oleh S. Arutchelvan

Nampaknya kekalahan PSM dalam semua kerusi semasa PRU-14 masih memberi kesan mendalam kepada parti sehingga banyak isu yang dibangkitkan dalam usul Kongres PSM tahun ini tertumpu kepada persoalan yang berkaitan dengan pilihanraya dan strategi PSM dalam PRU pada masa depan.

Satu perkara yang amat hangat diperkatakan oleh ahli-ahli PSM semasa Kongres atau sesi yang selalu paling mengambil masa, ialah sesi mendebatkan usul. Sesi ini diadakan pada sebelah petang hari kedua Kongres, iaitu 13 Julai 2019. Biasanya sesi ini akan berakhir melepasi jam 1pagi dan pernah sekali sesi ini berlanjutan sehingga 2.45 pagi hari keesokan.

Pada tahun ini, sebanyak 38 usul telah dibentangkan oleh cawangan-cawangan parti dan setelah proses penapisan, di mana usul-usul yang boleh disatukan itu digabungkan dan usul yang tidak menepati syarat ditolak, maka akhirnya sebanyak 18 usul akan didebatkan dalam Kongres tahun ini. Usul-usul ini meliputi 6 topik utama, iaitu Kempen Nasional, Polisi Parti, Struktur Parti, Pilihanraya, Penerbitan dan Kewangan.

Untuk mengendalikan usul-usul ini, satu pemilihan untuk Speaker akan diadakan pada hari pertama Kongres untuk mengundi Speaker dan Timbalan Speaker yang akan menguruskan proses perdebatan usul. Pada tahun ini, agak luarbiasa kerana seramai 13 nama dicalonkan untuk Speaker. Pada Kongres yang lalu, saudara Khairul Nizam (Aduka) telah dipilih sebagai Speaker dan beliau antara nama yang terus dicalonkan pada tahun ini.

Usul mengenai Pilihanraya

Tiga isu utama yang akan dibentangkan dalam Kongres kali ini mengenai isu Pilihanraya. Setelah PRU-14, Kongres PSM 2018 telahpun membuat beberapa perubahan dan penambahbaikan pada struktur parti untuk lebih bersedia menghadapi PRU-15. Namun demikian, isu berkaitan PRU-14 dan persembahan PSM yang mengecewakan dalam pilihanraya masih menjadi luka yang berkisaran dan terus menjadi isu perdebatan hangat semasa mesyuarat-mesyuarat parti.

Satu daripada usul yang agak kontroversi adalah meminta PSM supaya tidak bertanding dalam kerusi tradisi jika wujud pertandingan tiga penjuru dengan PH dan BN. Mungkin usul ini dibentangkan dengan anggapan bahawa parti ketiga yang tiada dalam mana-mana gabungan politik susah untuk menang dalam PRU. Namun, hasrat usul yang agak ganjil ini dirasakan akan menjadi bahan debat utama.

Satu lagi usul dari Cawangan Jelapang adalah meminta PSM menumpukan usaha untuk bertanding dalam kerusi DUN di dua buah negeri sahaja, iaitu di negeri Perak dan Selangor, dengan menumpukan segala kekuatan dan jentera parti di dua negeri tersebut. Usul tersebut juga meminta sedikit kelonggaran syarat dibuat supaya membolehkan calon yang bekerja di suatu kawasan DUN tetapi diberi peluang untuk bertanding di kawasan DUN yang lain. Usul ini lebih kepada menumpukan kekuatan parti di beberapa kawasan yang ingin ditandingi berbanding kekuatan jentera pilihanraya parti berselerak jika bertanding dalam terlalu banyak kerusi.

Usul ketiga mengenai Pilihanraya pula adalah meminta PSM untuk membentuk satu Gabungan Kuasa Ketiga yang baru dengan parti-parti politik lain. Usul ini berpendapat bahawa PSM tidak harus bertanding untuk banyak kerusi jika hendak bertanding secara bersendirian, maka PSM patut membentuk Gabungan baru atau menyertai gabungan yang sedia ada jika hendak bertanding banyak kerusi.

Usul mengenai struktur baru

Satu daripada usul yang dijangka akan dibahaskan secara panjang lebar adalah mengenai pembentukan Struktur Negeri PSM. Buat masa kini, PSM tidak mempunyai Struktur Negeri dan Pejabat Pusat PSM berurusan terus dengan cawangan-cawangan. Namun sejak kebelakangan ini, ada pandangan bahawa untuk berfungsi sebagai sebuah parti arus perdana secara berkesan, maka adalah menjadi satu keperluan untuk membentuk Struktur Negeri. Mengikut usul ini, setiap negeri akan mempunyai Pejabat Negeri, Jawatankuasa Negeri dan petugas parti sepenuh masa di peringkat negeri.

Satu lagi usul adalah mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat yang dianggotai oleh veteran parti dan individu progresif atau berpengaruh, di mana mereka akan bertanggungjawab untuk memberi pandangan dan nasihat berhubung polisi, halatuju, kewangan dan ideologi parti. Kemungkinan ada di kalangan ahli parti yang merasakan peranan yang boleh dimainkan oleh mantan Pengerusi PSM Dr. Nasir Hashim. Namun, Majlis ini sama sekali tidak mempunyai kuasa veto atau kuasa mengundi untuk mengubah keputusan yang diambil secara demokratik oleh Jawatankuasa Pusat Parti atau organ parti yang lain.

Selain itu, terdapat juga satu usul meminta PSM supaya membentuk satu Biro di peringkat nasional untuk membuat kerja-kerja penyelidikan dan kajian demografik menyeluruh apabila PSM hendak melibatkan diri dalam mana-mana Pilihanraya atau membuat kempen nasional atau kempen besar yang lain.

Kempen Nasional

Setiap tahun, PSM akan memfokus kepada satu atau dua kempen nasional. Kempen nasional yang sedang dilaksanakan oleh PSM buat masa sekarang adalah Kempen Turunkan Harga Rumah yang mendesak supaya harga rumah mampu milik dikurangkan kepada harga yang munasabah, dan kempen memansuhkan sistem kontrak untuk kerja tetap. Dalam Kongres kali ini, terdapat dua usul untuk PSM memfokus pada dua kempen baru, iaitu melancarkan satu kempen nasional yang memfokuskan perubahan Iklim, dan satu lagi usul yang mendesak supaya Kempen Mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan dijadikan sebagai Kempen Nasional yang utama untuk satu tahun yang akan datang.

Terdapat juga beberapa usul lain yang kontroversi, seperti meminta PSM untuk menyokong Tenaga Nuklear sebagai satu sumber tenaga yang boleh digunapakai dan juga usul meminta PSM supaya tidak lagi menggunakan alat-alat plastik termasuk sepanduk yang dibuat dengan plastik pada masa depan.

Jadi, tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, debat usul akan terus menjadi segmen yang paling menarik, hangat dan meletihkan minda untuk ahli-ahli PSM.

Untuk Kongres PSM, pemerhati luar yang ingin melibatkan diri dalam debat kena berdaftar dengan Sekretariat PSM 016-4407422, namun hanya delegasi parti sahaja mempunyai kuasa mengundi. Kongres PSM akan diadakan dari 12 hingga 14 Julai dan akan berlangsung di Dewan Lavender, Plaza Metro Kajang.

(Akan datang: Siri 04 – Perjuangan Progresif di Malaysia Baru)

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Isu pilihanraya dan struktur baru jadi isu utama debat usul Kongres PSM (Siri Menjelang Kongres PSM 2019 – 03)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s