20190706 nasir3.jpgoleh S. Arutchelvan 

Kongres Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke-21 yang akan berlangsung di Kajang dari 12 hingga 14 Julai 2019 akan memperlihatkan satu peristiwa penting untuk PSM apabila pengasas parti dan Pengerusi Parti yang pertama, Dr. Mohd Nasir Hashim, bakal berundur dari jawatan Pengerusi PSM yang disandangnya sejak 1996 iaitu untuk 23 tahun.

Dr. Nasir menjadi Pengerusi Jawatankuasa Protem untuk PSM mulai tahun 1996, kemudian berjuang untuk mendaftarkan PSM dari tahun 1998 sehingga 2008. Beliau pernah menjadi ADUN Sosialis pertama daripada PSM apabila menang dalam Pilihanraya Umum pada tahun 2008 di kawasan DUN Kota Damansara, Selangor, di bawah tiket PKR kerana parti PSM masih belum mendapat pendaftaran pada masa itu. Kali terakhir sebelum itu, seorang Sosialis menang dalam pilihanraya adalah pada tahun 1969, dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) menang 4 kerusi di Pulau Pinang dan Pahang ketika itu.

Menggantikan Dr. Nasir bukannya senang. Beliau bukan calang-calang orang. Beliau pernah ditahan di bawah Akta  Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) selama 15 bulan semasa Operasi Lalang pada tahun 1987 dan banyak lagi penahanan dalam lokap selepas itu. Selain itu, Dr. Nasir ialah seorang intelek, pernah menjadi Profesor Madya dan mempunyai pelbagai kepakaran seperti dalam bidang akupuntur. Beliau juga seorang seniman yang menghasilkan lukisan, dan karya penulisan seperti sajak, novel dan cerpen, yang diterbitkan dalam banyak buku sebelum ini.

 

20190706 - IMG_7032 - Copy
Dr. Nasir Hashim

Kami di PSM memanggil Dr. Nasir sebagai pakar dialetika kerana beliau terkenal dengan hujahnya tentang Penentangan dan Perpaduan. Beliau menyumbangkan tulisannya dalam banyak isu yang relevan dan diterbitkan dalam buku seperti “Islam dan Sosialisme”, “Menyingsing Fajar Perjuangan” (2009), “Mengharungi Titik Noktah” (2011), “Cerita Pendek: Lampaian Ranjau Kehidupan” (2015), “Spiritualiti, Fizik Kuantum dan Manusia” (2016) dan “Teori Kuantum Fizik”. Namun, buku tebal Dr. Nasir yang berjudul “Memperkasakan Rakyat: Analisa dan Perjuangan” setebal 562 muka surat boleh dikatakan sebuah tesis dan panduan kepada idelogi dan perjuangan sosialis di negara kita. Buku tersebut memberikan kita satu wawasan mendalam bagaimana pemimpim PSM ini berfikir, menganalisa masyarakat dan masalah rakyat, serta pembentukan ideologi dan pemikirannya.

Selain Dr. Nasir, M. Sarasvathy yang digelar oleh ahli PSM sebagai Harimau PSM juga akan mengundur diri dari Jawatan Timbalan Pengerusi. Selain salah seorang daripada menjadi pengasas PSM, Saras juga pernah ditahan di bawah Akta Darurat (EO) pada tahun 2011 dengan tuduhan palsu hendak melawan Yang Di-Pertuan Agung dan memulihkan PKM. Beliau juga mempunyai pengalaman luas sebagai aktivis. Beliau telah menjadi pejuang aktivis hak pekerja untuk 40 tahun. Beliau juga pernah dianugerahkan Pejuang Wanita terbaik oleh Semparuthi Publication pada tahun 2011 dan mendapat pengiktirafan antarabagsa dengan menerima Anugerah Yayori di negara Jepun kerana penglibatannya dalam kerja sosial. Saras ialah seorang yang tidak mengenal erti keletihan dan suaranya sentiasa kedengaran dalam parti untuk mendesak mobilisasi kuasa rakyat demi perubahan.

20190706 - 66855_10151613131269493_6394952821_n - Copy
M. Sarasvathy

Pengunduran Dr. Nasir dan Saras dari jawatan mereka walaupun sudah diketahui sejak satu dekad lalu, namun apabila masa sudah tiba, ia masih merupakan sesuatu yang susah untuk diterima memandangkan ketokohan dan perwatakan mereka yang amat tinggi di kalangan ahli parti dan penyokong parti.

Pada hakikatnya, jika dibenarkan, sudah pastinya ahli PSM tidak akan membenarkan Dr. Nasir berundur dari jawatan Pengerusi; namun satu resolusi PSM dalam Kongres PSM pada tahun 2007 menyebabkan PSM terpaksa melalui proses peralihan yang genting ini.

Pada tahun 2007, Jawatankuasa Pusat PSM mengemukakan satu usul yang mungkin agak pelik kepada parti-parti lain. Jawatankuasa Pusat mengusulkan supaya ditetapkan had tempoh memegang jawatan untuk 4 jawatan tertinggi dalam parti. 4 jawatan tertinggi tersebut ialah Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat. Usul ini dikemukakan setelah 10 tahun PSM ditubuhkan, memandangkan ahli-ahli parti sentiasa memilih kepimpinan yang sama dalam 5 kali Pemilihan Parti sepanjang tempoh tersebut. Tidak ada perebutan kuasa dan jauh daripada itu, ahli-ahli parti terlalu menyanjung ketokohan kepimpinan utama parti sehingga tidak ada perubahan untuk jawatan tertinggi. Biasanya jika ada pencalonan daripada orang lain pula, calon bukan incumbent (penyandang asal jawatan) akan menarik diri daripada bertanding.

Maka untuk mengatasi masalah ini, maka Jawatankuasa Pusat PSM mencadangkan bahawa satu tempoh had masa perlu ditetapkan. Isu ini telah didebatkan secara mendalam semasa Kongres PSM pada tahun 2007. Bengkel dijalankan dengan membahagikan kumpulan diskusi mengikut kategori umur. Dr. Nasir dan 3 kepimpinan tertinggi parti pada masa itu menyarankan bahawa tempoh masa maksimum ditetapkan pada 2 penggal, iaitu 4 tahun. Namun keinginan itu ditolak oleh majoriti ahli PSM yang mendesak masa yang terpanjang untuk peralihan kuasa pucuk pimpinan. Kebanyakan daripada ahli PSM mencadangkan tempoh masa 5 penggal atau 10 tahun. Mengikut keputusan ini, maka peralihan untuk kesemua 4 jawatan kepimpinan tertinggi parti harus berlangsung selewat-lewatnya pada tahun 2019.

Untuk mengurangkan impak semua orang berundur pada masa yang sama, maka pada tahun 2015, saya dan Sivarajan telah berundur dari jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat masing-masing. Kini, masanya untuk Dr. Nasir dan M. Sarasvathy selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berundur untuk membolehkan pelaksanakan usul parti yang diluluskan pada tahun 2007.

Dua orang pemimpin utama ini dari dulu lagi telah mengatakan bahawa jawatan bukanlah penting dan mereka akan terus aktif dalam parti. Mereka juga telah dicalonkan untuk jawatan-jawatan lain dan juga terdapat dua usul yang meminta PSM untuk mewujudkan satu Majlis Penasihat yang dianggotai oleh veteran parti yang bertanggungjawab memberi pandangan dan nasihat berhubung dasar, halatuju, kewangan dan ideologi parti.

Dr. Nasir dan Saras menjadi tunjang utama PSM dari dulu lagi dan pengaruh mereka terus menyinar sehingga hari ini. Komitmen dan pengorbanan mereka dalam memimpin sebuah parti kiri bukannya mudah dan amat mencabar. Mereka sering melawan arus dan menentang ideologi-ideologi neoliberal kapitalis, perkauman dan agama yang didukung oleh parti-parti arus perdana.

Dalam Jawatankuasa Pusat PSM, hieriaki parti tidak pernah menjadi isu pertelingkahan. PSM mempunyai DNA yang berbeza daripa kebanyakan parti. Ahli-ahlinya yang bersifat aktif dan merupakan aktivis, jarang mahu bertanding untuk jawatan tinggi mahupun menjadi calon pilihanraya. Bagi PSM, pemilihan parti hanya sekadar mematuhi syarat untuk parti politik seperti yang termaktub dalam Undang-undang Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Dalam ucapan Setiausaha Agung saya dalam Kongres PSM ke-17 pada tahun 2015, saya mengungkapkan, “Dalam kesempatan ini saya ingin ucapkan terimakasih atas pengorbonan Pengerusi kita Dr. Nasir yang berkali-kali menawarkan diri untuk letak jawatan dari jawatan Pengerusi dan beliau berkali-kali dirayu oleh kami di Jawatankuasa Pusat untuk teruskan sedikit masa lagi. Undang-undang sedia ada parti juga tidak membenarkan seorang menarik diri dari semua jawatan jika dicalonkan dan masalah adalah Dr. Nasir sentiasa dicalonkan dan tiada jalan escape. Itulah masalah menjadi ikon parti. Parti dan perjuangan ini masih cemburukan beliau dan mahukan beliau sentiasa disisi kita.”

Nasir dan Saras hanya berundur atas kertas, tetapi saya pasti mereka akan terus bersama dalam mengharungi perjuangan PSM dan menjadi kompas kepada parti pada tahun-tahun yang akan datang.

(Akan datang: Siri 02 Menjelang Kongres PSM 2019 – Siapa bakal Pengerusi PSM?)

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Dr Nasir undur sebagai Pengerusi setelah terajui PSM untuk 23 tahun (Siri Menjelang Kongres PSM 2019 – 01)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *