2019120141789651_1993703014257151_7977864489183739904_n (2).jpg

2 Disember 2019 ialah ulangtahun ke-30 pemeteraian Perjanjian Damai Hatyai 1989 yang menandakan pengakhiran satu konflik bersenjata yang berlarutan untuk lebih 40 tahun di negara kita.

Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani pada 2 Disember 1989, antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Upacara penandatanganan perjanjian yang penuh bersejarah ini diadakan di Hotel Le Garden, Hatyai. Perjanjian Damai Hatyai tercapai hasil daripada siri rundingan antara tiga pihak secara samarata dan saling hormat-menghormati dengan hati terbuka dan hasrat ikhlas untuk mewujudkan perdamaian yang berkekalan untuk semua.

Wakil Kerajaan Malaysia yang hadir dalam penandatanganan Perjanjian Damai Hatyai ialah Wan Sidek Wan Abdul Rahman selaku Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada masa itu, Mohd. Hanif Omar selaku Ketua Polis Negara pada masa itu, dan Jeneral Hashim Mohd Ali selaku Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia pada masa itu. PKM pula diwakili oleh Abdullah C.D. selaku Pengerusi PKM, Chin Peng selaku Setiausaha Aung PKM dan Rashid Maidin selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PKM.

Selepas termeterainya Perjanjian Damai Hatyai, PKM menamatkan perjuangan bersenjatanya seperti dijanjikannya. Lebih 1,000 orang pejuang PKM yang berada di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand keluar dari hutan dan memulakan hidup baru selepas itu. 338 orang bekas anggota PKM telah dibenarkan untuk pulang dan menetap di Malaysia. Namun, akibat daripada manipulasi sesentengah pemimpin politik yang berpandangan sempit dan berkepentingan sendiri, pemimpin utama PKM Chin Peng tidak dibenarkan untuk pulang ke Malaysia sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2013, malah membawa masuk abunya pun boleh menjadi satu isu, sesuatu yang bercanggah dengan apa yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai.

Pemberontakan PKM dan tragedi sejarah yang dipaksakan oleh penjajah

PKM ialah salah satu kuasa politik di negara kita yang pernah memainkan peranan yang penting dalam menentang kuasa penjajah imperialis di tanahair kita, sama ada kuasa penjajah Jepun atau British.

PKM yang ditubuhkan pada tahun 1930, terlibat dalam perang menentang pendudukan tentera Empayar Jepun pada tahun 1941-1945, melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1948 untuk menentang kuasa penjajah British. Pemberontakan PKM untuk melawan British merupakan sebahagian daripada gelombang perjuangan pembebasan nasional yang melanda negara-negara benua Afrika-Asia pasca Perang Dunia II, yang bertujuan untuk membebaskan negara-negara Dunia Ketiga yang dijajah daripada cengkaman kuasa imperialis.

Pihak British mengiytiharkan Darurat yang berlanjutan untuk 12 tahun (1948-1960). Sepanjang 12 tahun peperangan, pihak penjajah British telah mengerahkan tentera dari banyak tempat di Komanwel British untuk mematahkan pemberontakan PKM, termasuk pasukan tentera dari Australia, New Zealand, Fiji, Rhodesia dan Kenya. Tentera Udara British melakukan serangan sebanyak 25,000 kali di Tanah Melayu, menjatuhkan puluhan ribu tan bom di hutan kita, menembak lebih 100,000 roket pelancar. Lebih 1,300 orang polis dan 500 orang tentera terkorban dan perang 12 tahun tersebut, lebih 6,000 orang pejuang PKM gugur dalam pertempuran, sementara ribuan orang awam turut terkorban. Selepas Darurat berakhir pada tahun 1960, konflik bersenjata rendah masih berterusan dalam intensiti rendah.

Pada tahun 1955, Rundingan Damai Baling diadakan tetapi digagalkan kerana pihak British enggan membenarkan PKM untuk melibatkan diri dalam proses politik berparlimen. Kegagalan Rundingan Damai Baling 1955 telah menyebabkan konflik bersenjata diteruskan selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Negara kita perlu melalui kemelut perang saudara selama 32 tahun lagi akibat percaturan kekuasaan imperialis. Ramai orang daripada kedua-dua pihak, sama ada PKM ataupun Kerajaan, telah terkorban kerana konflik ini. Ini adalah tragedi sejarah yang dipaksakan oleh kuasa imperialis ke atas tanahair kita ketika Zaman Perang Dingin.

Produk Perang Dingin yang sudah melepasi tarik luput

Sepanjang Darurat 1948-1960 dan konflik yang melibatkan PKM, kerajaan penjajah British dan kerajaan proksinya selepas kemerdekaan Malaya, telah menyamakan komunis dengan pengganas dalam propaganda perangnya. Propaganda ini juga dilakukan dalam konteks Perang Dingin yang menyaksikan pertembungan dua blok kuasa besar, antara Blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat yang menggelar dirinya “Dunia Bebas” dengan Blok Timur yang diterajui Kesatuan Soviet yang menggelar dirinya membawa “komunisme”. Akibat daripada pengaruh propaganda Perang Dingin inilah ramai rakyat pada hari ini sudah tidak tahu apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh komunis dan hanya terdedah kepada propaganda pro-penjajah yang bertujuan untuk melindungi kepentingan kuasa imperialis di rantau ini sejak berakhirnya Perang Dunia II. Malah, sehingga hari ini masih adanya pihak tertentu yang cuba menggunakan label “komunis” untuk menyerang musuh politik mereka.

Namun, jika kita fahami sejarah dengan lebih mendalam, kita patut menyedari bahawa keganasan meragut nyawa dalam konflik bersenjata di negara kita ketika perang saudara (pada skala yang kurang intensif pada kebanyakan masa) pasca kemerdekaan, adalah satu produk Perang Dingin. Kegagalan Rundingan Baling 1955 adalah sesuatu yang disengajakan oleh pihak penjajah British untuk menghalang satu kuasa politik anti-imperialis yang radikal daripada memasuki arena politik pilihanraya di Persekutuan Tanah Melayu dalam konteks percaturan kuasa besar Zaman Perang Dingin dan melindungi pengaruh kuasa Barat di rantau Asia Tenggara. Hasrat PKM untuk mewujudkan proses perdamaian selepas kegagalan Rundingan Baling juga tidak dihiraukan oleh pihak berkuasa hanya kerana politik Perang Dingin yang mewujudkan permusuhan yang berterusan ini sehingga tahun 1989, iaitu ketika berakhirnya Perang Dingin.

Malah, kuasa politik berhaluan kiri yang lebih sederhana atau tidak mengambil pendekatan perjuangan senjata dalam sejarah tanahair kita, seperti Parti Buruh dan Parti Rakyat yang bergabung dalam Barisan Sosial, turut ditindas secara teruk sehingga ramai ditahan tanpa bicara dan diseksa di bawah akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang hanya dimansuhkan pada tahun 2012.

Hormati sejarah, hargai kedamaian

Perjanjian Damai Hatyai mempunyai makna yang signifikan untuk negara kita, kerana ia telah menutup lembaran sejarah abad ke-20 untuk negara kita dan menamatkan satu keadaan permusuhan hasil tinggalan penjajahan British dan Perang Dingin yang berlarutan untuk berpuluh tahun. Penamatan keadaan permusuhan ini bermakna bahawa tiada rakyat perlu mengorbankan nyawa lagi, dan menyediakan asas kepada keamanan yang berkekalan.

Pemimpin kerajaan negara kita pada 30 tahun dahulu, termasuk pimpinan tertinggi pihak polis dan angkatan tentera pada masa itu, secara bijaksana telah menyumbang kepada Perjanjian Damai Hatyai dengan hasrat murni untuk menamatkan satu konflik yang menghantui negara kita dan merealisasikan keamanan yang berkekalan . Namun, masih adanya sesetengah pihak, khususnya politikus-politikus yang tidak pernah penat mempermainkan politik perkauman, terus mempergunakan “ancaman komunis” dengan motif kepentingan politik sendiri. Ini adalah sesuatu yang melanggar semangat mencintai keamanan dan keharmonian yang ditunjukkan dalam Perjanjian Damai Hatyai.

Perang Dingin abad ke-20 sudah berakhir sejak 30 tahun dahulu, begitu juga dengan konflik yang melibatkan PKM di Malaysia yang sudah mencapai solusi perdamaian yang dimeteraikan dalam satu perjanjian penuh dengan hasrat murni untuk mewujudkan keamanan di tanahair kita. Oleh itu, adalah tidak masuk akal untuk kita masih terperangkap dalam minda zaman Perang Dingin yang sudah melepasi tarikh luputnya pada abad ke-21 ini.

Mempolitikkan tragedi sejarah yang dipaksakan oleh kuasa imperialis ke atas rakyat tanahair kita, tidak akan membantu dalam menyembuhkan luka sejarah kita, termasuk saudara-mara untuk mereka daripada mana-mana pihak yang terkorban tanpa mengira pendirian politik mereka semasa konflik, malah juga tidak akan membawa apa-apa makna kepada kemajuan masyarakat. Menjelang ulangtahun ke-30 ini, adalah penting untuk kita menghormati sejarah, menghargai kedamaian yang dicapai, dan terus maju ke depan dengan pandangan dunia yang progresif.

2 thoughts on “Perjanjian Damai Hatyai 1989: Pengakhiran tragedi sejarah yang dipaksakan imperialis Zaman Perang Dingin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *