20191227 - 66ada58ab00ced9ab98d6982efb066c6 (2).jpg

oleh S. Arutchelvan

Kelmarin saya menghadiri satu forum bertajuk “Forum Jawi – Saling Memahami” anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Forum ini amat baik kerana ia turut dihadiri oleh Dong Zong, Tamil Foundation, IKRAM, ABIM dan Dewan Perhimpunan Cina. Yang menjadikan Forum ini sempurna adalah ia dihadiri juga oleh Dr Habibah Abdul Rahim daripada Kementerian Pendidikan.

Saya berpendapat bahawa dalam satu forum yang dihadiri oleh semua kaum, maka pandangan daripada semua ahli panel pelbagai kaum adalah masuk akal dan rasional. Mereka berdialog dan meluahkan isi hati secara terbuka. Saya juga mula memahami sudut pandangan Dong Zong, dan juga penjelasan yang begitu baik dan profesional oleh wakil Kementerian.

Namun, jika forum tersebut hanya dihadiri oleh satu kaum dan ahli panel daripada kaum yang sama juga, maka kita dapat membayangkan bahawa tuntutan-tuntutan dan jeritan slogan yang akan disambut dengan emosi tinggi dan nada tinggi. Maka akan berebut-rebutlah orang untuk memenangi pingat emas untuk pandangan yang paling radikal.

Saya juga dapat bayangkan bahawa walaupun Dong Zong untuk berulang kali berhujah bahawa perhimpunan mereka sebenarnya adalah satu mesyuarat tertutup dan mereka sebenarnya tiada masalah dengan tulisan Jawi tetapi hendak membincangkan proses peranan Lembaga Sekolah dalam isu ini, namun semua hujah mereka akan tenggelam kerana ramai orang merasakan apabila orang Cina berhimpun maka umpamanya “Komunis” berhimpun. Sama jugalah di kalangan orang bukan Islam yang berpendapat bahawa setiap kali orang Islam berhimpun, maka umpama “Taliban” berhimpun. Apbila orang India berhimpun, akan dianggap sudah semestinya ia perhimpunan gangster. Maka begitulah strerotaip masyarakat Malaysia.

Maka suka atau tidak, hanya ada satu cara untuk meredakan keadaan yang semakin membara ini. Jika semua kumpulan dapat mengambil satu langkah berundur ke belakang, maka isu ini dapat diselesaikan dengan lebih bertamadun. Masalah adalah siapakah yang hendak berundur dulu?

Ada beberapa cara untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan sendiri pernah menarik diri daripada ICERD dan Statut Rom, maka bagi saya tidak salah untuk Dong Zong mengambil langkah berundur satu langkah ke belakang memandangkan Kerajaan sendiri telah berundur beberapa kali dalam isu tulisan Jawi ini, iaitu dari 6 mukasurat sudah jadi 3 mukasurat, seni Khat ditukar kepada pengenalan tulisan Jawi, selain itu pilihan diberikan kepada ibubapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menentukan sama ada 3 mukasurat itu hendak diajar atau tidak. Semuanya menunjukkan Kerajaan sedia menerima pandangan dalam isu ini .

Jadi, saya ingin menyarankan situasi menang-menang (win-win situation) seperti di bawah:

  1. Dong Zong menundakanprogram mereka dan pada hari dan masa yang sama mengadakan dialog dengan kumpulan-kumpulan yang sedia berdialog seperti ABIM, IKRAM, PAS, BERKASA dan sebagainyadalam suasana yang kemuafakatan. Tindakan Dong Zong begini akan membolehkan kumpulan ini dilihat sebagai sedia berdialog di mana mereka sendiri pernah menyebutnya beberapa kali. Maka ini adalah peluang terbaik.
  1. MenteriPendidikan Dr.Maszlee Malik berjumpa dengan Jawatankuasa Dong Zong atau hadir ke program Dong Zong untuk memberikan penerangan dan mencari penyelesaian bersama. Ini adalah kerana Dong Zong baru-baru ini meminta temujanji dan ini boleh diselesaikan dengan baiknya. Saya masih ingat semasa ketegangan hebat semasa perhimpunan BERSIH 2.0, DYMM Yang di-Pertuan Agung sendiri berjumpa dengan pemimpim BERSIH. Maka saya tidak lihat mengapa Menteri Pendidikan tidak boleh mengambil langkah proaktif untuk berjumpa.

Ini kerana dalam suasana ketegangan yang sedia ada, memang adalah amat kurang munasabah untuk meneruskan program ini kerana isu pokok di sini sebenarnya adalah bukan 3 mukasurat tulisan Jawi tetapi adalah maruah kumpulan-kumpulan etnik yang tidak mahu berundur, tidak mahu berkompromi dan merasakan jika mereka berundur, maka mereka kalah. Sebenarnya hero Malaysia – adalah mereka yang berundur demi perpaduan manakala yang lainnya, hanyalah boleh jadi hero kaum masing-masing sahaja. Maka siapakah yang nak berundur?

Satu lagi kelemahan yang amat ketara adalah bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangani masalah ini. Kabinet PH sudah bertukar pandangan tidak kurang tiga kali dalam isu ini. Yang menjadikan PH lemah adalah setiap kali satu keputusan dibuat kabinet, pemimpin dan ahli-ahli PH akan terus mengambil posisi menjaga hati kaum masing-masing daripada senada. Maka sindrom hendak menjadi jaguh kaum menjadi agenda lebih besar daripada menjadi jaguh negara. Kepimpinan  PH juga seperti lambat bertindak menangani isu ini dan gagal memainkan peranan sebagai pendamai.

Jika tiga mukasurat yang hendak diajar itu dibentangkan lebih awal dan apabila saya melihat 3 mukasurat yang hendak diajar, saya rasa memang tidak ada masalah pun, memandangkan semua perkataan dalam tulisan Jawi itu kita dapat lihat setiap hari tetapi tidak tahu maknanya.

Dari dulu lagi, kami di PSM tidak pernah menyokong perhimpunan satu kaum, tidak kira dipanggil oleh kaum mana. Yang menjadi hipokrasi adalah semua kaum rasa tergugat apabila kaum yang lain buat perhimpunan, tetapi apabila mereka sendiri yang buat, mereka merasakan bahawa itu adalah hak masing-masing.

Dulu semasa saya menghadiri satu forum, ada seorang lelaki bertanyakan kepada seorang ahli panel tentang bagaimana dia boleh membantu kaum wanita yang mengalami diskriminasi. Jawapan yang diberikan oleh panelis wanita itu adalah, kami tahu jaga diri kami sendiri tetapi kamu boleh membantu dengan bincang dengan orang lelaki supaya mereka tidak diskriminasi. Dalam isu perkauman ini, saya rasa cara terbaik adalah kita hentikan menegur kaum lain apa yang mereka patut lakukan dan sebagainya. Adalah lebih baik kita menegur kaum kita sendiri supaya lebih rasional berfikir, lebih berbicara dan lebih memahami sesuatu isu. Ini akan membantu meredakan keadaan dan mengurangkan persaingan siapa lebih berani dan sebagainya.

Semasa Perang Dunia Pertama, apabila semua negara Eropah mula berperang antara satu sama lain, Lenin pada masa itu meminta kaum pekerja di semua negara untuk memboikot peperangan dan fokus kepada isu roti dan kehidupan mereka. Apabila mereka berperang, hanya penjual alatan perang dan kapitalis yang untung, manakala ribuan rakyat miskin akan mati. Jika kita menggunakan formula yang sama, iaitu kita semua memboikot perhimpunan satu kaum dan fokus kepada isu kepentingan bersama seperti sara hidup, gaji munasabah dan alam sekitar, maka kita semua boleh hidup sejahtera. Kita semua boleh menjadi jaguh negara dan yang rugi adalah jaguh kaum masing-masing.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Jawi – Siapa nak berundur?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *