20180819_165249.jpg
oleh A. Sivarajan

Pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan pada minggu lalu, menimbulkan kerisauan kerana tiada apa jua perancangan ataupun usaha yang dibentangkan menuju ke arah mengurangkan harga rumah yang melambung naik.

Kini sudah ada kajian dan pengakuan daripada pelbagai pihak bahawa rumah yang ditawarkan oleh pemaju di pasaran adalah jauh daripada kemampuan rakyat pekerja biasa. Namun, apa yang kita lihat adalah hanya usaha Kerajaan membantu pemaju-pemaju untuk menghabiskan stok rumah yang berharga RM500,000 ke atas. Dulu hanya rumah berharga RM1 juta lebih sahaja dibenarkan untuk dijual kepada warga asing, tetapi kini tahap harga tersebut diturunkan ke RM600,000 dan ke atas, untuk memudahkan stok rumah tersebut dihabiskan.

Tetapi di manakah perumahan untuk rakyat pekerja B40 yang langsung tidak mampu membeli rumah? Rakyat pekerja yang berpendapatan gaji minimum RM1,100 atau RM1,200 tidak boleh bermimpi membeli rumah yang dikatakan “mampu milik” yang berharga RM 250,000 – 300,000. Dengan gaji paras kemiskinan, pendapatan mereka tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan dan terpaksa meminjam daripada “Ah Long”. Justeru, mereka tidak mampu untuk mengumpul wang sebanyak 10% harga jualan rumah bagi tujuan membayar deposit rumah.

Perumahan yang amat diperlukan untuk golongan ini ialah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) sewa atau sewa beli. Jika mereka bergaji RM 1,200 ke bawah, bayaran sewa yang mampu ialah RM100 hingga RM200. Golongan inilah yang harus dibantu dan dijadikan fokus perancangan Kerajaan, bukannya golongan pemaju yang hanya ingin mengaut keuntungan besar. Tetapi di manakah perancangan untuk membina rumah PPR dalam Belanjawan 2020?

PSM risau apabila melihat perincian Belanjawan 2020 untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dimuatnaikan dalam laman web Kementerian Kewangan. RM10 bilion diperuntukkan melalui bank-bank untuk membantu rakyat sewa/beli perumahan dalam pasaran. Tetapi jika harga rumah kekal tinggi, maka beban hutang yang harus ditanggung masih besar

Selain itu, kita dapat lihat bahawa peruntukan pembangunan KPKT dikurangkan daripada RM2.4billion (2019) kepada RM1.9 bilion (2020). Peruntukan di bawah kod 01513 “Program Perumahan Rakyat” juga memperlihatkan pengurangan daripada RM571 juta (2019) kepada RM517 juta (2020). Peruntukkan keseluruhan Jabatan Perumahan Negara juga dikurangkan daripada RM719,025 kepada RM 581, 261.

Angka-angka tersebut dan juga kegagalan mengumumkan apa jua Program Perumahan Rakyat Sewa atau Sewa Beli yang baru di sekitar bandar-bandar utama menimbulkan kerisauan kami. Apabila pasaran gagal menyediakan rumah kos rendah dan mampu diduduki kepada rakyat, maka satu-satunya harapan rakyat ialah perumahan sosial kerajaan. Tetapi adakah KPKT masih komited untuk membina perumahan bagi golongan berpendapatan rendah? Atau adakah KPKT akan hanya fokus pada kemudahan pembiayaan projek swasta tanpa mengurangkan harga rumah?

PSM menyarankan supaya pihak KPKT dan Kementerian Kewangan harus melihat perkara ini dengan serius dengan bertambahnya kepadatan rakyat pekerja di bandar-bandar utama. Keperluan asas seorang rakyat, iaitu penyediaan rumah untuk kediaman, harus dijadikan agenda utama.

PSM juga menyarankan supaya satu inisiatif besar-besaran dilancarkan dengan sasaran membina 200,000 buah rumah PPR setahun di seluruh negara. Ianya akan memerlukan perbelanjaan yang signifikan, maka Kerajaan harus menarik penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita untuk menyempurnakan tanggungjawab sosial ini. Mereka harus diberikan kuota untuk melaksanakan projek perumahan bagi membantu memenuhi keperluan rakyat.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s