20 tahun selepas protes anti-G8 di Genoa, perjuangan untuk alternatif kepada kapitalisme masih berterusan…

20 tahun dahulu, pada 18-22 Julai 2001, aksi protes rakyat besar-besaran di bandar Genoa, Itali, merupakan salah satu kemuncak penting untuk Gerakan Keadilan Global yang mencabar globalisasi kapitalis pasca Perang Dingin.

Persidangan Kumpulan Lapan (G8) telah diadakan di Genoa pada 20-22 Julai 2001. G8 ialah sebuah forum politik antara kerajaan negara-negara berekonomi maju yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Kanada dan Rusia, pada masa itu. Forum ini bermula sebagai Persidangan Kemuncak G6 (Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman Barat, Itali dan Jepun) pada tahun 1975, berikutan Krisis Minyak 1973 yang menjejaskan keuntungan kapitalis di negara-negara perindustrian yang maju dalam Blok Barat pada masa itu, kemudiannya menjadi G7 dalam persidangan kemuncak keduanya pada tahun 1976 (dengan penglibatan Kanada). G7 dikembangkan untuk menjadi G8 pada tahun 1997, dengan penyertaan Rusia, namun keanggotaan Rusia dalam “kelab negara kaya” ini telah digantung pada tahun 2014 kerana ketegangan politik antarabangsa keberikutan pengilhakan wilayah Krimea oleh Rusia.

Seramai 300,000 orang telah berdemonstrasi di jalanan Genoa semasa Persidangan Kemuncak G8 diadakan di situ pada masa itu. Para demonstran berprotes untuk melawan kapitalisme dan ketidakadilan yang wujud akibat daripada dasar ekonomi neoliberal yang menggadaikan kepentingan rakyat biasa untuk keuntungan korporat multinasional. Aksi protes menentang Persidangan Kemuncak G8 di Genoa merupakan kemuncak kepada gelombang gerakan anti-kapitalis yang mula tercetus semasa Persidangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Seattle pada tahun 1999. Golongan sosialis, komunis, kesatuan sekerja, pelajar-pelajar, aktivis-aktivis alam sekitar dan pekerja-pekerja, walaupun mempunyai aliran pemikiran yang berbeza, tetapi telah berganding bahu dan bersolidariti dalam satu matlamat bersama, iaitu berprotes untuk melawan globalisasi kapitalis neoliberal yang dipaksakan dari atas oleh golongan elit pemerintah sedunia dan berusaha untuk memperjuangkan impian sebuah dunia lain yang berkemungkinan. Ia merupakan titik tolak baharu dalam perjuangan melawan neoliberalisme dan menjadi asas kepada gerakan-gerakan anti-imperialis yang melanda merata tempat di dunia selepasnya.

Aksi protes anti-G8 di Genoa pada bulan Julai 2001 telah berdepan dengan layanan pihak berkuasa yang penuh dengan keganasan. Pihak polis Itali telah menggunakan meriam air, serangan belantan dan gas pemedih mata untuk menghalang demonstran daripada berprotes. Salah seorang demonstran, Carlo Giuliani, seorang anak muda yang baru berumur 23 tahun pada masa itu, telah ditembak mati dengan peluru hidup oleh anggota pasukan Carabinieri (iaitu polis tentera Itali).

Puluhan ribu orang yang berprotes pada 20 tahun dahulu di Genoa, telah mengingatkan kita bahawa “dunia yang berlainan adalah berkemungkinan” (another world is possible). Usaha untuk menentang dasar neoliberal yang menjejaskan kehidupan rakyat terbanyak telah berterusan sehingga kini.

Krisis kewangan dunia yang melanda pada tahun 2008 telah mendedahkan kepincangan sistem kapitalis global, dan amat jelas juga bahawa dasar ekonomi neoliberal yang mengagung-agungkan pasaran bebas memang gagal menangani krisis pandemik koronavirus yang menular di seluruh dunia sejak tahun 2020. Krisis iklim, krisis kesihatan awam, krisis makanan, krisis ekonomi dan pelbagai krisis masyarakat yang sedang menjahanamkan kehidupan rakyat biasa di merata tempat, merupakan manifestasi kegagalan sistem kapitalis global yang berasaskan logik pengumpulan modal yang berterusan. Syarikat-syarikat korporat multinasional yang memperoleh keuntungan berbilion-bilion setiap tahun masih menikmati perlindungan daripada dasar pro-korporat yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan di negara maju dan menyembunyikan kekayaan mereka di tempat berlindung cukai; sementara rakyat biasa terus berdepan dengan masalah pengangguran, peningkatan kos hidup dan pengurangan perbelanjaan sosial yang menjejaskan perkhidmatan asas yang sepatut dinikmati semua. Oleh yang demikian, perjuangan untuk mencabar sistem kapitalis global yang penuh kepincangan ini telah berterusan dan usaha mewujudkan alternatif baharu juga tidak pernah berhenti.

Impian untuk sebuah dunia yang berlainan bukan sahaja berkemungkinan, tetapi harus menjadi kenyataan, sekiranya kita hendak mengelakkan dunia kita daripada kemusnahan dan bencana kemanusiaan yang lebih teruk lagi. Aksi protes anti-G8 di Genoa pada 20 tahun dahulu, merupakan salah satu contoh perjuangan bersama rakyat sedunia yang terus memberi inspirasi kepada kita untuk melawan ketidakadilan sosial dan membebaskan masyarakat kita daripada belenggu kapitalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *