20190925 - 71776982_2403158173234109_2540542721169293312_n
Penyerahan memorandum oleh Orang Asli Jalong Tinggi dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Kerajaan Negeri Perak dengan seruan kepada Menteri Besar Perak pada 24 September 2019 untuk menghentikan pembalakan Jalong Tinggi dan mengadakan rundingan dengan masyarakat Orang Asli tempatan.

Masyarakat Orang Asli yang tinggal di 10 buah kampung di kawasan Jalong Tinggi, Perak, sedang menghadapi ancaman daripada projek pembalakan yang telah dilancarkan di kawasan berdekatan Kampung Lawai sejak dua bulan yang lalu. Sebuah syarikat sedang menggunakan jentolak untuk menebang habis pokok-pokok hutan di tapak yang sangat dekat dengan Kampung Lawai.

Masyarakat Orang Asli di situ telah difahamkan bahawa satu kawasan seluas 1600 ekar terlibat dalam projek pembalakan ini.  Projek ini melibatkan tanah adat masyarakat Orang Asli di kawasan Jalong Tinggi, di mana kebun-kebun yang diusahakan mereka terletak dalamnya. Hutan yang sedang ditebang ini merupakan kawasan rayau untuk Orang Asli tempatan di mana mereka cari makanan dan juga bahan-bahan untuk dijual di bandar. Punca pendapatan masyarakat Orang Asli situ sedang dimusnahkan oleh projek pembalakan ini.

Projek ini juga sedang mencemari sungai di mana Orang Asli tempatan bergantung untuk bekalan air. Sebelum ini, air sungai jernih dan bersih, tetapi sekarang air menjadi keruh dan berlumpur. Sungai ini juga menjadi punca penangkapan ikan yang merupakan sumber makanan penting untuk masyarakat Orang Asli tempatan. Jika air sungai terus dicemari, sudah pasti bekalan ikan untuk masyarakat Orang Asli setempat akan terjejas. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penduduk Jalong Tinggi pada 25 September 2019, masyarakat Orang Asli Jalong Tinggi menyatakan kekhuatiran mereka tentang bencana banjir seperti yang berlaku di Kuala Dipang boleh terjadi di situ juga. “Selepas projek menebang hutan bermula, kayu-kayu balak telah dihanyut oleh air sungai sampai ke Kampung Landap, Kampung Asap dan Kampung Kenang yang terletak 2 batu ke arah hilir sungai. Kami khuatir kayu balak dan sisa lain boleh mewujudkan satu ‘empangan’ sementara yang boleh pecah dan menyebabkan malapetaka pada masa depan,” begitu katanya Jawatankuasa Penduduk Jalong Tinggi dalam kenyataan tersebut.

“Perkara yang amat pelik dan mengecewakan kami adalah, kami sebagai masyarakat tempatan yang menghadapi kesan-kesan negatif akibat projek pembangunan ini tidak dijemput untuk memberi maklumbalas kami terhadap projek ini sebelum ianya diluluskan. Yang lebih pelik lagi, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tempatan pun tidak tahu mengenai projek ini. Apabila kami bertanya JAKOA Kuala Kangsar, mereka pun tidak tahu apa yang sedang berlaku.”

Jawatankuasa Penduduk Jalong Tinggi menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Perak pada 24 September 2019.

Jawatankuasa Penduduk Jalong Tinggi mengemukakan soalan berikut untuk dijawab oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu:

  • Adakah benar kawasan seluas 1600 ekar di Jalong Tinggi akan dibangunkan sebagai ladang?
  • Apakah jenis ladang yang dicadangkan?
  • Siapakah pihak yang menjalankan projek ini?
  • Apakah langkah yang akan diambil untuk memastikan air sungai tidak dicemari?
  • Apakah langkah yang sedang diambil untuk memastikan malapetaka seperti yang pernah berlaku di Kuala Dipang tidak akan berlaku di Jalong Tinggi?
  • Bagaimana pula dengan kerugian ekonomi komuniti Orang Asli? Kawasan rayau masyarakat Orang sedang dibalak, kebun dan dusun sedang dimusnahkan, bekalan ikan sungai terjejas.
  • Adakah terdapat cadangan untuk berkongsi keuntungan projek ini, dengan masyarakat Orang Asli yang menjadi mangsa akibat projek ini?

Masyarakat Orang Asli kawasan Jalong Tinggi menggesa Menteri Besar Perak untuk mencampurtangan dan menghentikan pembalakan hutan di kawasan mereka sehingga isu-isu yang disenaraikan oleh mereka diselesaikan melalui proses perundingan yang sewajarnya.

20190925 - 71032155_2401173696765890_4481231137045217280_n
Wakil masyarakat Orang Asli membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Sungai Siput pada 22 September 2019, berkenaan dengan aktiviti pembalakan yang memusnahkan hutan di kawasan sekitar Kampung Lawai.

One thought on “Hentikan projek pembalakan di Jalong Tinggi! – Bincang dengan masyarakat Orang Asli tempatan dulu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *