20190926_111909

oleh S. Arutchelvan

Sejak 25 September lalu, lebih kurang 70 buah keluarga bekas pekerja ladang yang tinggal di Ladang Padang Meha yang terletak berhampiran dengan Padang Serai di negeri Kedah, telah dinafikan bekalan air paip. Adalah mengejutkan bahawa dalam abad ke-21 ini, pemaju masih boleh menggunakan cara menafikan kemudahan asas rakyat seperti air untuk mengusir keluar masyarakat setempat secara paksaan. Bekalan air kepada penduduk di Ladang Padang Meha telah dipotong melalui tindakan oleh syarikat MBf Holdings dan anak syarikatnya Vintage Developers Sdn Bhd.

Pemotongan bekalan air kepada lebih kurang 70 buah keluarga itu dilakukan secara haram, walaupun terdapat perintah mahkamah yang masih dalam proses. Selepas 24 tahun perjuangan di mahkamah, akhirnya pada 4 April 2019, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa MBf Holding perlu membayar pampasan kepada bekas pekerja di Ladang Padang Meha dalam tempoh 3 bulan mengikut perjanjian yang dibuat pada tahun 1995. Berdasarkan keputusan mahkamah tersebut, pihak syarikat perlu membayar pampasan kepada pihak pekerja dan selepas menerima pampasan tersebut, pekerja-pekerja perlu mengosongkan rumah mereka dalam tempoh 6 bulan. Namun, pihak syarikat tidak membayar, sebaliknya memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Oleh sebab kalah di mahkamah, pihak syarikat menggunakan taktik yang kejam dan kotor untuk mengusir bekas pekerja yang masih tinggal di situ, Pada 8 April 2019, 4 hari selepas keputusan mahkamah dibuat, bekalan air kepada rumah-rumah pekerja di Ladang Padang Meha telah dipotong. Para penduduk membuat aduan polis di samping mengambil tindakan lain, tetapi sama ada pihak berkuasa tempatan atau pemaju tidak melakukan apa-apa. Oleh itu, para bekas pekerja menyambung semula air secara sendiri beberapa hari selepas itu. Selepas itu, pemaju memotong lagi bekalan air pada 25 September 2019. Ini sememangnya tindakan berniat jahat oleh MBf dan Vintage Developers Sdn Bhd, selepas menipu bekas pekerja dan gagal mengusir mereka sejak tahun 1995, iaitu lebih 24 tahun dahulu.

Tindakan MBf dan Vintage sebenarnya adalah tindakan jenayah dan boleh ditafsirkan sebagai mengganggu ketenteraman. Di bawah undang-undang, pekerja-pekerja ladang hanya boleh diusir keluar dari rumah yang diduduki mereka sekarang hanya jika terdapat perintah mahkamah. Seperti yang wujud pada keadaan sekarang di Ladang Padang Meha, pihak syarikat perlu membayar pampasan kepada pekerja. Hanya selepas membayar pampasan, para bekas pekerja baru perlu mengosongkan rumah yang diduduki mereka selama tiga generasi itu dalam tempoh 6 bulan. Namun, mereka belum lagi menerima satu sen pampasan. Selain itu, terdapat juga janji untuk membina rumah tetap untuk mereka, yang juga belum pernah ditunaikan.

Sekiranya kita berpandangan bahawa syarikat itu bersikap kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka tindakan ataupun sebaliknya kegagalan untuk bertindak daripada Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir adalah mengecewakan, mengejutkan dan menyedihkan. Kerajaan Negeri Kedah nampaknya tidak memainkan apa-apa peranan pro-aktif dalam menyelesaikan isu perumahan ini walaupun isu ini telah pun dibawa kepada perhatian Kerajaan Negeri seawal sehari selepas berlakunya pemotongan air.

Sekarang ini air sudah dipotong, tetapi tindakan kerajaan untuk memperbaiki keadaan begitu lembab sekali. Air di negeri Kedah sekarang ini dibekalkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dikawal oleh Kerajaan Negeri. Satu arahan yang mudah kepada mereka untuk tidak memotong air akan dapat menyelesaikan isu ini sementara menunggu keputusan akhir dari mahkamah. Pihak kerajaan tidak melakukan sedemikian, sebaliknya hanya membekalkan lori tangka air dan ini pun hanya dilakukan selepas bekas pekerja mengadakan protes duduk bantah di hadapan ibupejabat Menteri Besar. Menteri Besar, Kerajaan Negeri dan Exconya daripada Pakatan Harapan, hanya perlu memanggil pihak syarikat untuk mengadakan rundingan dan menyuruhnya untuk memulihkan bekalan air. Di negeri lain seperti di Selangor, Kerajaan Negeri sudah akan memulihkan bekalan air serta-merta sementara berunding dengan pemaju. Di sini nampaknya pihak Kerajaan Negeri terlalu mengutamakan kepentingan korporat berbanding kepentingan pekerja.

24 tahun dahulu, pada 12 Mac 1995, 212 orang pekerja Ladang Padang Meha diberhentikan kerja tanpa pampasan apabila bekas majikan mereka The East Asiatic Co (M), menjual ladang tersebut kepada MBf Country Homes & Resort Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai Alamanda Development Sdn Bhd), sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh MBf Holdings. Oleh sebab MBf dan Alamanda tidak memenuhi janji untuk membina rumah alternatif untuk pekerja-pekerja dan membayar mereka faedah persaraan, 207 orang bekas pekerja telah menyaman pihak syarikat di mahkamah pada tahun 2004 untuk menuntut pampasan dan skim perumahan. Banyak tindakan mahkamah susulan selepas itu.

Walaupun MBf dan Vintage Developers Sdn Bhd menjana keuntungan besar daripada penjualan tanah Ladang Padang Meha, bekas pekerja yang membanting tulang di ladang itu telah dinafikan hak yang sepatutnya dimiliki mereka. Terdapat banyak cara untuk menyelesaikan isu yang bukan sangat rumit ini. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri boleh memperuntukan satu bahagian kecil tanah dan membina rumah alternatif untuk pekerja-pekerja ladang. Selain itu, terdapat janji yang dibuat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran tentang bagaimana menangani isu perumaan yang dihadapi oleh masyarakat ladang. Sebelum semua ini dapat dilakukan, perkara yang paling mudah untuk dilakukan adalah memulihkan bekalan air yang berada di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

Sekarang sudahpun hampir sebulan sejak air dipotong. Bolehkah Kerajaan Pakatan Harapan Kedah menunjukkan sedikit kesungguhan politik dan berdiri bersama bekas pekerja ladang untuk menyelesaikan isu yang kritikal ini? Hari Deepavali, perayaan cahaya, sudah dekat dan cara Menteri Besar menangani isu ini akan membawa kepada bekas pekerja ini suasana sambutan Deepavali yang suram.

20191023 - pdg meha.jpg

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s