Setelah penungguan selama 14 tahun pelaksanaan cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), akhirnya Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC dibentangkan dalam Parlimen pada 18 Julai 2019.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen) Liew Vui Keong telah membentangkan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 di Dewan Rakyat dan pengundian untuk kelulusan RUU tersebut dijangka akan dilakukan dalam sidang parlimen pada bulan Oktober akan datang.
IPCMC yang bakal ditubuhkan akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan sejak tahun 2009. EAIC diperkenalkan semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, sebagai kompromi kerajaan untuk tidak menubuhkan IPCMC seperti yang dicadangkan dalam laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005. EAIC telah dikritik oleh ramai orang bahawa ia tidak berkesan dalam menangani salah laku pegawai penguatkuasaan kerana kekurangan kuasa menghukum mereka yang didapati bersalah, dan hanya dapat memberi cadangan kepada agensi penguatkuasaan yang lain.
Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia ditubuhkan pada tahun 2004, dengan tujuan memulihkan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kepercayaan rakyat terhadap PDRM yang semakin merosot pada masa itu. Suruhanjaya Diraja tersebut telah mengkaji tentang kelemahan-kelemahan dalam PDRM dan mengemukakan sebanyak 125 cadangan, merangkumi aspek organisasi, pengagihan sumber manusia, pembangunan sumber manusia, isu-isu hak asasi manusia, prosedur operasi, penambahbaikan secara am dan pemodenan perkhidmatan polis. Salah satu daripada 125 cadangan yang menjadi fokus tetapi tidak terlaksana kerana halangan daripada beberapa pihak, ialah cadangan untuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Dalam Buku Harapan, manifesto pilihanraya Pakatan Harapan dalam PRU-14, penubuhan IPCMC dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan tertulis dalam Janji 20 “Menjadikan Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Polis DiRaja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani”. Menurut janji tersebut, “Semua bentuk tuduhan salah laku akan disiasat secara adil dan menyeluruh, termasuklah tuduhan kematian dalam tahanan.” Janji ini akan ditunaikan apabila RUU IPCMC diluluskan di Parlimen.
Sebelum ini, cadangan untuk penubuhan IPCMC telah mendapat tentangan daripada beberapa pihak, khususnya kepimpinan tertinggi pasukan polis. Namun, Ketua Polis Negara sekarang ini, Abdul Hamid Bador, berbeza dengan penyandang jawatan tersebut sebelumnya, telah menyatakan sokongannya pada IPCMC, sekaligus mengalihkan salah satu rintangan besar untuk pelaksanaan IPCMC.
IPCMC yang dicadangkan sepatutnya mempunyai lebih banyak kuasa berbanding EAIC dalam mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana anggota polis yang didapati melakukan kesalahan, termasuk Ketua Polis Negara. Lembaga Tatatertib yang ditubuhkan di bawah IPCMC berkuasa menjalankan prosiding menangani salah laku yang dirujuk oleh Jawatankuasa Aduan dan menjalankan kuasa tatatertibnya untuk mengenakan hukuman terhadap mana-mana anggota polis yang didapati melakukan kesalahan tatatertib, dengan hukuman yang paling beratnya adalah buang kerja.
Jawatankuasa Aduan IPCMC perlu merujukkan dapatan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dapatan tersebut menzahirkan apa-apa kesalahan di bawah Bahagian IV Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; sementara dapatan dirujukkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan jika dapatan menzahirkan apa-apa kesalahan jenayah lain.
IPCMC yang telah ditunggu sekian lama akhirnya akan dilaksanakan dengan pembentangkan RUU dalam Parlimen. Namun, masih terdapat kelemahan dalam RUU yang dibentangkan. Salah satu kelemahan yang ketara adalah RUU IPCMC yang dibentangkan tidak mengambil berat tentang isu kematian dalam tahanan polis. Isu kematian polis hanya digolongkan dalam “Bahagian VIII: Pelbagai” dalam RUU IPCMC yang dicadangkan, dengan Seksyen 47 menyatakan: “Pasukan polis hendaklah merujuk kepada Suruhanjaya apa-apa insiden yang mengakibatkan cedera parah atau kematian mana-mana orang dalam tahanan atau jagaan pasukan polis”. Itu sahaja dalam RUU IPCMC, sedangkan kematian dalam tahanan polis merupakan salah satu isu yang penting dan telah mencemari imej polis selama ini. Daripada statistic yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan di Parlimen pada tahun 2017, seramai 257 orang mati dalam tahanan polis di antara tahun 2002 hingga 2016. RUU IPCMC sepatutnya memberi lebih penekanan kepada proses menyiasat dan mengambil tindakan terhadap anggota polis yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan polis, supaya membersihkan nama polis dan mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap polis dalam isu ini.
Selain itu, isu berkaitan dengan keganasan polis, khususnya dilakukan terhadap mereka yang ditahan reman atau semasa disoal siasat, serta penembakan oleh polis yang melibatkan kematian, juga perlu dinyatakan dengan jelas dalam RUU IPCMC.
Dengan IPCMC menggantikan EAIC dengan lebih kuasa untuk mengambil tindakan terhadap salah laku polis, timbul lagi persoalan bagaimana pula dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti SPRM, Jabatan Imigresen, Kastam Di-Raja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya, supaya turut dapat diletakkan dalam mekanisme penyemakan integriti yang serupa dan membendung salah laku di agensi-agensi penguatkuasaan tersebut. Cara yang lebih baik adalah Akta EAIC dikekalkan tetapi dipinda untuk memperluaskan bidang kuasanya, sementara mengeluarkan perkara berkaitan polis dan memasukkannya dalam Akta IPCMC.
Penubuhan sebuah badan bebas yang bertanggungjawab untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap salah laku polis, sememangnya adalah pembaharuan institusi yang penting, bukan sahaja memantapkan ruang demokrasi dalam negara kita, tetapi turut membina semula kewibawaan pasukan polis sebagai sebuah badan penjaga keamanan dan penguatkuasaan yang bersih, berintegriti dan mendapat kepercayaan rakyat jelata.
One thought on “Kembalikan kewibawaan dan integriti polis: RUU IPCMC akhirnya dibentangkan dalam Parlimen”