20190524 - sprDewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun. Selain itu, RUU yang diluluskan itu juga mengandungi cadangan untuk pendaftaran pengundi secara automatik untuk warganegara yang mencapai umur 18 tahun, dan warganegara yang berumur 18 tahun turut layak bertanding dalam pilihanraya.

Kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutan pada 17 Julai 2019 ini merupakan sesuatu yang bersejarah, kerana RUU yang dibentangkan mendapat sokongan daripada kedua-dua blok parti pemerintah dan pembangkang dalam Dewan Rakyat. Seramai 211 daripada 222 orang Ahli Parlimen telah menyokong RUU tersebut, dengan tiada undi membantah.

Dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur mengundi dan pendaftaran automatik sebagai pengundi, sudah pastinya kita akan menyaksikan peningkatan jumlah pengundi yang hebat dalam PRU-15 akan datang. Dijangkakan jumlah pengundi dalam PRU-15 akan mencecah 22 juta berbanding 14.9 juta pengundi dalam PRU-14 pada tahun 2018. Sudah pasti juga parti-parti politik aliran utama dalam negara kita akan berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan pengundi muda bagi menambahkan undi kepada mereka dalam pilihanraya. Persoalannya adalah adakah persaingan untuk mendapatkan sokongan elektoral ini dapat memantapkan demokrasi di negara kita atau akan merosakkan generasi muda kita dengan budaya politik yang masih mempermainkan sentimen perkauman dan penuh dengan ketamakan terhadap kuasa?

Penglibatan dalam proses demokrasi adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara. Mengundi dan menawarkan diri sebagai calon dalam pilihanraya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun adalah satu langkah yang positif untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai anak muda dalam proses politik yang mempengaruhi kehidupan dan masa depan mereka.

Kebanyakan negara di dunia pada hari ini telah menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minimum untuk layak mengundi. Malah, negara seperti Brazil, Kuba, Ecuador, Malta, Nicaragua dan Scotland menurunkan umur layak mengundi ke 16 tahun. Oleh itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi adalah bersesuaian dengan trend politik demokrasi di peringkat antarabangsa.

Namun demikian, dengan penurunan umur layak mengundi, pemantapan pendidikan sivik dalam kurikulum sekolah dan penggalakan penglibatan pelajar-pelajar untuk mengambil bahagian dalam perbincangan tentang dasar-dasar negara perlu dilakukan serentak juga. Kesedaran tentang amalan demokrasi, hak asasi manusia dan keterlibatan dalam proses politik perlu dipupuk sejak kecil lagi melalui pendidikan sivik yang bukan bersifat indoktrinasi tetapi lebih kepada membina pemikiran kritis di kalangan anak muda.

Penurunan umur layak mengundi dan pendaftaran pengundi secara automatik hanya sebahagian kecil daripada pembaharuan sistem pilihanraya secara menyeluruh di negara kita. Sistem pengundian dalam pilihanraya yang mempunyai pelbagai kelemahan perlu dirombak semula, dan isu pendanaan untuk parti politik juga perlu ditangani, supaya membentuk sistem demokrasi yang lebih sihat. Pendidikan pengundi dan pendidikan demokrasi perlu dilaksanakan secara meluas, bukan hanya memasukkan pendidikan demokrasi dalam sukatan pelajaran sekolah, tetapi juga perlu melibatkan masyarakat sivil dan lebih ruang kebebasan untuk berpolitik bagi golongan anak muda. Pilihanraya tempatan juga perlu dikembalikan semula demi menyempurnakan institusi demokrasi di negara kita.

Selain itu, kita juga perlu melipatgandakan usaha kita untuk melawan politik perkauman yang sedang merosakkan minda rakyat dan mengancam sistem demokrasi di negara kita.

Bacaan selanjut: Penurunan umur layak mengundi dan pendaftaran pengundi secara automatik turut terkandung dalam Cadangan PSM untuk pembaharuan sistem pilihanraya.

One thought on “Had umur pengundi diturunkan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *