20190501_111146

oleh S. Arutchelvan

Merujuk kepada pengumuman Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini bahawa gaji minimum akan dinaikkan ke RM1,200 sebulan di 57 buah bandar sementara gaji minimum akan kekal pada RM1,100 sebulan untuk semua tempat lain di negara kita. Kenapa tidak terus menjadikannya gaji minimum RM1,200 untuk seluruh Malaysia pada tahun 2020?

Malaysia sepatutnya sudah menjadi negara maju pada tahun 2020 berdasarkan Wawasan 2020 Mahathir. Pakatan Harapan pula mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama pada tahun ini. Kerajaan sepatutnya mengurangkan jurang perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin, namun sebaliknya telah berusaha untuk mewujudkan jurang yang lebih luas untuk golongan termiskin dengan meningkatkan gaji minimum hanya untuk 57 buah bandar, ketika Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Parti Sosialis Malaysia menggesa untuk gaji minimum RM1,800 sementera Bank Negara meletakkan angka yang lebih tinggi.

Kedua-dua Pakatan Harapan dan Barisan Nasional setuju untuk meningkatkan gaji minimum ke RM1,500 dalam tempoh 5 tahun seperti dalam manifesto pilihanraya mereka. Sekarang ini, parti yang memerintah mempunyai 3.4 tahun lagi untuk melakukannya dengan mungkin 2 lagi semakan semula terhadap gaji minimum dalam tempoh ini. Adalah logik dan lebih masuk akal jika gaji minimum sekarang ditingkatkan ke RM1,200 di seluruh negara, kerana ia akan menjadi tidak begitu rumit dan mengurangkan masalah dalam pentadbiran dan pelaksanaan kadar gaji minimum baru ini.  Pada ketika pihak berkuasa dan majikan sudah membiasakan diri dengan kadar berlainan ini, semakan semula yang seterusnya akan berlaku, dan situasi akan menjadi lebih rumit lagi.

Kami juga kurang yakin pada Kerajaan Pakatan Harapan bahawa ia akan menunaikan janjinya untuk gaji minimum RM1,500, kerana ini bermakna mereka perlu menaikkan gaji minimum sekurang-kurangnya RM150 setiap kali dalam 2 semakan semula akan datang. Sejak mengambilalih kuasa, Pakatan Harapan hanya pada awalnya meningkatkan gaji minimum RM50 sahaja, tetapi selepas protes besar-besaran, baru mereka bersetuju untuk meningkatkan RM50 lagi menjadikannya RM1,100. Oleh itu, adalah logik jika meningkatkan gaji minimum nasional ke RM1,200 sekarang.

Meningkatkan gaji minimum ke RM1,200 di seluruh negara sudahpun cukup rendah, tetapi menghadkannya kepada 57 buah bandar tidak akan membantu dalam memperbaiki keadaan. Laporan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston baru-baru ini yang menyatakan pendapatan garis kemiskinan rasmi negara kita terlalu rendah sehingga tidak mencerminkan realiti, adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Dalam Manifesto Pakatan Harapan, ia menyatakan bahawa Kerajaan akan mensubsidi untuk gaji minimum. Kita juga tahu bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan utama dalam ekonomi negara kita dan mereka membayar gaji yang lumayan kepada Ketua Pegawai Eksekutif GLC itu sendiri. Kerajaan Pakatan Harapan juga enggan meningkatkan cukai terhadap golongan mahakaya dan tidak mahu mengawal gaji kepada penerima ganjaran tertinggi dalam GLC. Oleh itu, sekurang-kurangnya kerajaan boleh buat adalah meningkatkan gaji minimum untuk pekerja yang dibayar gaji terendah di seluruh negara.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Kenapa rumit sangat? Tak boleh naikkan gaji minimum ke RM1,200 untuk seluruh Malaysia pada tahun 2020?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *