20190803 - mysalam259259.jpgoleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Kepada Tun Dr. Mahathir,

Lebih kurang tiga minggu yang lalu, seorang pemandu lori berumur 48 tahun dengan penyakit kanser usus besar peringkat 4 datang berjumpa dengan saya kerana dia mengalami masalah kewangan. Dia merupakan satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya dan kewangan keluarganya berada dalam keadaan mencemaskan sejak diagnosisnya lebih kurang 2 bulan lalu. Oleh sebab dia ialah penerima Bantuan Sara Hidup (BR1M sebelum ini) pada tahun 2018, saya telah memuat turun borang permohonan untuk skim MySalam dan mengisi borang untuknya (di mana saya membuat diagnosis klinikal tentang kanser usus besar sebelum merujuknya ke Hospital Besar Ipoh. Memohon kepada Hospital Besar untuk mengisi borang akan mengambil masa 6 hingga 8 minggu lagi). Balasan daripada MySalam melalui mesej melalui aplikasi WhatsApp kepadanya selepas seminggu adalah – “dukacita dimaklumkan bahawa tuntutan penyakit kritikal anda telah ditolak disebabkan: Kemasukan hospital bukan kerajaan. Salah satu syarat tuntutan adalah penyakit mestilah didiagnosis di hospital kerajaan…

Tun, ini ialah DNA dalam syarikat insurans – menafikan liabilitinya terlebih dahulu dan cuba mematikan semangat orang. Ini mungkin salah satu sebab kenapa hanya lebih RM 1 juta telah dibayar di bawah skim MySalam setakat 22 Julai 2019 – merangkumi 108 tuntutan yang diluluskan untuk penyakit kritikal (RM 864,000) dan 941 tuntutan yang diluluskan untuk kemasukan hospital (RM50 sehari untuk maksimum 14 hari). Angka ini didapati daripada Kementerian Kewangan.

Tun, kita membayar sebanyak RM 400 juta setahun kepada syarikat insurans Great Eastern untuk melindungi rakyat B40. Nampaknya Great Eastern hanya akan membayar kurang daripada RM 3 juta untuk tahun ini! Jelasnya sekali bahawa rakyat tidak akan menikmati nilai wang kita yang sepatutnya.

Inilah sebabnya kenapa Parti Sosialis Malaysia (PSM) menulis kepada Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan pada bulan November 2018 dan sekali lagi pada bulan Januari 2019 untuk menggesa beliau supaya berunding dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain, membuat kajiak akturial yang sebetulnya dan mempertimbangkan alternatif lain seperti menggunakan bayaran RM 2 bilion daripada Great Eastern untuk membiayai pembayaran tambahan yang diperlukan bagi pesakit yang mendapat rawatan di hospital kerajaan. Namun, Lim Guan Eng tidak berbincang dengan kami atas kebijaksanaannya – malah langsung tidak mendapatkan salah seorang kakitangannya pun untuk bertemu dengan kami bagi mendengar pandangan kami. Selepas itu, kami menyerahkan satu memorandum yang disokong oleh 40 buah organisasi kepada pihak Tun selaku Perdana Menteri pada 20 Mac 2019, dengan mengulangi perkara yang sama.

Tun, pretasi MySalam untuk 6 bulan yang lalu menunjukkan bahawa penerima manfaat yang terbesar ialah Great Eastern itu sendiri dengan menerima bayaran sebanyak RM 400 juta untuk pelaksanaan insurans yang dikatakan melindungi rakyat B40, tetapi berkemungkinan hanya akan membayar lebih kurang RM 3 juta kepada rakyat Malaysia dalam tahun 2019.

Kami menggesa pada Tun supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk mengkaji semula skim MySalam dan jika perlu membatalkannya, dan menyalurkan RM 2 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk membantu pesakit-pesakit dalam menjelaskan bayaran tambahan yang diperlukan di hospital kerajaan. Mendapatkan pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kementerian Kesihatan dan kumpulan masyarakat sivil yang bekerja dalam isu berkaitan kesihatan adalah idea yang berguna juga.

Sekian, terima kasih.

20190219 - skim mysalam

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *