20191126 - racism.jpg

oleh Ramlan bin Ramli
Bandar Country Homes, Rawang

Sebuah negara bangsa memerlukan asas yang kukuh untuk merealisasikan konsep bangsa. Biasanya asas yang digunakan ialah sejarah. Ada negara yang memang hanya ada satu bangsa seperti Jepun. Ada juga negara yang berjaya meredam isu bangsa sehingga mampu menyatukan kepelbagaian dalam wadah nasionalisme seperti Indonesia dan Thailand.

Sekiranya idea satu bangsa sudah wujud, ancaman lain adalah ideologi. Kepelbagaian ideologi boleh mengganggu kestabilan negara.

Dunia moden pernah menyaksikan perang dingin antara dua ideologi; komunis dan kapitalis. Perang yang dingin di negara induk pecah di negara lain seperti yang terjadi kepada Vietnam dan Afghanistan. Kapitalis Amerika menyerang Komunis Vietnam, manakala komunis Russia menyerang kapitalis Afghanistan. Itulah yang Amerika dan Rusia namakan sebagai Perang Dingin.

Malaysia belum berjaya keduanya. Nasionalisme bangsanya caca marba, faktor sejarah walaupun punya asas yang kuat, namun majoriti rakyatnya lebih gemar sentimen berbanding sejarah. Perang dingin sentimen begitu kuat menular walaupun tiada asas fakta. Yang penting ada ‘kaki’ atau ‘kutu’ yang memuat naik bara perkauman dalam laman sosial.

Pendidikan boleh menyatukan bangsa. Melalui pendidikan, isu dalaman melibatkan melayu, cina dan india sepatutnya sirna bila anak-anak yang suci bersih bermain dan berkawan sesama mereka di laman sekolah mahupun bersengkang minda dalam bilik darjah. Namun sepanjang sejarah sejak merdeka, modal perkauman adalah modal parti politik.

Isu sekolah vernakular menjadi masalah kepada sekolah satu aliran. Janganlah kita bahaskan isu ini kerana akan ada ahli politik yang akan menangguk di air keruh. Tangguk mereka bukan tangguk kosong, di belakang mereka ada ramai juak-juak bodoh yang sudi memandomkan diri hanya sesuap dedak.

Atau sentimen juga boleh bangkit bila ada sekelompok kecil cendekiawan rasis budaya yang mahu bermain dengan budaya bangsa dan jatidiri kaumnya. Abaikan mereka ini. Ahli politik dan cendekiawan ada masa mereka sangat memberi manfaat, dan ada kala mereka tersesat dalam kepintaran dan sikap cakna.

Mari kita raikan sekolah vernakular kerana ia sudah sedia ada. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Jangan hapuskan ke semua sekolah ini.

Sebaliknya mari orang melayu masuk beramai-ramai memeriahkan sekolah vernakular. Mari kita yang mendahului menyantuni guru-guru cina dan tamil. Bila ramai jadi keperluan untuk kita belajar pendidikan agama dalam sekolah. Kita belajar hormat menghormati dan saling meraikan.

Seperti mana Sultan Mansur Syah dan Puteri Hang Li Poo, kahwin campur adalah budaya kelas atasan kita. Bukan pelik kalangan kerabat berkahwin dengan warga asing. Bahkan ianya dianggap suatu yang istimewa.

Perkahwinan adalah ritual yang mampu memadukan darah dan keturunan. Tiada melayu yang akan mempertikaikan siapa rajanya asalkan darahnya bersambung dengan titis benih asal raja.

Oleh kerana Tuanku Yang Dipertuan kita telah memulakan, maka marilah kita menjunjung kasih turut sama berkahwin campur.

Yang belum bertemu jodoh, carilah isteri cina atau india. Carilah yang sedap di mata dan sedap di hati.

Setelah mustaid kedua suami isteri, zuriat yang terhasil semuanya termaktub bumiputera tanpa payah berdemonstrasi.

Kepada yang sudah berumah tangga, berpesan dan berwasiatlah kepada anak, kahwinlah silang bangsa dan budaya. Agar turunan kita kuat dan bercantum kembali segala saudara turunan Adam.

Ayuh Malaysia, perpaduan dan kasih sayang itu fitrah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *