20190721 - OA3.jpg

Masyarakat Orang Asli suku Temiar di Kampung Sungai Papan, Gerik, Perak, telah mendirikan sekatan jalan (blockade) untuk menghalang pembalakan di kawasan tanah adat mereka, tetapi menghadapi gangguan yang berterusan daripada pihak berkuasa dan syarikat pembalak.

Pada 20 Julai 2019, pembalak telah merobohkan sekatan jalan yang didirikan Orang Asli dengan bantuan pihak polis. 3 orang daripada masyarakat Orang Asli di situ telah ditangkap kerana cuba menghalang tindakan perobohan sekatan jalan itu. Mereka yang ditahan telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Gerik, dan kemudiannya dibebaskan pada sebelah malam hari yang sama.

Penahanan Orang Asli Kampung Sungai Papan ini telah mendapat kecaman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy. Waythamoorthy telah menggesa pihak polis supaya bersimpati terhadap nasib Orang Asli dan tidak terlibat dalam kontroversi yang menampakkan mereka berpihak pada pembalak. Waythamoorthy juga menyeru pada semua pihak berkuasa negeri, termasuk Menteri Besar, supaya mengiktiraf tanah adat Orang Asli dan melindungi hak mereka.

Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Papan membina semula sekatan jalan yang dirobohkan. Namun, pembalak kembali lagi pada hari ini (21 Julai 2019) untuk cuba merobohkan sekatan jalan. Masyarakat Orang Asli masih bertahan dengan sekatan jalan untuk menghalang pembalak daripada memasuki kawasan tanah adat mereka.

20190721 - OA

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh pada hari ini (21 Julai 2019), terhadap tindakan polis yang menangkap Orang Asli di Gerik. PSM berpandangan bahawa polis Gerik tidak bersikap adil kerana tindakannya sedang menggancam masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Papan dan memihak kepada pembalak yang cuba menceroboh tanah adat Orang Asli.

“Pihak polis harus bersikap neutral dalam perkara ini dan menghormati hak Orang Asli untuk tanah adat mereka dan mengelak daripada memihak kepada tauke pembalak,” begitu katanya Pengerusi PSM Dr. Jeyakumar Devaraj semasa membuat aduan polis. PSM menggesa pihak polis supaya memberi perlindungan kepada komuniti Orang Asli Temiar Kampung Sungai Papan daripada ancaman pembalak dan menghentikan segala tindakan keras terhadap masyarakat Orang Asli.

Komuniti Orang Asli Kg Sg Papan hanya mempertahankan tanah adat mereka. Aktiviti pembalakan berkemungkinan besar akan mencemari air sungai dan memusnahkan ekonomi mereka. Kerisauan masyarakat Orang Asli harus ditangani secara yang baik melalui perundingan. Kerajaan perlu menjalankan kajian tentang impak pembalakan di kawasan itu terhadap situasi sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli di situ. Kerajaan harus mendengar keluhan dan pandangan masyarakat Orang Asli, bukannya mengintimidasi mereka dengan cara yang keras seperti penangkapan polis.

20190721 - OA2

One thought on “Orang Asli Kampung Sungai Papan pertahan tanah adat daripada ancaman pembalakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *