20191227 - segambut (2).jpg

oleh Soh Sook Hwa

Pertama sekali, keprihatinan YB Hannah Yeoh selaku Ahli Parlimen Segambut terhadap peneroka asal Kampung Segambut Permai tidak pernah dipertikaikan dan amat dihargai. Setelah dihubungi oleh Setuausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sivarajan Arumugam, YB telah merespon dan mengaturkan satu perjumpaan bersama wakil penduduk di Parlimen pada 27 Nov 2019. YB sendiri telahpun turun pada 9 Disember 2019 bersama wakil Kementerian Wilayah Persekutuan apabila penduduk dan aktivis sosial yang berada di situ sedang cuba mempertahankan perobohan yang dijangka berlaku pada hari itu.

Faktor utama yang mengelakkan perobohan pada 9 Disember 2019 adalah janji Menteri Wilayah YB Khalid Samad untuk mengatur perumahan alternatif kepada semua keluarga yang terjejas akibat notis pengosongan terhadap rumah mereka. Dalam surat akujanji daripada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan kepada pihak pemilik tanah, Kementerian memohon masa tambahan selama dua minggu berkenaan notis evakuasi untuk tujuan mencari penyelesaian bagi penduduk Kampung Segambut Permai.

Jadi, pertikaian sekarang bukannya sama ada peneroka asal Kampung Segambut Permai ini berhak untuk menuntut hak mereka kerana tindakan YB dan Menteri untuk mencampurtangan telah jelasnya menyatakan bahawa semua pihak sedar bahawa mereka telah menjadi mangsa keadaan, kerana akta dan dasar kerajaan dahulu mahupun sekarang tidak berpihak kepada mereka.

Kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mengetengahkan beberapa perkara yang kurang diberikan tumpuan:-

1. Persoalan yang lebih kritikal adalah kenapa peneroka asal sesebuah kawasan tidak diberikan keutamaan dan ditawarkan lot tanah tersebut. Bagaimanakah tanah tersebut boleh bertukar tangan dari PKNS kepada orang yang langsung tidak berkepentingan pada tahun 2002 tanpa kesedaran peneroka kampung sendiri yang telah hidup di sana sejak tahun 1960-an? Jika adanya kesalahan dilakukan oleh kerajaan terdahulu, kerajaan kini yang membawa aspirasi rakyat patut memperbetulkan kesalahan tersebut.

2. PSM juga telah memperjuangkan nasib peneroka bandar sejak tahun 1990-an, terutamanya semasa di bawah rejim Barisan Nasional dulu. Kita dapat lihat bagaimana tanah orang kampung peneroka dirampas dan rumah mereka dirobohkan oleh pemaju swasta dan juga oleh pihak Kerajaan sendiri. Paling teruk sekali aalah apabila program Setinggan Sifar dilakukan oleh bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo, di mana ratusan rumah peneroka bandar diroboh secara kekerasan dengan mengunakan kekuatan sepenuhnya pihak FRU, PDRM, RELA dan juga Majlis Perbandaran.

Kita jangan lupa bahawa kekejaman yang dilakukan ke atas peneroka Kampung Berembang dan juga Kampung Rimba Jaya pada sekitar tahun 2006 hingga 2007 merupakan salah satu sebab yang menyebabkan Kerajaan Barisan Nasioanal jatuh di Selangor dalam PRU-12.

Oleh itu, kini Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memberi perhatian untuk memperbaiki perundangan tanah yang kita ada untuk menjaga hak peneroka bandar dan bukannya mengunakan retorik sama yang digunakan oleh BN dulu. Kerajaan Pakatan Harapan boleh memperkenalkan undang-undang baru yang dapat melindungi peneroka yang telah banyak menyumbang kepada kawasan setempat daripada diusir keluar oleh pemodal besar yang menumpang atas hasil usaha peneroka.

3. Oleh sebab hak peneroka inilah kami tidak setuju Kerajaan menyamakan peneroka yang tertindas dengan pemohon PPR biasa . Lokasi Kampung Segambut Permai ialah tanah bekas lombong. Peneroka telah berusaha tiga generasi untuk mengubahsuai persekitaran halaman rumah mereka dengan meratakan dan memadatkan tanah bekas tapak lombong ini. Mereka telah membina, membaiki dan menjaga halaman rumah mereka dengan harapan mereka ditawarkan pemilikan seperti jiran-jiran di kampung bersebelahan. Sumbangan mereka sebagai peneroka dan hakikat mereka diajak untuk meneroka kampung ini patut diberikan pertimbangan yang serius. Senarai menunggu yang panjang bukan alasan untuk menafikan hak peneroka asal daripada mendapat keadilan dan penyelesaian yang sempurna.

4. YB sendiri mengesahkan bahawa DBKL telah turun membuat banci pada 12 dan 13 Disember 2019 untuk mendapatkan gambaran yang terkini dan paling tepat. Namun, banci terkini ini telah diabaikan dan banci yang dibuat pada tahun 2010 dijadikan rujukan. Bayi yang dilahirkan pada tahun 2010 telahpun belajar di darjah tiga sekarang ini. Keengganan pihak DBKL mengguna banci baru adalah tidak masuk akal.

5. 33 keluarga yang menetap di 20 buah rumah yang masih belum dirobohkan telah menyampaikan hasrat mereka untuk ditawarkan rumah alternatif secara berkelompok di PPR yang terdekat, iaitu PPR Sentul Murni dan PPR Batu Muda, agar pemindahan mereka tidak menjejaskan anak-anak yang bersekolah dan kerja mereka. Pemindahan yang ditawarkan oleh pihak DBKL dengan mencampakkan mereka ke merata-rata tempat seperti Setapak, Pudu, Bukit Jalil, Puchong dan sebagainya pasti membebankan mereka dari segi kewangan. Mengikut pemerhatian mereka, kedua-dua tempat ini ada kekosongan yang cukup menampung kesemua keluarga yang terjejas. Dan nyatanya sekali, mereka bukan segelintir penduduk yang meminta sesuatu tanpa asas dan terlampau.

6. Walaupun YB berjanji bahawa penerima tawaran PPR boleh membuat permohonan semula setelah tamatnya tempoh 6 bulan, namun penduduk asal Kampung Segambut Permai telah diwajibkan untuk mengemukaan satu surat Sumpah/Akujanji yang menyatakan mereka MESTI memulangkan unit transit tersebut dalam tempoh 6 bulan. Setelah berunding dengan pihak peguam, penduduk sedar bahawa janji pihak YB tidak menjamin tawaran perlanjutan tempoh PPR kerana surat sumpah Akujanji tersebut boleh melintasi janjian tersebut .

7. Tambahan pula, mereka yang telah keluar dari kampung pada Fasa 1 semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional telah ditawarkan PPR tetap yang boleh dimiliki pada masa depan melalui dasar sewa beli. Mereka yang cuba mempertahankan hak mereka sebagai peneroka tidak patut dianaktirikan, malah perlu diberikan tawaran yang sekurang-kurangnya setimpal.

Pihak kami berharap agar penjelasan kami memberikan pencerahan kepada mereka yang kurang faham tentang asal usul Kampung Segambut Permai. Peneroka patut diberikan hak mereka.

==========

Soh Sook Hwa ialah Bendahari Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM KL/PJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *