20190726 - boris 03.jpg

Populisme Kanan sudah menjadi satu trend politik yang sedang melanda negara-negara di seluruh dunia dalam satu dekad yang lalu. Ia menjadi ancaman kepada ruang demokrasi dan penghalang kepada usaha pembebasan masyarakat.

Keputusan referendum Brexit di UK dan kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya Presiden AS pada tahun 2016 menandakan bahawa “kebangkitan” populis kanan itu sesuatu yang nyata dan tidak boleh lagi dielakkan di Eropah dan Amerika Syarikat. Kemenangan Jair Bolsorano dalam pilihanraya presiden di Brazil pada tahun 2018 pula melambangkan benua Amerika Latin yang mengalami gelombang pembaharuan berhaluan kiri yang digelar “Gelombang Merah Jambu”(pink tide)  pada satu dekad dahulu telah diterbalikkan oleh revolusi balas berhaluan kanan sekarang ini.

Apa itu Populisme Kanan?

Populisme ialah politik yang mempergunakan retorik yang biasanya mengandungi unsur-unsur seperti sentimen anti-elitis, melawan “Golongan Berkuasa” (dikenali sebagai anti-Establishment) dan kononnya memperjuangkan kepentingan rakyat biasa. Politik populis boleh berkecenderungan ke haluan kiri atau kanan, bergantung pada kepentingaan kelas sosial mana sebenarnya hendak dipertahankan oleh kuasa politik yang menggunakannya.

Populisme Kanan ialah ideologi populis yang bergabung dengan fahaman berhaluan kanan. Populisme Kanan biasanya mengandungi unsur-unsur pemikiran seperti berikut (berbeza mengikut keadaan, masa dan tempat):

  • Sentimen nasionalis yang sempit;
  • Patriotisme yang membuta-tuli;
  • Rasisme atau politik perkauman;
  • Xenofobia (perasaan takut atau benci pada pendatang asing);
  • Homofobia (perasaan takut atau benci pada golongan LGBTQ);
  • Islamofobia (perasaan takut atau benci pada mereka yang beragama Islam) atau sikap bermusuhan terhadap agama lain (khususnya agama golongan minoriti);
  • Anti-feminis, misogynist (benci atau prejudis yang mendalam terhadap wanita), patriarki;
  • Anti-komunis;
  • Mendukung dasar sosial-budaya yang konservatif;
  • Pentingkan “nilai kekeluargaan” (family values) tradisional;
  • Berkaitan dengan fahaman Neo-Nazi dan Fasis;
  • Perasaan nostalgia terhadap pemerintahan autokratik atau diktator atau “Pemimpin Hebat” sebelum ini;
  • Mengagung-agungkan “pemimpin hebat” (cult of personality) yang biasanya berkarisma tersendiri.
Boris-Johnson-1.jpg
Boris Johnson, Perdana Menteri UK

Contoh-contoh ahli politik atau kumpulan politik yang mengamalkan Populisme Kanan pada masa kini:

  • Amerika Syarikat (AS) – Donald Trump, Presiden AS sejak bulan Januari 2017, seorang ahli perniagaan kaya yang selalu membuat kenyataan bersifat kontroversi; Tea Party Movement, sebuah gerakan konservatif fiskal di kalangan ahli Parti Republikan yang dilancarkan sejak tahun 2009, dan memberi sokongan kepada Trump.
  • Brazil – Jair Bolsorano, Presiden Brazil daripada Partido Social Liberal yang konservatif, berkuasa sejak 1 Januari 2019.
  • Jerman – AfD yang berfahaman xenofobik, islamofobik dan berkait dengan gerakan Neo-Nazi, merupakan parti ketiga besar dalam Parlimen Jerman sekarang ini.
  • Perancis – Rassemblement National, sebelum ini dikenali Front National, dipimpin oleh Marine Le Pen yang merupakan calon pilihanraya Presiden yang memasuki pengundian pusingan kedua pada tahun 2017.
  • Hungary – Viktor Orbán, Perdana Menteri daripada parti Fidesz yang berkuasa sejak tahun 2010, cuba menonjolkan dirinya sebagai “pelindung” kepada Hungary dan Eropah Kristian daripada apa yang didakwanya sebagai “ancaman pencerobohan pendatang Muslim yang jahat”.
  • Belgium – Vlaams Belang, parti nasionalis Flemish yang anti-imigrasi dan memperjuangkan pemisahan wilayah Flanders dari Belgium.
  • Itali – Matteo Salvini, Timbalan Perdana Menteri sejak 1 Jun 2018, merupakan pemimpin parti Lega yang anti-imigran dan menentang penghijrahan penduduk Itali Selatan ke Itali Utara.
  • Belanda – PVV pimpinan Geert Wilders menjadi parti kedua besar dalam Parlimen Belanda pada tahun 2017.
  • Poland – Parti “Undang-undang dan Keadilan” (PiS) yang berideologi politik konservatif berkuasa sejak tahun 2015.
  • UK – Parti Brexit yang dipimpin oleh bekas pemimpin UKIP Nigel Farage, memperoleh 30.52% undi dalam Pilihanraya Parlimen Eropah di UK pada tahun 2019; Boris Johnson, pemimpin Parti Konservatif yang berpegang pada “One-nation conservatism”, dipilih oleh ahli-ahli Parti Konservatif dan dilantik menjadi Perdana Menteri baru-baru ini.
  • Israel – Benjamin Netanyahu daripada parti berhaluan kanan Likud menjadi Perdana Menteri sejak tahun 2009.
  • India – Parti Bharatiya Janata (BJP) yang dipimpin Narendra Modi berkuasa sejak tahun 2014, mengamalkan nasionalisme Hindu dan anti-Muslim.
  • Jepun – Shinzō Abe, Perdana Menteri daripada Liberal Democratic Party yang berkuasa sejak tahun 2012.
  • Rusia – Vladimir Putin, pemimpin yang paling berkuasa di Rusia sejak tahun 2000.
  • Filipina – Rodrigo Duterte yang dipilih sebagai Presiden sejak tahun 2016, melancarkan serangan termasuk pembunuhan di luar undang-undang terhadap pengguna dadah.
  • Indonesia – Prabowo Subianto, bekas pemimpin tentera ketika zaman Suharto yang menjadi pesaing utama dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2014 dan 2019.

Populisme Kanan mengambil bentuk yang berbeza-beza di negara yang berlainan bergantung pada faktor khusus dalam sesebuah negara, seperti sejarah politik, sistem politik dan budaya masyarakat di situ, tetapi mempunyai persamaan dalam beberapa aspek. Kebanyakan kuasa populis kanan di Eropah mengambil pendirian politik yang anti-imigran, islamofobia, Euroskeptik (mengkritik terhadap Kesatuan Eropah dari posisi nasionalis sempit) dan mempertahankan Eropah daripada “ancaman kepelbagaian budaya”.

Bahaya Populisme Kanan

Populisme Kanan yang menular beberapa tahun kebelakangan ini telah mewujudkan ancaman hebat kepada masyarakat antarabangsa dan di negara-negara yang dikuasai golongan populis kanan, antaranya:

  • Polarisasi kaum atau lokal-migran akibat penanaman kebencian terhadap sesuatu kumpulan masyarakat, dan peningkatan dalam ketidaktoleransi dalam masyarakat;
  • Pengurangan ruang demokrasi dan pemerintahan yang semakin menjurus kepada bentuk autotarian;
  • Pembentukan dasar “Negara Kebajikan” untuk golongan tertentu sahaja tetapi masyarakat bawahan yang lain dipinggirkan. Ini menyebabkan ketidakadilan sosial semakin serius dan mendatangkan konflik sosial yang semakin meruncing;
  • Pembodohan pemikiran rakyat melalui penyebaran propaganda yang menyemai kebencian, teori konspirasi dan sebagainya;
  • Keganasan oleh pengganas pelampau kanan (seperti pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, New Zealand);
  • Ketegangan hubungan antarabangsa;
  • Ancaman peperangan atau konflik serantau yang berterusan.

Faktor perkembangan Populisme Kanan

Kebangkitan kuasa populis kanan di peringkat global yang terbaru ini berkait rapat dengan faktor berikut:

  • Krisis ekonomi sedunia khususnya Krisis Ekonomi 2008

Keruntuhan pasaran hartanah di AS mencetuskan Krisis Gadai Janji Subprima AS dan seterusnya Krisis Kewangan Sedunia pada tahun 2008. Kerajaan-kerajaan di banyak negara Barat (AS dan Kesatuan Eropah) menyelamatkan keuntungan bank besar dengan wang rakyat. Kerajaan di Dunia Barat khususnya, telah melaksanakan dasar “penjimatan” (austerity) untuk mengurangkan perbelanjaan sosial dengan alasan kekurangan kewangan awam selepas menyelamatkan bank. Dasar penjimatan telah menjejaskan kehidupan rakyat biasa dengan teruknya dan menyediakan tapak membiak untuk fahaman sempit (seperti perkauman dan xenofobia).

  • Kemerosotan kekuasaan imperialis barat khususnya AS dan kemunculan dunia multi-polar

Kekuasaan imperialis AS semakin merosot berikutan perang yang berlarutan di Iraq dan Afghanistan, di samping impak krisis ekonomi 2008. Perkembangan ekonomi yang pesat di negara-negara kuasa serantau khususnya BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) turut menonjolkan kelemahan kuasa ekonomi AS. Kegusaran kelas kapitalis di negara Barat mendorong perkembangan fahaman pelampau kanan di negara berkenaan.

  • Konflik bersenjata dan krisis pelarian

Selepas tercetusnya “Arab Spring 2011”, campurtangan kuasa imperialis di negara Timur Tengah dan Afrika Utara, seperti Libya dan Syria, bukan sahaja mengeruhkan situasi, malah membawa peperangan yang berterusan (perang proksi) sehingga mewujudkan “krisis pelarian”, gelombang penghijrahan pelarian dari kawasan konflik ke negara Eropah. Kemasukan pelarian dari rantau Timur Tengah ke Eropah, dipergunakan oleh golongan populis kanan dan pelampau kanan untuk menyebarkan perasaan ketakutan bahawa kedatangan pelarian akan merampas perlindungan kebajikan untuk rakyat tempatan, mengundang pelbagai masalah sosial, dan mencemari budaya mereka.

  • Krisis dalam “sistem demokrasi”

Krisis ekonomi yang melanda negara-negara Eropah dalam satu dekad yang lepas, telah menimbulkan juga krisis pemerintahan kepada kerajaan yang dikuasai oleh parti politik tradisional (sama ada parti berhaluan kanan-tengah dan kiri-tengah). Kerajaan yang dikuasai parti tradisional telah melaksanakan/meneruskan dasar ekonomi neoliberal dan menggunakan dasar penjimatan (austerity) atau pemotongan perbelanjaan sosial untuk menyelamatkan sistem kapitalis. Semakin ramai orang kecewa terhadap sistem politik yang tidak membawa dasar yang berbeza, dan parti populis kanan mempergunakan kekecewaan rakyat ini untuk menyebarkan politik kebencian dan memperluaskan pengaruhnya. Parti populis kanan atau pelampau kanan semakin menang banyak kerusi dalam dewan perundangan ataupun membentuk kerajaan, menimbulkan cabaran hebat kepada sistem demokrasi perwakilan borjuasi. Sistem demokrasi perwakilan borjuasi bukan sahaja gagal melindungi hak rakyat biasa, malah ia tidak lagi dapat menjamin kestabilan politik untuk sistem sosio-ekonomi kapitalis.

  • Kegagalan golongan “progresif” dalam politik arus perdana

Golongan yang menggelar diri mereka “progresif” dalam politik aliran utama, khususnya golongan demokrat sosial dan liberal yang sudah dijinakkan oleh fahaman eknomi neoliberal atau fundamentalis pasaran (iaitu fahaman mengagung-agungkan pasaran besar sebagai penyelesaian kepada masalah ekonomi), telah gagal melindungi kehidupan rakyat biasa, sebaliknya dasar pro-pasaran yang diamalkan mereka telah mewujudkan ketidakjaminan sosial dan kemerosotan dalam kualiti hidup untuk rakyat bawahan. Ini telah menimbulkan kekecewaan terhadap mereka yang pernah seketika menjanjikan pembaharuan tetapi tidak membawa perubahan sebenar apabila menjadi “golongan berkuasa” (establishment). Maka rakyat daripada kelas menengah sehingga bawahan akan tertarik kepada politik pelampau kanan yang menyerang kegagalan golongan “progresif” dalam establishmen, dengan analisis berasaskan kanta mata politik perkauman, agama dan nasionalis sempit.

  • Kelemahan dalam golongan kiri untuk merespon kepada krisis

Ketiadaan atau kekurangan alternatif yang menawan hati majoriti rakyat daripada politik berhaluan kiri, juga memberi ruang kepada perluasan pengaruh politik populis kanan.

Gerakan politik kiri tidak dapat memberikan respon yang baik kepada krisis kapitalis atas beberapa kekurangan/kelemahan/halangan, antaranya:

  • Gerakan pekerja atau gerakan kesatuan sekerja di negara maju yang dilemahkan sejak tahun 1980-an, akibat daripada penyahindustrian (deindustrialization) yang melibatkan penghijrahan modal dari negara maju ke negara sedang membangun dan pengurangan jumlah pekerja perindustrian kerana pemberhentian pekerja apabila perindustrian ditutup, di samping langkah-langkah anti-kesatuan yang diperkenalkan oleh kerajaan yang bersifat neo-liberal.
  • Reputasi dan kredibiliti kiri terjejas di banyak negara (khususnya negara yang pernah diperintah parti komunis, seperti di Eropah Timur) akibat daripada trauma/masalah yang wujud dalam pemerintahan parti komunis (stalinis) semasa Perang Dingin dan kejatuhan kerajaan parti komunis di banyak negara pada penghujung abad ke-21.
  • Sikap bermusuhan yang diambil oleh golongan kelas pemerintah dan tindakan sabotaj untuk menjatuhkan reputasi mana-mana kerajaan yang mengambil pendekatan kiri, misalnya: Kerajaan Syriza di Greece yang dipaksa untuk memungkiri janji asalnya dan tunduk kepada kekuasaan Bank Pusat Eropah dan IMF; sekatan ekonomi dan cubaan rampasan kuasa di Venezuela untuk menghancurkan proses Revolusi Bolivar.
  • Pengaruh hegemoni kapitalis neo-liberal yang kuat dalam ruangan media arus perdana, media sosial dan sebagainya.

20190726 boris 02

Ciri-ciri umum Populis Kanan hari ini

Walaupun kuasa Populis Kanan hari ini mempunyai perbezaan mengikut negara, tetapi adanya ciri-ciri umum:

  • Berkuasa melalui cara memenangi undid an kerusi dalam pilihanraya, ataupun mempunyai sokongan elektoral yang kuat walaupun tidak memegang kuasa pemerintahan;
  • Anti-imigran;
  • Penekanan pada identiti nasional;
  • Mengangkat panji “anti-korupsi”;
  • Penekanan pada mewujudkan “order” ataupun susunan yang teratur dalam masyarakat (“keamanan” yang dikekalkan melalui cara ugutan atau paksaan);
  • Mempergunakan ruang demokrasi yang sedia ada untuk mempropagandakan fahaman anti-demokratik dan pelampau;
  • Muncul atau bangkit daripada krisis ekonomi neoliberal, mengkritik sistem neoliberal, tetapi masih mengamalkan dasar ekonomi neoliberal (kurangkan cukai terhadap golongan kaya dan sebagainya) selepas berkuasa (dalam bentuk melindungi sesetengah puak dalam kelas kapitalis);
  • “Penjenamaan semula” (rebranding) daripada pelampau kanan kepada “kuasa baru” yang mewakili pengundi berpendirian politik haluan kanan yang lebih meluas.
  • Mewujudkan satu “musuh” bayangan, sama ada ancaman luar (seperti “Kebangkitan Negara China”) ataupun kumpulan masyarakat minoriti yang tidak berkuasa (seperti migran, LGBTQ dan sebagainya).

Populis Kanan membawa dasar “Negara Kebajikan untuk golongan tertentu”, iaitu sistem kebajikan negara hanya untuk “penduduk asal” (sebenarnya kelas kapitalis nasional) dan golongan “pendatang” tiada hak untuk menikmatinya.

Sentimen kebencian oleh puak Populis Kanan di Dunia Barat terhadap imigran luar (khususnya komuniti migran beragama Islam) yang sehingga mencetuskan keganasan terhadap kumpulan migran dan minoriti, sebenarnya memberikan peluru kepada perkembangan politik pelampau kanan yang mempergunakan nama Islam di negara yang majoritinya Muslim.

Populisme Kanan sebagai reaksi kepada krisis kapitalis

Populisme Kanan yang muncul (semula) apabila kapitalisme global menghadapi krisis sistemik yang mendalam, bukannya untuk menggantikan sistem kapitalis dengan model sosio-ekonomi baru yang bersifat pembebasan untuk rakyat, sebaliknya membawa idea reaksioner untuk menyusun semula modal dalam struktur sosio-ekonomi yang masih bersifat kapitalis dengan cara yang lebih kuku besi (termasuk menghancurkan gerakan kiri yang bersifat pembebasan dan menyekat ruang demokratik secara lanjutnya).

gettyimages-632408944.jpg
Donald Trump (kiri) bersama dengan Steve Bannon (kanan)

Steve Bannon, CEO untuk kempen pilihanraya Donald Trump pada tahun 2016 dan pernah menyandang jawatan Ketua Strategi White House untuk seketika selepas Trump menjadi Presiden, bercadang dan memainkan peranan untuk membina jaringan populis kanan di peringkat global ketika ini. Bannon telah menyokong banyak gerakan politik konservatif populis nasionalis di seluruh dunia, termasuk Front National di Perancis, Fidesz di Hungary, Lega dan Five Star Movement di Itali, AfD di Jerman, Sweden Democrats, PVV di Belanda, UKIP di Britain, Vlaams Belang di Belgium, Vox di Sepanyol dan sebagainya. Bannon juga menjadi penasihat kepada kempen pilihanraya Bolsonaro untuk Presiden Brazil. Bannon sedang merancang untuk membuka sebuah akademi untuk melatih pemimpin nasionalis pelampau kanan. Amat jelas sekali, gerakan Populis Kanan sedang membentuk satu jaringan dan kerjasama di peringkat antarabangsa untuk melanjutkan agenda mereka yang bertujuan untuk menyelamatkan kelas pemerintah kapitalis dalam era krisis kapitalis global yang berterusan.

“Satu jaringan puak berhaluan kanan sedang bekerjasama merentasi sempadan untuk menghakis hak asasi manusia, mendiamkan suara bantahan, dan menggalakkan sikap tidak bertoleransi… Untuk mengalahkan Internasional Nasionalis ini, kita tidak boleh semata-mata kembali kepada status quo yang telah gagal. Globalisasi yang tidak terkawal menjanjikan keamanan dan kemakmuran. Namun, sebaliknya ia mendatangkan krisis kewangan, perang yang tidak patut berlaku, dan perubahan iklim yang membawa bencana.” – Open Call daripada Progressive International

Alternatif Kiri untuk menyekat kemaraan Populisme Kanan

Krisis kapitalis membolehkan politik populis kanan mendapat tapak untuk membiak. Satu-satu cara untuk menyekat kemaraan populis kanan adalah membina alternatif kiri yang bersifat pembebasan dan mampu mengubah keadaan melalui mobilisasi massa dari bawah.

Antara kuasa kiri yang menunjukkan kemampuan mencabar Populisme Kanan sekarang ini:

  • Amerika Syarikat – Gerakan kiri dan Sosialis Demokratik yang berkembang di sekeliling kempen politik Bernie Sanders;
  • UK – Jeremy Corbyn, pemimpin Parti Buruh yang membawa gagasan alternatif yang berlainan untuk Britain, tetapi sentiasa diserang oleh kuasa politik aliran utama termasuk ahli politik berhaluan tengah dan kanan dalam Parti Buruh;
  • Sepanyol – Podemos, parti yang ditubuhkan berikutan kebangkitan rakyat dalam Gerakan Indignados yang menentang dasar penjimatan (austerity);
  • Venezuela – Revolusi Bolivar sejak tahun 1999, tetapi sedang menghadapi ancaman berterusan daripada puak berhaluan kanan yang disokong kuasa imperialis AS.

Populisme Kanan cuba menawarkan dirinya sebagai “alternatif” yang bersifat anti-solidariti dan pembodohan untuk menyelamatkan rakyat (baca: golongan tertentu) daripada krisis kapitalis; kuasa kiri yang radikal pula merupakan alternatif yang bersifat solidariti dan pembebasan kepada sistem yang sedia ada.

Cabaran untuk golongan kiri dan sosialis dalam menangani ancaman Populisme Kanan merangkumi aspek-aspek berikut:

  • Persaingan untuk hegemoni ideologi (Hujah balas terhadap retorik populis kanan, penyampaian mesej melalui cara yang kreatif, aktiviti kebudayaan dan sebagainya) dalam ruangan pendapat umum dan media sosial dengan strategi komunikasi yang lebih efektif;
  • Memobilisasi rakyat secara inklusif dalam gerakaan massa baru yang memperjuangkan isu harian rakyat masa kini (jaminan kerja, perumahan, kesihatan, perlindungan kebajikan sosial dan sebagainya) dan untuk visi masyarakat yang bersifat pembebasan (self-emancipation) serta solidariti;
  • Penggabungan kuasa kiri dan progresif seluas mungkin dalam gagasan politik kiri yang baru.

==========

Tulisan ini ialah kertas yang dibentangkan oleh Choo Chon Kai pada 14 Julai 2019 dalam Kongres Nasional PSM ke-21. 

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ketua Editor Sosialis.net.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s