20191117 - Screenshot_2019-11-17 Tanjung Piai (federal constituency) - Wikipedia(1)

  1. Pilihanraya Kecil (PRK) untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai yang diadakan pada 16 November 2019, telah menyaksikan kekalahan Pakatan Harapan (PH) yang paling teruk dalam pilihanraya kecil sejak Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.
  1. PRK untuk kawasan Parlimen yang terletak di negeri Johor ini, diadakan selepas penyandang jawatan Ahli Parlimen sebelum ini, Dr. Mohamed Farid bin Md Rafik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang merupakan anggota parti PH, meninggal dunia pada 21 September 2019.
  1. Dalam pertandingan 6-penjuru untuk PRK Tanjung Piai, calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA), mengalahkan calon PH, Karmaine Sardini daripada BERSATU, dengan undi majoriti sebanyak 15,086 undi.
  1. Keputusan PRK Tanjung Piai seperti berikut:

BN – Wee Jeck Seng: 25,466 undi (65.60%)

PH – Karmaine Sardini: 10,380 undi (26.74%)

GERAKAN – Wendy Subramaniam: 1,707 (4.40%)

Berjasa – Badhrulhisham Abd Aziz: 850 (2.19%)

Bebas – Ang Chuan Lock: 380 (0.98%)

Bebas – Faridah Aryani Abd Ghaffar: 32 (0.08%)

Jumlah undi yang sah: 38,815

Jumlah undi yang ditolak: 595; jumlah undi yang tidak dipulangkan: 30

Peratusan keluar mengundi: 74.43% (PRU-14 – 85.67%)

  1. Keputusan PRK Tanjung Piai ini merupakan kekalahan yang paling teruk untuk PH dan kejayaan yang terbesar untuk BN dalam 9 pilihanraya kecil selepas PRU-14. Peratusan undi yang diperoleh calon PH dalam PRK Tanjung Piai ini, 26.74%, lebih rendah lagi berbanding 35.80% yang diperolehinya dalam PRK untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan. Ini merupakan satu amaran kecemasan kepada PH, kerana sebuah gabungan parti yang memerintah di peringkat Persekutuan dan juga parti yang menguasai untuk kawasan yang dipertandingkan sebelum PRK, boleh menerima kekalahan yang begitu teruk. Semestinya PH perlu membuat penilaian yang serius terhadap dirinya jika mahu mengekalkan kuasa pemerintahannya dalam PRU-15 yang akan datang.
  1. Kerusi Parlimen Tanjung Piai yang diwujudkan sejak tahun 2004, telah dikuasai oleh MCA-BN sebelum PRU-14 pada tahun 2018. Kerusi ini bertukar tangan dan dimenangi oleh BERSATU-PH dalam PRU-14, dengan perbezaan hanya 524 undi. Kawasan Parlimen Tanjung Piai boleh dikatakan satu kawasan “tradisional”yang dikuasai oleh BN telah berjaya dirampas oleh PH dalam PRU-14 yang bersejarah di mana pertama kalinya menyaksikan perubahan kuasa pemerintah di peringkat Persekutuan. Namun, selepas setahun setengah sahaja, kerusi ini dirampas semula oleh BN dengan“swing”yang hebat dari segi perolehan undi, di mana undi kepada BN bertambah hampir 5,000 undi sementara undi kepada PH merosot sebanyak hampir 11,000 undi.
  1. Pilihanraya kecil biasanya hanya pengundian untuk satu kawasan Parlimen atau DUN sahaja dalam sesuatu masa. PRK untuk satu kawasan Parlimen Tanjung Piai sahaja tidak mengubah kuasa pemerintahan di peringkat Persekutuan, maka keputusannya tidak semestinya mencerminkan mood atau kecenderungan mengundi untuk pengundi di Malaysia secara umumnya, tetapi ia boleh memberi sedikit petunjuk kepada apa yang mungkin akan berlaku, malah boleh digunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik untuk mewujudkan persepsi tertentu menuju ke PRU-15.
  1. BN sudah pastinya mendapat rangsangan hebat daripada keputusan PRK Tanjung Piai, dengan keyakinan yang lebih besar untuk menghadapi PRU-15 dan merampas semula kuasa di peringkat Persekutuan. UMNO dan PAS juga akan meneruskan kerjasama politik antara mereka melalui apa yang dikenali sebagai “Muafakat Nasional”. Politik yang mempergunakan sentimen perkauman akan terus kekal. Adalah regresif untuk politik Malaysia kerana formula BN (yang menggabungkan parti berasaskan kaum) masih dianggap “relevan”.
  1. Kekalahan teruk untuk PH, merupakan satu manifestasi ketidakpuasan hati atau kemarahan yang hebat pengundi yang berbilang kaum terhadap PH. Dr. Syed Husin Ali, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengatakan bahawa ini referendum terhadap PH pimpinan TunDr Mahathir. “Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Tun Dr  Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi!”kata Dr. Syed Husin. Juga terdapat suara di kalangan penyokong PH untuk mempercepatkan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. Yang paling penting untuk PH, adalah tiba masanya untuk membuat satu penilaian yang serius terhadap corak pentadbirannya, dasar yang dibawanya dan pelaksanaan janji pilihanrayanya, di samping memahami punca kemarahan rakyat terhadap pemerintahannya yang melibatkan pelbagai dimensi.
  1. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), parti yang keluar daripada BN selepas kekalahan BN dalam PRU-14, pertama kali meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil pasca PRU-14 dan mendapat 1,707 undi (bersamaa 4.40% undi sah). Dari segi peratusan perolehan undinya walaupun sangat rendah, tetapi ini merupakan satu keputusan yang boleh dijangkakan. Berasaskan pengalaman PSM yang juga mendapat undi yang sedikit dalam pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU-14 dan PRK Semenyih, selain pengundi Malaysia masih belum bersedia ataupun tiada idea/keinginan untuk menerima apa-apa kuasa ketiga di luar dua barisan parti politik aliran utama, sistem pengundian “undi pemenang undi terbanyak”(first-past-the-post) yang diamalkan di Malaysia memang tidak memberi apa-apa kelebihan kepada parti ketiga kecuali parti tersebut mempunyai sokongan yang luar biasa di sesuatu kawasan pilihanraya.
  1. Setahun setengah yang lalu, dalam PRU-14, kebanyakan pengundi di banyak kawasan pilihanraya, termasuk Tanjung Piai, telah menolak calon BN kerana ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan BN di bawah pimpinan Najib Razak pada masa itu yang penuh dengan skandal rasuah dan penyelewengan kuasa. Selepas setahun setengah, oleh sebab tidak berpuas hati dengan PH yang memerintah, kebanyakan pengundi telah “bersepakat”untuk mengundi semula BN. Ini jelas menunjukkan satu masalah yang serius dengan “sistem dua-parti”atau “sistem dua-barisan”. Walaupun adanya parti yang cuba menawarkan diri sebagai alternatif kepada kedua-dua barisan parti aliran utama, tetapi pengundi nampaknya “tiada pilihan”untuk memilih “penjahat yang kurang jahat”(lesser evil) atau “penjahat yang nampaknya kurang jahat”supaya memastikan calon yang tidak disukai mereka itu tidak menang dalam pilihanraya. Akibatnya, parti-parti daripada dua barisan aliran utama sejak awal lagi tiada niat untuk meningkatkan kecelikan politik rakyat biasa, sebaliknya terus memanipulasi sentimen rakyat (dengan politik perkauman dan keagamaan yang sempit) untuk meraih sokongan.
  1. Strategi politik yang paling kerap digunakan oleh parti politik aliran utama, dalam senario politik Malaysia hari ini sama ada PH atau BN, adalah mewujudkan ketakutan di kalangan penyokongnya dan pengundi secara umum terhadap “penjahat yang lebih jahat”. Manipulasi perasaan ketakutan ini menjadi penghalang kepada pembinaan visi politik yang jelas untuk sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia, dan menyekat usaha membina solidariti rakyat untuk mencabar percanggahan yang paling utama dalam masyarakat kita hari ini di mana kelas kapitalis terus menggondol kekayaan masyarakat dengan rakyat miskin terus dimiskinkan.
  1. Walaupun realiti politik di bawah sistem politik yang sedia ada memang sukar untuk pembentukan kuasa ketiga yang mampu mencabar kekuasaan kedua-dua barisan aliran utama, tetapi tidak bermakna kita tidak patut atau tiada ruang untuk membina alternatif yang berlainan. Jika bercakap tentang “kuasa ketiga”pun, tidak bermakna kita boleh membina satu gabungan “kuasa ketiga”yang terdiri daripada parti-parti yang berbeza ideologi, malah bertentangan sepenuhnya dalam halatuju politik. Ini hanya menjadi tiada bezanya dengan dua gabungan parti politik aliran utama yang sedia ada, di mana parti-parti yang jauh berbeza halatuju politik sanggup bersama selagi boleh berkuasa, seperti mereka yang pernah kuat menentang Mahathir dahulu kala boleh menerimanya sebagai pemimpin untuk “Selamatkan Malaysia”.
  1. Kuasa sebenar yang mampu untuk mencabar kekuasaan dua gabungan parti politik aliran utama, ialah kuasa rakyat yang berasaskan politik kelas yang progresif. Politik kelas yang progresif, ialah politik yang menggabungkan rakyat marhaen merentasi batasan kaum dan agama, untuk memperjuangkan nasib rakyat marhaen secara bersama, dalam usaha membina sebuah masyarakat yang bebas daripada penindasan dan pemerasan, berasaskan prinsip demokrasi keterlibatan, keadilan sosial dan kesejahteraan bersama yang sebenar. Adalah penting untuk kita menggerakkan usaha untuk membina kuasa rakyat marhaen dari sekarang juga, melalui mobilisasi rakyat dalam isu berasaskan kelas dan kesejahteraan bersama (seperti gaji pekerja, perumahan, kesihatan awam, dan mencabar kekuasaan korporat besar). Alternatif politik ini hanya dapat dibina secara berorganisasi dari bawah, dalam perjuangan masyarakat yang berterusan.
  1. Pilihan alternatif yang progresif dalam arena pilihanraya juga perlu dibina berasaskan politik perjuangan rakyat marhaen. Namun, pilihan alternatif dalam arena pilihanraya ini tidak boleh dibina berasaskan formula politik perkauman seperti yang sedang diamalkan oleh parti-parti aliran utama, sebaliknya perlu memecahkan cengkaman politik perkauman yang sempit melalui solidariti rakyat marhaen yang dibina dalam perjuangan untuk kesejahteraan bersama. Jika tiada alternatif sebegini, sampai bila-bila pun pengundi hanya “terpaksa”untuk memilih antara dua barisan “mana satu yang kurang jahat”, seperti PH dan BN atau mana-mana gabungan yang serupa dengan jenama yang berlainan sahaja.

One thought on “PRK Tanjung Piai: Kekalahan PH paling teruk setakat ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *