan. Di kawasan Hauz Rani, ramai wanita dan kanak-kanak tercedera kerana pukulan belantan yang dilakukan oleh polis semasa perarakan aman mereka.

Situasi yang tegang berterusan untuk dua hari yang lepas di Delhi. Dalam banyak keadaan, golongan Muslim telah dijadikan sasaran serangan samseng pelampau kanan. Seksyen 144 Kanun Keseksaan India, yang mengharamkan perhimpunan 4 orang atau lebih, dikenakan ke atas kawasan di Timur Laut Delhi pada 24 Februari 2020. Namun, keganasan kumpulan samseng pelampau kanan masih berterusan. Wartawan juga menjadi mangsa diserang oleh samseng pelampau kanan ini.

Keganasan pelampau kanan ini berlaku pada masa yang sama dengan lawatan Presiden AS Donald Trump ke India. Kerajaan India telah mengembleng segala tenaga untuk menyambut kedatangan Trump. Perdana Menteri India Nadrendra Modi tidak habis-habisan membuat hantaran twitter tentang perjumpaannya dengan Trump, tetapi langsung tidak menyebut tentang keganasan yang dilakukan oleh samseng pelampau kanan (yang berkaitan dengan partinya sendiri). Lawatan Trump ke India juga disambut oleh protes rakyat yang anti-imperialis.

Hanya pada 25 Februari 2020, iaitu selepas dua hari berlakunya keganasan pelampau kanan, Menteri Dalam Negeri India Amit Shah mengadakan mesyuarat dengan Ketua Menteri Negeri Delgi dan pegawai polis kanan. Ketua Menteri Delhi, Arvind Kerjiwal daripada AAP, berkata bahawa kehadiran polis tidak mencukupi di lapangan untuk mengawal keadaan. Ramai orang termasuk Kerajaan Delhi telah mengkritik Kerajaan Pusat atas kegagalannya untuk membendung serangan ke atas golongan Muslin di bandaraya itu. Polis di bandaraya Delhi adalah di bawah perintah Kementerian Dalam Negeri Kerajaan Pusat India.

Parti-parti berhaluan kiri di India telah mengecam kegagalan kerajaan untuk bertindak membendung keganasan pelampau kanan. Sitaram Yechury, Setiausaha Agung Parti Komunis India (Marxis), mengatakan bahawa ucapan kebencian yang dibuat oleh Menteri-menteri Kerajaan Pusat dan pemimpin atasan parti pemerintah yang mencetuskan keganasan dan bertanggungjawab kepada huru-hara yang timbul di Delhi.

Politik pelampau kanan yang dibawa oleh Modi dan BJP sedang membawa negara India ke arah fasisme dengan keganasan pelampau kanan yang berterusan. Rakyat India yang menjunjung Perlembagaan negara itu dan sedia mempertahankan demokrasi akan tetap melawan balik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *