20190601 - lori04.jpgIPOH, PERAK – 1 JUN 2019: Sekumpulan pemandu lori membuat aduan polis di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh pada hari ini terhadap syarikat Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd yang berniat jahat kerana cuba mendapatkan wang secara tidak sah daripada pekerja-pekerjanya.

Pemandu-pemandu lori yang membuat aduan polis ini sedang atau pernah bekerja untuk majikan Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd yang yang beralamat di Lot 104206 Kawasan Perindustrian Keramat Pulai, Mukim Sg Raia, Keramat Pulai, 31300 Ipoh.

Pada awal tahun 2017, Gabungan Pemandu Lori (GPL) yang mewakili pemandu-pemandu lori yang diupah oleh Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd, telah membuat satu aduan terhadap syarikat tersebut di Ibupejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur. Gabungan Pemandu Lori ialah satu gabungan yang dibentuk oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk membantu pemandu lori yang menghadapi masalah. Aduan di KWSP itu dibuat kerana pihak majikan gagal membuat caruman mengikut Akta KWSP, dan membuat caruman pada kadar yang jauh kurang daripada yang sepatutnya.

KWSP telah menyiasat aduan tersebut dan mengarah pihak majikan untuk menjelaskan baki caruman yang tidak dibayar untuk tempoh 6 tahun sebelum tarikh aduan itu, untuk semua pemandu lori yang diupah oleh syarikat Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd. Menurut undang-undang KWSP, majikan yang didapati salah juga akan dikenakan penalti di mana dia dikehendaki membayar kedua-dua bahagian caruman, iaitu caruman daripada majikan dan pekerja. Namun, pihak majikan Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd enggan mematuhi arahan KWSP, dan oleh itu KWSP telah memfailkan kes sivil terhadapnya pada hujung tahun 2018.

20190601 - lori02.jpg

Tiba-tiba pada 7 Mei 2019, seorang pemandu lori telah menerima notis daripada peguam majikan untuk hadir ke mahkamah. KWSP telah menyaman Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd untuk mendapatkan baki caruman berjumlah RM2,638,595, tetapi majikan itu sebaliknya menuntut pada 268 orang pemandu lori untuk membayar bahagian caruman pekerja masing-masing sekiranya kes dimenangi oleh Lembaga KWSP. Dalam erti kata lain, syarikat Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd yang melakukan kesalahan itu mahu pekerja-pekerjanya membayar untuk kesalahannya.

Jumlah wang yang dituntut daripada setiap orang pemandu lori adalah antara RM500 sehingga RM28,000. Tuntutan wang sebanyak ini mengejutkan para pemandu lori, dan mereka risau bahawa mereka akan dipaksa untuk membayar jumlah itu sekiranya Lembaga KWSP menang dalam kes saman. Jumlah yang dituntut oleh majikan itu adalah di luar kemampuan pemandu-pemandu lori.

Tuntutan kutipan wang sebegini oleh majikan adalah salah di sisi undang-undang, kerana undang-undang yang sedia ada menghalang majikan mendapatkan balik caruman pekerja lewat dari 6 bulan dari tarikh upah dibayar. Malah, majikan akan dikenakan penalti di mana dia dikehendaki membayar kedua-dua bahagian caruman daripada majikan dan pekerja. Tindakan majikan untuk mendapatkan kembali bahagian caruman pekerja adalah berniat jahat. Ini merupakan satu tindakan menipu pekerja dan Lembaga KWSP.

Tindakan majikan Hong Heng Transport & Trading yang menarik para pemandu lori ke dalam kes saman KWSP ini juga merupakan satu ugutan terhadap pemandu-pemandu lori untuk menyekat mereka daripada menuntut hak pekerja seperti yang terkandung dalam Akta KWSP. Tindakan majikan yang berniat jahat ini, merupakan penyalahgunaan proses mahkamah untuk menekan pemandu-pemandu lori dan mengelakkan dirinya daripada menjamin hak pekerja. Pemandu-pemandu lori yang bekerja dengan syarikat Hong Heng Transport & Trading menggesa pihak polis untuk menyiasat majikan yang melakukan penipuan jenayah ini.

Turut hadir bersama untuk memberi sokongan kepada pemandu-pemandu lori ialah Mohanarani Rasiah (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang juga merupakan penyelaras Gabungan Pemandu Lori), S. Arutchelvan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM) dan Dr. Jeyakumar Devaraj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).

20190601 - lori06

One thought on “Syarikat pengangkutan yang keji cuba tipu wang pemandu lori

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *