20190531Kerajaan perlu menggubal undang-undang baru untuk memastikan pekerja-pekerja ladang memiliki rumah mereka sendiri. Seruan ini dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara bersama dengan Jawatankuasa Perumahan Pekerja Ladang Bukit Beruntung pada 31 Mei 2019 di Kuala Lumpur.

Selain anggota Jawatankuasa Perumahan Pekerja Ladang Bukit Beruntung, turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM) dan V. Selvam (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).

Menurut A. Sivarajan, sejak tahun 1990-an, pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Kerajaan Persekutuan, Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan Negeri, tetapi sehingga kini masih gagal melaksanakan undang-undang atau enakmen yang mengkehendaki bahawa majikan ladang perlu membina rumah untuk pekerja. Sehingga hari ini, pekerja-pekerja ladang masih perlu berjuang sendiri untuk bertembung dengan majikan dan pemaju dalam usaha mereka mendapatkan rumah kediaman.

Sivarajan berkata, “Pengalaman sendiri para pekerja Ladang Bukit Beruntung dalam mesyuarat bersama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada 26 April 2019, membuktikan bahawa KSM setakat ini tidak mempunyai apa-apa dasar, undang-undang, peraturan dan pendirian untuk meminta tuan punya ladang supaya membina rumah bagi pekerja ladang. KSM hanya menceritakan tentang skim pembiayaan.”

Pada tahun 1973, Perdana Menteri pada masa itu Tun Abdul Razak memperkenalkan Skim Perumahan Sendiri Pekerja Ladang. Daripada lebih 1,500 buah ladang di seluruh negara, hanya lebih kurang 21 buah ladang mengimplementasi skim ini. Di bawah skim ini, majikan ataupun pemilik ladang dikehendaki memperuntukkan sebahagian tanah ladang untuk membina rumah baru bagi pekerja ladang yang masih bekerja di ladang berkenaan dan bayaran untuk rumah itu akan dipotong daripada gaji pekerja setiap bulan. Namun, skim ini tidak dilaksanakan secara meluas.

Selain itu, selama 30 tahun kebelakangan ini, tidak dapat melihat perkembangan positif yang benar-benar memanfaatkan pekerja ladang. Sivarajan telah menyenaraikan perkara yang berlaku dalam tempoh masa 3 dekad yang lalu dan membangkitkan persoalan kenapa tiada penyelesaian kepada isu perumahan pekerja ladang:

1990: Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu K. Pathmanaban menubuhkan Jawatankuasa untuk Pemilikan Rumah bagi Pekerja dan Jawatankuasa Pembangunan Kebangsaan Skim Kemudahan Awam. Apa terjadi dengan jawatankuasa ini?

27 Ogos 1991: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan bahawa akan mengambil tanah ladang jika majikan atau pemilik ladang gagal membina ruma untuk pekerja. Apa terjadi dengan keputusan ini?

7 Oktober 1992: Pindaan kepada Akta Pengambilan Tanah. Namun, apa terjadi selepas itu?

23 November 1994: Notis daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengimplementasi Skim Perumahan Pekerja Ladang dan Perlombongan, dikeluarkan oleh Ahli Exco Kerajaan Selangor masa itu Rajagopal. Apakah perkembangan selepas itu?

11 April 1995: Menteri Besar Negeri Selangor masa itu Muhammad Taib berkata, “Kami akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah sebagai usaha terakhir untuk memaksa agensi-agensi yang degil untuk membina rumah bagi pekerja.” Apa berlaku selepas itu?-

1997: Menteri Besar Selangor Abu Hassan Omar berkata, “Layanan yang tidak berhati perut sebegini tidak akan lagi dibenarkan.”

29 April 1999 – Kementerian Sumber Manusia mengatakan bahawa akan mengemukakan satu kertas kabinet mengenai perumahan untuk pekerja ladang. Menteri Sumber Manusia ketika itu ialah Lim Ah Lek. Namun, apa terjadi selepas itu? Adakah kertas cabinet itu masih dalam proses penyediaan selepas 20 tahun dengan Menteri Sumber Manusia telah bertukar beberapa orang.

10 Jun 1999: Dilaporkan bahawa Menteri Sumber Manusia akan mengetuai satu jawatankuasa nasional untuk mengimplementasi dan memantau dasar untuk pekerja ladang dapat perumahan sendiri. Di mana dasarnya? Di mana jawatankuasa pemantau itu sekarang?

2001: Masih tiada apa-apa enakmen atau dasar di peringkat Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan rumah untuk pekerja ladang.

2012: PSM telah berusaha untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pakatan Rakyat sejak tahun 2008 dalam membentangkan suatu enakmen di peringkat negeri Selangor supaya mengkehendaki bahawa majikan atau pemilik ladang perlu membina rumah untuk pekerja ladang. Walaupun cadangan enakmen sudah diserahkan, namun sehingga kini tiada perkembangan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

26 Februari 2019: Kenyataan Ahli Exco Kerajaan Selangor Ganabatirau membuktikan bahawa sehingga kini tidak wujud apa-apa perundangan di peringkat Parlimen atau enakmen di peringkat negeri sepertimana yang diceritakan sejak tahun 1990-an.

Sivarajan bertanya, “Tidakkah ini merupakan satu penipuan kepada pekerja ladang selama 30 tahun?!”

“Ini merupakan satu perkara yang serius, kerana pelbagai kenyataan telah dikeluarkan oleh Menteri, Menteri Besar, Exco dan pemimpin kerjaaan yang lain, tetapi sehingga kini masih tiada apa-apa usaha perundangan yang konkrit di peringkat Kementerian Persekutuan mahupun di peringkat Negeri Selangor,” tegas Sivarajan.

PSM bersama Jawatankuasa Perumahan Pekerja Ladang Bukit Beruntung mengemukakan tuntutan berikut:

  1. Kerajaan Persekutuan perlu merangka undang-undang baru untuk memastikan pemilik ladang membina rumah bagi pekerja ladang ataupun menyerahkan tanah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina rumah bagi pekerja ladang.
  2. Kerajaan Negeri harus menggubal enakmen dengan segera untuk memastikan pemilik ladang membina rumah bagi pekerja ladang. Jika ladang berkenaan gagal membina rumah bagi pekerja ladang, Kerajaan harus menggunakan Akta Pengambilan Tanah dan mengatur supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kerajaan Negeri atau KPKT membina rumah untuk pekerja ladang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *