oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin menasihati Kerajaan supaya jangan mengurangkan pengambilan pelajar perubatan dalam universiti awam. Menurut laporan akhbar The Star 9/11/2019, ini merupakan salah satu penyelesaian yang sedang dipertimbangkan oleh Majlis Penasihat Kesihatan untuk menangani masalah lambakan graduan perubatan. Pada tahun 2018, terdapat seramai 1482 orang graduan perubatan daripada universiti awam, 2509 orang graduan daripada universiti swasta tempatan, dan 1876 orang lagi graduan pulang dari kolej perubatan luar negara. PSM berpandangan bahawa ia adalah lebih masuk akal jika mengurangkan pengambilan pelajar universiti swasta.

PSM telah memperjuangkan sistem pendidikan tinggi yang disubsidi sebanyak mungkin atas sebab-sebab yang berasas. Graduan perubatan yang mempunyai hutang pendidikan mencecah ratusan ribu ringgit tidak akan berada dalam kerangka minda yang berminat untuk pergi bekerja di Malaysia Timur, Pantai Barat Semenanjung Malaysia ataupun kawasan pedalaman di Pantai Barat. Mereka akan lebih cenderung bekerja di pusat-pusat bandar, supaya mereka dapat melakukan lebih banyak kerja lokum dan juga dilatih sebagai doktor pakar secepat mungkin, maka mereka dapat menubuhkan perkhidmatan swasta sendiri, menjaga pulangan wang yang lumayan, untuk membayar balik hutang pendididikan mereka, dan menyimpan wang untuk menghantar anak mereka sendiri ke universiti!

Namun, adakah ini sebabnya kita mendidik orang yang paling cemerlang dan pandai, supaya mereka boleh mendapat pekerjaan dengan habuan tinggi dan membayar balik hutang mereka yang bertimbunan tinggi? Bukankah kita patut berusaha menggalakkan anak muda yang berpendidikan kita supaya menggunakan pengetahuan dan latihan yang diterima mereka untuk kebaikan masyarakat, khususnya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik? Jika demikian, kita perlu memastikan mereka tidak dihantui oleh hutang pelajar yang besar. Jika masyarakat mensubsidi pendidikan tinggi, maka masyarakat akan mempunyai kuasa moral untuk meminta graduan-graduan ini untuk menghabiskan masa beberapa tahun untuk berkhidmat di kawasan luar bandar yang lebih mundur di dalam negara kita. Kita hilang kuasa moral untuk meminta mereka berkhidmat untuk golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat jika kita mengenakan mereka untuk membeli pendidikan mereka pada harga pasaran – tambang tuisyen untuk pendidikan perubatan di kolej swasta tempatan sekarang ini adalah antara RM300,000 dan RM1 juta!

Ini adalah di mana Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya semakin teruk. Pemimpinnya mengemukakan frasa yang sedap didengar seperti, “Kemakmuran Bersama”, “Tiada orang akan ketinggalan” dan “Masyarakat Penyayang”. Namun, pada masa yang sama, kerajaan sedang mewujudkan persekitaran makro yang meningkatkan ketidakjaminan kewangan untuk golongan B40 dan M40. Ia tidak memerlukan sains roket untuk menyedari bahawa ketidakjaminan kewangan akan membawa kepada strategi penyesuaian yang lebih pentingkan diri sendiri di kalangan orang awam – dengan fokus adalah pada menjana pendapatan sebanyak mungkin, dan bukannya untuk membina sebuah masyarakat yang lebih bersifat penyayang!

Kewujudan kolej perubatan swasta bagai cendawan tumbuh selepas hujan untuk 15 tahun yang lalu. Negara kita sekarang ini mempunyai 9 buah universiti awam dan 23 buah kolej perubatan swasta – mengeluarkan graduan perubatan yang jauh lebih ramai daripada apa yang dapat ditangani secara baik oleh sistem. Fasa paling penting untuk pembangunan seseorang doktor adalah ketika dia beralih dari sekolah perubatan ke dunia nyata – hospital awam kita yang penuh sesak. Graduan perubatan muda kita memerlukan penyeliaan yang rapi dan pengajaran di wad pesakit supaya mereka dapat membangunkan sikap dan kemahiran yang betul.

Lambakan graduan baru telah mengatasi keupayaan sistem yang sedia ada untuk menyelia, melatih dan membimbing doktor generasi yang baru. Penyelesaian masalah lambakan ini sepatutnya mengurangkan secara mendadak (untuk dua tahun yang akan datang) pengambilan pelajar oleh sekolah-sekolah perubatan swasta pada kadar 40 hingga 50%. Jika ini menjejaskan skala ekonomi mereka, maka boleh melakukan penggabungan beberapa kolej swasta ini.

Membanjiri sistem dengan doktor yang tidak dilatih dengan baik tidak akan membantu sesiapa pun – termasuk doktor mereka sendiri. Apakah doktor muda dengan pengalaman 4 tahun akan buat jika dinafikan pekerjaan selanjutnya dalam perkhidmatan kerajaan? Empat tahun adalah tidak cukup masa untuk menjadi pakar dalam mana-mana bidang. Hospital swasta hanya memerlukan beberapa oleh doktor bukan pakar untuk mengendalikan jabatan kecemasan. Jadi, majoriti doktor muda yang ditendang keluar daripada perkhidmatan kerajaan dengan pengalaman kerja 4 tahum, akan terpaksa membuka klinik pengamal am untuk bersaing dengan lebih kurang 7000 orang doktor pengamal am yang sudah mendapati susah untuk mencari rezeki. Satu jumlah yang besar mungkin akan berhenti daripada bekerja sebagai doktor. Tahap daya saing untuk mereka yang kekal dalam profesion ini juga dibimbangi kerana latihan pasca graduasi mereka telah dikompromikan.

PSM menggesa Majlis Penasihat Kesihatan supaya pergi ke punca masalah. Majlis Penasihat Kesihatan patut menangani secara ikhlas isu yang susah tetapi penting ini – adakah agensi yang sepatutnya memantau dan mengawalselia pendidikan kakitangan perubatan itu menjalankan tugas sewajarnya? Ataupun mereka telah dikompromikan oleh “penangkapan pengawalseliaan” (regulatory capture)? Ramai pegawai kanan dalam jabatan kesihatan dan agensi yang meluluskan kursus, kuota pengambilan pelajar dan biasiswa untuk kolej swasta, selepas persaraan mereka, telah ditawarkan kerja bergaji tinggi dalam institusi swasta yang “dikawalselia” oleh mereka sebelum ini. Adakah “pintu berpusing” ini salah satu mekanisme utama untuk “penangkapan pengawalseliaan” yang membawa kepada pengeluaran berlebihan doktor, jururawat, ahli fisioterapi dan sebagainya? Bagaimana ini dapat ditangani?

Rakyat Malaysia patut memantau secara teliti untuk melihat sama ada cadangan untuk mengurangkan pengambilan pelajar perubatan ke dalam universiti awam (pada masa yang sama berdiam diri dalam pengambilan pelajar kolej perubatan swasta) hanyalah satu lagi manifestasi penangkapan pengawalseliaa pada peringkat tertinggi dalam Kementerian Kesihatan.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *