20190524 - 61031489_452647571946672_4257412488510832640_n.jpgPUTRAJAYA – 24 MEI 2019: Wakil daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya (ERC) pada hari ini. Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang juga merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bersama dengan Ketua Eksekutif ERC Amerul Muner bin Mohamad dan pasukannya telah mendengar cadangan daripada PSM. Wakil PSM yang hadir dalam pertemuan ini ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM), Soh Sook Hwa (Bendahari PSM), Choo Chon Kai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM) dan Nik Aziz Afiq (Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda PSM).

ERC ditubuhkan oleh Kerajaan pada bulan Ogos 2018 untuk mengkaji sistem dan proses serta undang-undang pilihanraya yang sedia ada. Objektif utama kajian ERC adalah mengemukakan cadangan untuk pembaharuan kepada sistem pilihanraya supaya memastikan pilihanraya yang dilaksanakan pada masa akan datang adalah pilihanraya yang berwibawa dan mendapat kepercayaan awam.

ERC diberi tempoh selama 2 tahun untuk mengemukakan laporan yang mengandungi cadangan-cadangan untuk reformasi pilihanraya. Pada ketika ini, ERC sedang dalam proses mengadakan sesi libat urus di seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan rakyat secara terus berkaitan urusan pilihanraya di Malaysia. PSM mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan beberapa cadangan mengenai pembaharuan dan penambahbaikan terhadap sistem pilihanraya di negara kita supaya pilihanraya sebagai komponen penting dalan sistem demokrasi benar-benar memanfaatkan rakyat terbanyak.

Setakat ini, ERC telah mengenalpasti 15 bidang kajian dalam urusan pilihanraya, iaitu:

  • Sistem-sistem pilihanraya yang sesuai sebagai langkah pembaikan kepada sistem “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post, FPTP) yang sedia ada, sekiranya kita perlu mengubah sistem pilihanraya;
  • Kerangka undang-undang yang sesuai untuk menubuhkan sebuah badan pengurusan pilihanraya (iaitu SPR) yang teguh dan sempurna;
  • Kerangka undang-undang yang sesuai untuk persempadanan bahagian-bahagian pilihanraya dan hal-hal yang berkaitan dengannya;
  • Kaedah pendaftaran pemilih;
  • Kerangka undang-undang untuk mendaftar dan mengawalselia parti-parti politik;
  • Kerangka undang-undang untuk mewujudkan mekanisme bagi menjalankan kempen, kawalan kempen dan kod etika yang perlu dalam pilihanraya;
  • Pembiayaan parti politik;
  • Kerangka undang-undang mengawal kebebasan bersuara dan peranan serta akses kepada media awam dan swasta;
  • Kerangka undang-undang yang meliputi proses pilihanraya, seperti pembubaran dewan perundangan, penetapan tarikh pilihanraya; penamaan calon, pengundian, pengiraan dan penjumlahan undid an pengisytiharan keputusan pilihanraya;
  • Panduan tatakelakuan bagi parti-parti politik, calon-calon, media dan institusi awam semasa pilihanraya;
  • Memperkasakan undang-undang yang sedia ada, meliputi bidang penguatkuasaan undang-undang oleh badan pengurusan pilihanraya;
  • Tetapan untuk “kerajaan sementara” selepas pembubaran dewan perundangan;
  • Garis panduan kerjasama antara badan-badan awam dan swasta bagi memastikan perjalanan pilihanraya dapat dilaksanakan dengan sempurna;
  • Garis panduan bagi mempertingkatkan kefahaman masyarakat tentang proses demokrasi melalui pendidikan sivik dan pendidikan pengundi.

Pihak ERC berpandangan bahawa ada banyak perkara dalam sistem pilihanraya yang sedia ada mempunyai kekurangan dan patut diperbaiki, antaranya kaedah pendaftaran pengundi sekarang yang sudah ketinggalan zaman dan pendaftaran pengundi secara automatik boleh dilakukan. Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpendapat bahawa negara kita patut adanya kerangka undang-undang yang membolehkan referendum seperti negara lain, supaya rakyat dapat terlibat secara terus dalam proses membuat keputusan yang penting berkaitan dengan diri mereka.

20190524 60960220_2285550821526126_3719250032600285184_n

PSM telah mengemukakan cadangan untuk pembaharuan sistem pilihanraya di negara kita yang merangkumi aspek-aspek berikut:

  1. Menggantikan sistem FPTP dengan sistem pengundian campuran;
  2. Pembiayaan parti politik melalui dana awam dan membendung politik wang serta menyekat pengaruh korporat terhadap parti politik;
  3. Pengagihan kerusi dalam Dewan Negara melalui undi mengikut senarai parti (sekiranya melaksanakan sistem pengundian campuran);
  4. Mewujudkan kerusi perwakilan untuk warganegara Malaysia yang menetap di luar negara;
  5. Menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun;
  6. Pendaftaran pengundi secara automatik;
  7. Penambahbaikan proses perjalanan pilihanraya;
  8. Pemulihan pilihanraya tempatan.

(Baca kertas cadangan PSM yang diserahkan kepada ERC berkenaan pembaharuan sistem pilihanraya di sini.)

Perbicangan dengan ERC telah berlarutan untuk 2 jam dengan pertukaran pendapat yang bernas. ERC akan terus mengumpul maklum balas daripada orang awam sebelum menyediakan laporan yang akan diserahkan kepada Kerajaan untuk membuat keputusan.

Pembaharuan sistem pilihanraya adalah penting untuk kita memantapkan sistem demokrasi di negara kita. Proses kajian ERC ini merupakan satu ruang yang penting untuk kita mendesak pembaharuan yang bercita-cita tinggi dan menyeluruh kepada sistem politik demokrasi di Malaysia. PSM berharap Kerajaan akan melaksanakan semua cadangan bernas yang bakal dikemukakan dalam laporan ERC nanti.

Baca selanjutnya: Cadangan PSM untuk pembaharuan sistem pilihanraya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s