Backdrop banner - long01.jpg

oleh S. Arutchelvan 

Kelmarin saya bersolidariti dengan ratusan nelayan dari Pulau Pinang yang membantah projek penambakan di Selatan Pulau itu. Semasa berada di hadapan Parlimen, saya berjumpa dengan seorang wartawan veteran. Beliau berkata bahawa hanya PSM sahajalah yang masih membawa ke depan isu-isu rakyat seperti isu harga perumahan, isu kesihatan awam dan suara-suara warga miskin di negara kita. Beliau juga berkata dalam tinjauannya, Pakatan Harapan (PH) terlalu banyak bincang isu-isu pertelingkahan dalaman daripada mentadbir untuk perubahan atau menangani isu rakyat di negara kita. Pada ketika itu, ada dua buah kereta yang sesat masuk ke dalam jalan menuju ke Parlimen. Pemandu kereta bertanya kepada polis di sana, di mana boleh U-turn, dan ia disambut oleh seorang yang berdemo, “Nak U-turn, tanya PH.”

PSM akan mengadakan Kongres PSM yang ke-21 pada hari ini. Dalam 21 tahun selama ini, terdapatnya sepuluh tahun PSM bergerak tanpa pendaftaran parti.

Pada hari pembukaan Kongres PSM, Dr. Nasir akan menyampaikan Ucapan Dasar buat kali terakhir sebagai Pengerusi Parti dan ini akan diikuti pula pada sesi malam di mana setiap cawangan, sayap dan fron PSM akan mengemukakan kritikan dalam sesi ulasan Ucapan Dasar Pengerusi.

Dalam Kongres kali ini, dua kertas utama akan dibentangkan. Salah satu ialah pembentangan Kertas Posisi Perubahan Iklim dan Langkah Menanganinya, yang akan menggariskan rangka tindak (blueprint) bagaimana PSM akan menangani isu yang merupakan antara isu terpenting didebatkan di seluruh dunia pada ketika ini. Di Malaysia sendiri, masalah yang melanda di Pasir Gudang, Kuala Koh, Lynas dan tanah runtuh di Pulau Pinang, semuanya adalah isu-isu alam sekitar yang semakin hari semakin menjadi. Maka, PSM mengambil satu pendirian untuk mendebatkan satu kertas dasar bagaimana PSM harus melihat persoalan ini dan apakah langkah-langkah dan kempen yang akan dilaksanakan.

Isu yang kedua pula juga amat penting, berkenaan dengan kemunculan kuasa populis kanan dalam konteks dunia dan Malaysia, di mana ia akan dibentangkan oleh Choo Chon Kai daripada PSM dan Zaid Kamaruddin daripada IKRAM. Hari ini dunia memperlihatkan satu lonjatan dalam isu-isu populis kanan yang dibawa oleh politikus seperti Trump, malah tidak kurangnya isu-isu sedemikian di Malaysia yang diterjemahkan sebagai isu perkauman dan agama. Seluruh dunia memperlihatkan trend sedemikian yang agak berbahaya kepada mereka yang mencintakan sebuah dunia yang lebih aman dan inklusif. Di Malaysia sendiri, ancaman ini begitu ketara kerana semua isu akan dibawa menuju ke arah itu, baik isu Seafield, isu kes hasutan Ustaz Wan Ji, ICERD dan lain-lain.

Oleh yang demikian, tema utama Kongres PSM “Perjuangan Progresif Malaysia Barumemberikan PSM satu amanat penting untuk dipikul. Jika sebelum ini keseluruhan tenaga adalah untuk menukar kerajaan yang sedia ada, maka projek itu sudah habis. PH sudah membentuk kerajaan baru dan sudah habis satu tahun memerintah. Dalam satu tahun ini, banyak perkara yang cuba dibawa oleh PH. Namun pada masa yang sama, mereka terpaksa berdepan dengan kombinasi kekuatan UMNO-PAS dan sememangnya masih menguasai sokongan di kalangan orang Melayu. Tindakan PH melayan sentimen ini menyebabkan mereka membuat banyak U-turn. Dalam masa yang sama, golongan Bukan Melayu pula merasakan PH semakin tidak menunaikan janji yang membawa PH menjadi Kerajaan. PH terpaksa kembali bermain dalam isu agama dan kaum, iaitu satu permainan yang terus mendominasi politik negara sejak sebelum merdeka lagi. Nampaknya tidak ada naratif lain yang dapat dibawa oleh PH. Sistem kapitalis neoliberal masih menjadi pegangan kuat oleh mereka yang mentadbir di Putrajaya.

Jadi, PSM melihat dirinya sebagai Pembangkang yang diperlukan oleh rakyat Malaysia. Ini adalah kerana PSM menyajikan politik berlandaskan keperluan rakyat majoriti dan membicara tentang isu-isu utama yang dihadapi rakyat Malaysia seperti pekerjaan, perumahan, kesihatan, alam sekitar, gender dan sebagainya. Politik yang dibawa oleh PSM adalah politik progresif, iaitu jauh berbeza daripada apa yang diberikan oleh PH mahupun BN. Politik PSM juga memperjuangkan pembebasan rakyat daripada politik kapitalis neoliberal yang menguntungkan segelintir kecil tetapi memangsakan majoriti besar.

Walaupun PSM gagal dalam arena pilihanraya, namun rakyat semakin sedar dan rindukan PSM kerana merasakan isu-isu yang pernah dibawa sebelum ini oleh Pembangkang dahulu sudah lesu dan diam apabila mereka menjadi kerajaan. Manakala pembangkang sekarang pula lebih memfokus kepada isu-isu perkauman dan agama. Maka, hanya adanya PSM sebagai parti politik alternatif dan pelbagai golongan masyarakat sivil untuk mengetengahkan isu-isu rakyat biasa dan perubahan institusi. Peranan PSM sebagai pembangkang yang berkualiti dan progresif adalah sesuatu yang amat diperlukan di negara kita.

Adalah harapan dalam Kongres ini bahawa PSM dapat membuat perubahan struktur dalaman untuk membina parti dari dalam dan menonjolkan dirinya sebagai alternatif progresif yang diperlukan oleh sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia 

Untuk Kongres PSM, pemerhati luar yang ingin melibatkan diri dalam debat kena berdaftar dengan Sekretariat PSM 016-4407422, namun hanya delegasi parti sahaja mempunyai kuasa mengundi. Kongres PSM akan diadakan dari 12 hingga 14 Julai dan akan berlangsung di Dewan Lavender, Plaza Metro Kajang.  

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Perjuangan Progresif di Malaysia Baru (Siri Menjelang Kongres PSM 2019 – 04)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *