20190926 - nelayan01a.jpgoleh M. Sharan Raj

Pengumuman projek penambakan di pelabuhan Kuala Sanglang, Perlis yang akan menghapuskan kawasan tangkapan ikan sangat mengecewakan. Nampaknya, kerajaan negeri Perlis pimpinan Barisan Nasional sedang ikut jejak kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan yang mementingkan projek tambakan untuk dan mengabaikan nelayan.

Projek Pelabuhan Kuala Sanglang akan menambak sehingga 4 km dari pesisiran pantai. Rentetan itu, kawasan penangkapan nelayan dijangka berkurang sebanyak 80%. Hampir 5,000 nelayan akan dihumban ke kancah kemiskinan kerana kekurangan hasil laut. Kehilangan mata pencarian nelayan juga akan memudaratkan ekonomi luar bandar.

Industri perikanan Perlis juga sangat penting kepada rakyat Malaysia. Persisiran pantai Perlis merupakan antara kawasan penangkapan makanan laut termasuk ketam, udang, siput laut dan kerang. Kemusnahan kawasan tangkapan nelayan akan meningkatkan import makanan laut ke Malaysia.

Laporan Kajian Pasaran Sektor Makanan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mendedahkan bahawa kebergantungan negara kepada import merupakan antara faktor kenaikan harga makanan. Peningkatan import makanan khususnya makanan laut akan meningkatkan pengaliran keluar mata wang ringgit dan menjejaskan ekonomi. Maka, risiko kenaikan harga makanan terhadap rakyat Malaysia sangat tinggi.

Perlis dengan populasi yang rendah juga tidak menghadapi masalah kekurangan tanah untuk pembangunan. Berdasarkan pengalaman negeri Melaka, harga tanah tambakan selalunya di luar kemampuan golongan nelayan dan penduduk luar bandar. Sebarang hartanah di tanah tambakan hanya boleh dimiliki syarikat besar serta golongan maha kaya. Secara rasionalnya, tiada fakta yang kukuh untuk Perlis meluaskan tanahnya melalui tambakan.

Restoran makanan laut di persisiran Kuala Sanglang menjadi tarikan kerana menghadap laut. Projek penambakan akan menghapuskan tarikan tersebut dan pengusaha restoran Kuala Sanglang tidak akan mampu membeli tanah tambakan. Kejatuhan industri makanan laut Kuala Sanglang akan mewujudkan pengangguran dalam kalangan anak muda di Kuala Sanglang.

Projek Pelabuhan Kuala Sanglang di Perlis akan menghapuskan kawasan pembiakan marin yang akan mengurangkan hasil laut negara serta memiskinkan nelayan. Kerajaan negeri Perlis seharusnya memberi fokus kepada pembangunan pro-rakyat dan memperkukuhkan industri perikanan.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan negeri Perlis pimpinan Barisan Nasional untuk menghentikan pemusnahan kawasan tangkapan nelayan Kuala Sanglang demi kepentingan rakyat Malaysia.

==========

M. Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap penyelaran Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *