oleh S. Arutchelvan 

Tiga orang telah dicalonkan oleh cawangan-cawangan PSM untuk jawatan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), setelah tarikh tutup pada 23 Jun 2019. Dalam Garis Panduan pengendalian Pemilihan PSM, proses pemilihan akan diadakan dalam dua peringkat. Peringkat Pertama akan memilih Kepimpinan Tertinggi mengandungi 6 Jawatan, iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung (SUA), Timbalan Setiausaha Agung (TSUA), Bendahari Kehormat(BH) dan Timbalan Bendahari Kehormat (TBH). Dalam PSM, jawatan SUA dan Bendahari bukannya dilantik tetapi perlu melalui proses pemilihan parti.

Dalam peringkat pertama Pemilihan PSM, semua calon yang dicalonkan adalah wajib bertanding sekurang-kurangnya satu jawatan dan tidak boleh tarik diri daripada kesemua pencalonan jika mereka dicalonkan untuk lebih daripada satu jawatan. Kemudiannya Peringkat Kedua Pemilihan akan memilih 9 jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat, di samping mengundi untuk Jawatankuasa Tatatertib dan Juruaudit yang biasanya akan diadakan pada hari ketiga kongres. Mereka yang gagal menang dalam Peringkat Pertama juga boleh bertanding di Peringkat Kedua jika dicalonkan. Namun untuk Peringkat Kedua juga, semua calon tidak boleh tarik diri. Kerumitan proses pemilihan parti PSM yang dikendalikan dengan cara ini adalah untuk memaksimumkan penyertaan, merayakan demokrasi dan memberikan peluang kepada semua ahli parti supaya dapat melibatkan diri dalam pemilihan parti.

Dalam Kongres PSM tahun ini, buat pertama kalinya akan melihat seorang Pengerusi baru dan seorang Timbalan Pengerusi baru mengambilalih tugas, memandangkan dua orang penyandang jawatan ini, Dr. Nasir dan Saras tidak dapat bertanding kerana resolusi parti tahun 2007. (Sila baca tulisan dalam Siri 01 Menjelang Kongres PSM 2019). Tiga nama telah dicalonkan untuk Jawatan Pengerusi, di mana pencalonan tertinggi diperolehi oleh Dr. Jeyakumar Devaraj dengan 70% daripada cawangan telah mencalonkannya, diikuti oleh S.Arutchelvan dengan pencalonan daripada 20% cawangan dan Saraswathy yang mendapat pencalonan daripada 10% cawangan.

Saras dan saya telah menarik diri daripada pertandingan untuk jawatan Pengerusi, namun mesyuarat Jawatankuasa Pusat telah menolak permohnan Saras untuk menarik diri berdasarkan garis panduan pemilihan parti, kerana beliau hanya dicalonkan untuk satu jawatan sahaja dalam Peringkat Pertama, maka perlu bertanding berbanding dengan saya yang telah dicalonkan untuk jawatan lain di Peringkat Pertama.

Maka, pertandingan untuk Jawatan Pengerusi Parti kali ini adalah pertandingan satu lawan satu antara dua orang aktivis kanan dalam parti yang sebenarnya datang dari kumpulan perjuangan yang sama. Dr. Kumar dan Saras kedua-duanya ialah pengasas kepada kumpulan Alaigal dan Kalvi Kullu. Kedua-duanya berasal dari Perak. Mereka berdua juga pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO). Mereka berdua juga aktivis rakyat yang disegani ramai. Ahli PSM akan berpecah kepala untuk membuat pilihan antara seorang mantan Ahli Parlimen yang popular dan seorang bekas Timbalan Pengerusi Parti yang berpengaruh. Walau apa scenario pun, yang pasti adalah pertandingan dalam PSM biasanya satu urusan yang dingin memandangkan semangat kekomradan dalam parti dan jawatan tidak dilihat sebagai kuasa. Selain itu, amalan lobi-melobi adalah amat minimum dan jarang.

Kongres PSM ke-21 yang bakal berlangsung di Kajang dari 12 hingga 14 Julai 2019, akan juga memperlihatkan pertandingan di semua peringkat, di mana setelah urusan calon menarik diri, jumlah calon yang akan bertanding adalah seperti berikut:

Timbalan Pengerusi – 6 orang calon

Setiausaha Agung – 2 orang calon

Bendahari Kehormat – 4 orang calon

Timbalan Setiausaha Agung – 7 orang calon

Timbalan Bendahari Kehormat – 7 orang calon

Selain itu, untuk Peringkat kedua yang memilih 9 orang untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat pula, terdapatnya seramai 36 orang dicalonkan. Untuk Jawatankuasa Tatatertib, seramai 41 nama termasuk Dr. Nasir telah dicalonkan untuk mengisi 5 jawatan dalamnya. Untuk Juru Audit pula, seramai 20 nama telah dicalonkan untuk mengisi 2 posisi. Namun demikian, buat masa kini, memang ada nama yang bertindih. Syarat untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Juruaudit adalah mereka tidak boleh memegang jawatan dalam kepimpinan utama dan Jawatankuasa Pusat. Maka ramai antara nama ini mungkin akan digugurkan secara automatik jika mereka menang di peringkat yang lebih tinggi.

Inilah proses pemilihan PSM. Sebuah parti kecil yang mengamalkan demokrasi parti dan disiplin pemilihan parti yang kuat dan unik.

(Akan datang: Siri 03 Menjelang Kongres PSM 2019  – Apakah usul utama yang akan dibahaskan dalam Kongres PSM?)

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *