20101129 - WTO.jpg

20 tahun dahulu, pada 30 November 1999, di bandar Seattle, Amerika Syarikat (AS), ketika Persidangan Peringkat Menteri Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang ke-3 dijadualkan untuk berlangsung mulai hari itu, jalan-jalan yang menuju ke Pusat Persidangan Negeri Washington (WSCC) telah disekat.

Beberapa perarakan berlangsung pada hari itu, dengan membawa isu-isu masyarakat kepada perhatian umum ketika pemimpin-pemimpin sedunia hendak bersidang untuk menggadaikan hak rakyat kepada korporat besar yang menggilakan keuntungan. Aktivis-aktivis daripada pelbagai latar belakang, yang memperjuangkan isu pekerja, keadilan sosial dan keadilan alam sekitar, telah mengambilalih persimpangan-persimpangan jalanraya di sekitar WSCC. Demonstran membentuk rantai manusia, dengan “menguncikan” tangan mereka dalam silinder yang menyambungkan mereka semua… Polis cuba menggunakan penyembur lada, peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstran supaya membuka semula jalanraya dan membolehkan perwakilan-perwakilan yang menghadiri WTO melaluinya, namun tidak berjaya. Demonstran yang membentuk sekatan jalan telah memisahkan dan mengasingkan pasukan polis yang mengawal tempat persidangan WTO dengan pasukan polis di luar, bagaikan satu pengepungan terhadap polis yang melindungi persidangan WTO. Upacara pembukaan persidangan WTO yang dijadualkan pada tengahari 30 November 1999 dibatalkan!

20191129-920x920.jpg

Datuk Bandar Seattle pada masa itu Paul Schell mengisytihar darurat untuk bandar itu dan mengenakan perintah kurung. “Zon Tiada-Protes” diisytihar untuk lingkungan kawasan 50 blok bangunan. Sepanjang hari 30 November 1999, polis cuba menyuraikan demonstran yang anti-WTO. Pada hari keesokannya, 1 Disember 1999, pertempuran jalanan yang sengit berlaku antara polis dengan demonstran. Lebih 600 orang ditahan.

Persidangan WTO 1999 masih berjalan tetapi rundingan akhirnya gagal kerana bantahan daripada perwakilan negara-negara sedang membangun… Ketua Polis Seattle, Norm Stamper, terpaksa meletak jawatannya selepas itu akibat daripada kontroversi yang timbul daripada kekerasan polis terhadap demonstran…

Peristiwa protes menentang WTO di Seattle pada tahun 1999, merupakan kemuncak pertama dalam gerakan keadilan sosial yang mencabar susunan kuasa kapitalis global pada abad ke-21. Gerakan ini digelar sebagai “gerakan anti-globalisasi” oleh medai arus perdana, namun gerakan yang terdiri daripada aliran gerakan sosial yang berkepelbagainan bukannya menolak integrasi masyarakat sedunia, tetapi menentang agenda globalisasi neoliberal yang hanya mengutamakan kepentingan kroporat multinasional. Protes di Seattle pada tahun 1999, atau dikenali sebagai protes N30, adalah antara aksi massa yang awal dalam gelombang perjuangan rakyat menentang globalisasi neoliberal. Selepas itu, terdapat lagi banyak aksi protes termasuk protes anti-G8 di Genoa, Itali, pada tahun 2001, protes anti-WTO di Cancun, Mexico, pada tahun 2003, dan protes anti-WTO di Hong Kong pada tahun 2005.

20191129 - CA_Battle in Seattle_banner.jpg

Neoliberalisme adalah satu fahaman fundamentalis kapitalis pasaran bebas, yang berpegang kuat pada kepercayaan bahawa pasaran bebas adalah mekanisme yang terbaik dalam menguruskan ekonomi. Dasar-dasar ekonomi neoliberal telah dipaksakan oleh korporat transnasional dan kerajaan kapitalis negara maju di Barat ke atas negara-negara yang lain melalui institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia (WB), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan sebagainya. Perjanjian “perdagangan bebas”diperkenalkan untuk mempromosi “hak pelabur” dan melindungi kepentingan korporat transnasional. Negara yang menerima bantuan kewangan daripada institusi kewangan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia, dikenakan syarat untuk melaksanakan “Program Pengubahsuaian Struktur”, iaitu dasar-dasar yang berasaskan fahaman ekonomi neoliberal.

Ekonomi neoliberal yang bertunjangkan liberalisasi perdagangan, penswastaan perkhidmatan awam dan penyahkawalseliaan terhadap modal, telah mengundang pelbagai masalah kepada masyarakat sedunia, termasuk jurang berbezaan kekayaan yang semakin melebar antara yang kaya dengan yang miskin, dan penghakisan terhadap kualiti kehidupan rakyat bawahan di seluruh dunia.

20191129 176997.jpg

Kerajaan kapitalis sedunia meraikan kemenangan sistem kapitalis pasaran bebas dengan kejatuhan Tembok Berlin pada tahun 1989 dan pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Mereka menganggap tiada lagi kuasa yang mampu mencabar susunan kapitalis global. Namun, semakin ramai rakyat bawahan hidup sengsara kerana sistem pasaran bebas kapitalis bermaharajarela berpanjikan dasar ekonomi neoliberal. Kegembiraan kapitalis global tidak berkekal lama, kerana selain krisis ekonomi antarabangsa yang menghantui kapitalisme global setiap dekad, perjuangan rakyat dari bawah untuk melawan ketidakadilan sosial dan membina alternatif yang bersifat pembebasan tidak pernah berhenti. Aksi protes anti-WTO di Seattle pada tahun 1999, merupakan salah satu detik sejarah penting yang membuka tirai abad ke-21 yang penuh dengan gerakan kebangkitan rakyat yang mencabar kekuasaan kapitalis global.

Sepanjang 20 tahun kebelakangan ini selepas Seattle 1999, gelombang aksi perjuangan menentang neoliberalisme tidak pernah berhenti. Selain mensasarkan institusi antarabangsa yang mempromosi dasar ekonomi neoliberal, berlaku juga kebangkitan rakyat berterusan yang menentang kerajaan yang membawa dasar ekonomi neoliberal. Gelombang protes anti-perang pada tahun 2003 yang menentang serangan tentera AS ke atas Iraq, juga merupakan sebahagian daripada gerakan keadilan sosial yang hebat ini. Selepas krisis kewangan sedunia pada tahun 2008, semakin ramai orang sedar tentang masalah sistem ekonomi neoliberal, tetapi kerajaan-kerajaan yang berjinak dengan golongan korporat hanya merespon dengan dasar “penjimatan” (austerity) yang bertujuan menyelamatkan keuntungan korporat dengan memiskinkan lagi rakyat biasa. Jadi, kita dapat saksikan gelombang kebangkitan yang hebat lagi seperti perjuangan rakyat di Greece dan Sepanyol yang menentang dasar penjimatan yang dipaksakan oleh insitusi kewangan antarabangsa. Yang terbaru adalah kita dapat saksikan kebangkitan perjuangan rakyat menentang dasar neoliberal di negara-negara seperti Ecuador, Haiti, Lubnan dan Chile. Gerakan protes di Chile baru-baru ini begitu signifikan kerana negara Chile ialah makmal pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal yang pertama selepas diktator Augusto Pinochet mengambilalih kuasa pemerintahan dalam kudeta tentera yang disokong oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada tahun 1973.

Amat jelas sekali, 20 tahun selepas pertempuran anti-WTO di Seattle, dasar ekonomi neoliberal yang sudah muflis dari segi kewibawaannya masih diamalkan di banyak tempat dan perjuangan rakyat yang menentangnya demi pembebasan masyarakat sebenar masih berterusan.

**********

Tontoni babak-babak bersejarah protes anti-WTO di Seattle pada tahun 1999 dalam dokumentari lama “This is What Democracy Looks Like”:

One thought on “Pertempuran Seattle 1999 yang ganggu WTO: Perjuangan lawan neoliberalisme yang belum selesai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *