20191228 - FW918466_PH01_050819_JEREBU-lpr.jpg

Sepanjang tahun yang lepas, Malaysia masih diselubungi politik perkauman dan pertaruhan untuk kuasa di kalangan golongan elit politik yang berterusan, lebih kerap dan teruk daripada gejala jerebu yang mengunjungi negara kita setiap tahun. Berikut ialah antara beberapa isu politik bergolak yang menjadi tumpuan dalam tahun 2019.

Kes pendakwaan Najib

Najib Razak menjadi bekas Perdana Menteri yang pertama di negara kita yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah, selepas Barisan Nasional (BN) dikalahkan dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018. Pada 11 November 2019, Najib telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela diri atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd, selepas Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi kes tersebut. Najib juga menghadapi perbicaraan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sebanyak RM 2.3 bilion antara tahun 2011 dan 2014. Jho Low yang berkait rapat dengan skandal 1MDB masih menyembunyikan dirinya di luar negara. Selain itu, kes pembunuhan Altantuya menghantui semula Najib apabila Azilah Hadri, salah seorang dijatuhkan hukuman selepas disabit bersalah kerana membunuh Altantuya, telah menuduh bahawa Najib Razak yang mengarahkannya untuk membunuh Altantuya.

Sandiwara Anwar-Azmin dan pergolakan dalaman PKR

PKR18 AZHAR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti komponen yang terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) dari segi penguasaan kerusi Dewan Rakyat, telah terjebak dalam krisis pertarungan untuk kuasa antara dua pemimpin tertingginya, iaitu Presidennya Anwar Ibrahim dan Timbalan Presidennya Mohamed Azmin Ali. Dari video seks yang dikatakan melibatkan Azmin Ali yang tersebar luas, sehingga ke pergaduhan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sandiwara semasa Kongres PKR, perpecahan dan persengketaan antara Anwar dan Azmin nampaknya semakin meruncing sehingga mengancam masa depan parti pemerintah ini. Anwar Ibrahim, bakal Perdana Menteri terlama sejak lebih 20 tahun dahulu yang dijangka akan mengambilalih jawatan Perdana Menteri apabila Mahahir Mohamad mengundurkan diri (sekiranya berlaku), nampaknya sedang menghadapi rintangan bukan sahaja daripada luaran tetapi dalaman parti sendiri.

Penahanan SOSMA

Penangkapan dan penahanan dengan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap orang yang dikatakan berkaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) telah mencetuskan semula tentang kebimbangan tentang penggunaan akta zalim yang sepatutnya dimansuhkan untuk tujuan politik dan mewujudkan suasana ketakutan. 12 orang yang ditangkap SOSMA kemudiannya didakwa di mahkamah di 5 buah negeri berlainan dan dinafikan ikat jamin. Mereka yang ditahan di bawah SOSMA termasuk 2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), iaitu G. Saminathan (ADUN Gadek di Melaka) dan P. Gunasekaran (ADUN Seremban Jaya di Negeri Sembilan). 

Isu tulisan Jawi

Rancangan Kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat telah mencetuskan kontroversi dan mempolarisasikan masyarakat Maysia mengikut pandangan etnik masing-masing. Walaupun dikurangkan dari 6 mukasurat ke 3 mukasurat dan hanya dilaksanakan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah mempertikaikan bahawa keputusan Kementerian Pendidikan berkaitan isu pengenalan tulisan Jawi ini telah mengabaikan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan. Isu ini telah dipolitikkan oleh sesetengah pihak sama ada pro-Jawi atau anti-Jawi sehingga menjadi satu isu perkauman yang mengapi-apikan sentimen perkauman sempit dan menjadikan hubungan etnik semakin tegang lagi.

Isyarat amaran untuk Pakatan Harapan daripada pilihanraya kecil

Sebanyak 5 pilihanraya kecil (PRK) telah diadakan sepanjang tahun 2019, iaitu 3 PRK untuk kerusi Parlimen (Cameron Highlands, Sandakan dan Tanjung Piai) dan 2 lagi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Semenyih dan Rantau). Daripada 5 PRK ini, Pakatan Harapan (PH) hanya menang satu sahaja, iaitu mengekalkan kerusi Parlimen Sandakan, tetapi telah kalah kepada Barisan Nasional (BN) dalam 4 PRK yang lain. BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dan kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan, sementara merampas kerusi DUN Semenyih dan kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH. PRK Tanjung Piai menyaksikan kekalahan yang paling teruk untuk calon daripada parti pemerintah. Keputusan daripada PRK kecil ini, walaupun tidak boleh mencerminkan senario politik keseluruhan negara, tetapi telah menjadi petanda kepada apa yang berkemungkinan untuk PRU-15 dan memberi isyarat amaran kepada PH bahawa ia boleh kalah teruk sekiranya trend pengundi dalam PRK diteruskan. Kerjasama antara UMNO dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang terbentuk secara rasminya pada 14 September 2019, telah memperkukuhkan kuasa politik berhaluan kanan yang mempermainkan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mendapat kuasa melalui pilihanraya.

Pencemaran bahan kimia yang membahayakan nyawa

Pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, telah mendapat perhatian ramai apabila ribuan orang terkesan dengan gas toksik yang dibebaskan daripada sisa kimia yang dibuang dalam sungai. Lebih 100 buah sekolah terpaksa ditutup kerana pencemaran ini. Isu pencemaran sisa kimia ini membunyikan isyarat amaran bahawa pengawasan yang lebih ketat diperlukan untuk mengelakkan insiden yang serupa daripada berulang lagi. Selain itu, isu sampah haram dari luar negara juga menjadi tumpuan ramai.

Jerebu seperti biasa 

20191228 - fb539787-gp0sttw5v

Seperti tahun-tahun sebelum ini, jerebu kembali sekali lagi pada tahun 2019, dengan sekolah-sekolah di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak terpaksa diarahkan tutup. Jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan ini memerlukan penyelesaian jangka masa panjang yang melibatkan kerjasama antara Kerajaan Malaysia dengan kerjaaan negara jiran di peringkat ASEAN, dan ia tidak boleh dilengah-lengahkan lagi dengan gejala yang sama berulang setiap tahun kerana kesihatan jutaan rakyat di semua tempat yang terjejas telah diancam hebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *