20190926_111909.jpg

ALOR SETAR, KEDAH – 26 SEPTEMBER 2019: Bekas pekerja Ladang Padang Meha berprotes di hadapan Pejabat Menteri Besar Kedah pada hari ini untuk menuntut campurtangan segera daripada pihak Kerajaan Negeri supaya menyambung semula bekalan air ke rumah mereka yang dipotong semalam.

Pihak pemilik tanah Ladang Padang Meha, Vintage Developers Sdn Bhd (anak syarikat MBF Holdings Bhd) telah memotong bekalan air ke rumah penduduk Ladang Padang Meha semalam (25 September 2019). Pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah datang ke Ladang Padang Meha dengan membawa ramai polis untuk melakukan pemotongan bekalan air di kawasan ladang yang masih dihuni oleh bekas pekerja ladang. Ini satu tindakan yang kejam dan merupakan usaha keji untuk mengusir secara paksa bekas pekerja ladang tanpa menyelesaikan masalah mereka.

Ini merupakan kali kedua bekalan air penduduk Ladang Padang Meha dipotong. Pemotongan air pernah berlaku pada bulan April lalu sejurus selepas satu keputusan mahkamah yang berpihak kepada bekas pekerja, seolah-olah tindakan balas dendam daripada pihak tuan tanah.

Isu berkaitan dengan bekas pekerja Ladang Padang Meha telah berlarutan sejak tahun 1995 apabila mereka diberhentikan oleh majikan East Asiatic Company (Malaysia) Bhd kerana ladang dijual kepada syarikat MBF. Wang sejumlah RM 3.3 juta telah diberikan oleh pihak majikan kepada MBF selaku pemilik ladang baru untuk menyelesaikan isu tuntutan pekerja. Bekas pekerja Ladang Padang Meha cuba menuntut pampasan yang sewajar dan rumah alternatif daripada pihak MBF. Alamanda Development Sdn Bhd (anak syarikat MBF) telah bersetuju untuk memasuki perjanjian penyelesaian pada tahun 1997 dengan janji membina rumah untuk pekerja dan bayaran pampasan ex-gratia kepada pekerja. Namun, Alamanda Development Sdn Bhd tidak melaksanakan janjinya, dan bekas pekerja Ladang Padang Meha mendapatkan satu penghakiman mahkamah pada tahun 2011 untuk mengenakan syarikat Alamanda Development Sdn Bhd menunaikan janjinya. Akan tetapi, syarikat Alamanda Development Sdn Bhd mengisytihar muflis.

Satu lagi kes mahkamah telah difailkan pada tahun 2016, tetapi keputusannya pada tahun 2018 amat mengecewakan kerana bekas pekerja ini hanya diberi wang pampasan tanpa faedah seperti yang ditawarkan pada tahun 1995 dan tiada perumahan alternatif. Kemudiannya, kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya dan keputusan pada 4 April 2019 adalah pihak MBF diarahkan untuk mengembalikan wang RM 3.3 juta yang diberikan oleh majikan asal pada tahun 1995 kepada bekas pekerja. Keputusan ini turut membuktikan pihak MBF telah memegang wang pampasan untuk bekas pekerja ini selama lebih 24 tahun dan tidak pernah berniat untuk memulangkannya. Dan selama ini juga syarikat MBF telah “memakan” faedah daripada wang tersebut yang sepatutnya dinikmati oleh bekas pekerja. Walau bagaimanapun, keputusan mahkamah masih tidak mencukupi untuk para bekas pekerja Ladang Padang Meha untuk mendapatkan rumah alternatif.

Kini, pertikaian antara bekas pekerja Ladang Padang Meha dengan MBF masih belum selesai. Pihak MBF dan anak syarikatnya Vintage telah membawa isu ini ke Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab kes masih di mahkamah lagi, kenapa perlu pihak MBF dan Vintage melakukan pengusiran paksa dengan mendapatkan bantuan daripada SADA untuk memotong air?

Bekas pekerja Ladang Padang Meha tertanya-tanya, kenapa sebuah syarikat di bawah Kerajaan Negeri Kedah boleh bersekongkol dengan pihak tuan tanah yang berniat jahat untuk menindas pekerja?

Para bekas pekerja Ladang Padang Meha menggesa Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir untuk:

• Mencampurtangan dengan SEGERA untuk menyambung balik bekalan air kepada bekas pekerja Ladang Padang Meha;
• Meneliti laporan Lembaga Tanah Ladang di mana setiap tanah ladang yang dijual akan memberi laporan kepada pihak Lembaga ini dan apakah syor yang dinyatakan dalam laporan tersebut yang jelas tidak dipatuhi oleh pihak majikan atau tuan tanah sekarang;
• Memanggil satu mesyuarat Tri-Parti dengan pihak Vintage dan menyeru pihak syarikat untuk memberikan tanah ladang seluas 25 ekar bagi projek perumahan bekas pekerja;
• Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan Skim Perumahan bersubsidi untuk bekas pekerja Ladang Padang Meha dengan menggunakan wang pampasan yang diperoleh daripada keputusan mahkamah.

Setelah satu perbincangan antara pihak Menteri Besar, SADA dan penduduk Ladang Padang Meha, keputusan yang diambil adalah:

1. Pihak Menteri Besar akan memanggil mesyuarat dengan syarikat Vintage dan berurusan untuk penyambungan semula bekalan air.
2. Sekiranya tiada maklum balas, penduduk akan turun kembali pada hari Rabu minggu depan (2 Oktober 2019) untuk berprotes lagi.
3. Pihak SADA akan menambahkan tangki air sementara. Sekarang hanya dua tangki yang sudah dipasang.

2 thoughts on “Bekalan air dipotong! Penduduk Ladang Padang Meha gesa MB Kedah campurtangan segera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *