20190505 - 3D.jpg

oleh S. Arutchelvan

Pada Hari Buruh yang keramat tahun ini, Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan kepada pekerja Malaysia, dengan berkata bahawa buat kerja 3D (Dirty – kotor, Dangerous – bahaya, dan Difficult – susah) lebih baik daripada menganggur. Sungguh ikhlas nasihat ini, yang keluar dari mulut seorang Perdana Menteri yang selama ini tidak mempeduli langsung kaum pekerja. Inilah ucapan Hari Buruh yang paling menghina kaum pekerja: mesti buat kerja 3D kalau tak nak menganggur.

Kemasukan pekerja migran dan kehilangan kuasa rundingan 

Pertamanya, perhatikanlah bahawa ramai rakyat Malaysia yang memenuhi kerja 3D di Singapura sebab menerima gaji tinggi. Ramai pula graduan muda sanggup ke New Zealand untuk memetik buah epal kerana gaji di sana lebih lumayan. Adakah Mahathir sokong kalau kerja 3D di Malaysia ditingkatkan gajinya untuk menarik minat pekerja tempatan? Masalahnya, dalam aspek ini, Tun tidak mempercayai kuasa pasaran. Jika kita menyekat kemasukan buruh migran, lebih susah untuk majikan memenuhi kekosongan pekerja 3D dan secara automatik gaji akan naik.

Namun, kerajaan mengamalkan dasar buruh murah, dan kadar upah dimanipulasikan untuk jadi lebih rendah dari yang sepatutnya. Pihak majikan tentulah mahu buruh murah, dan majikan suka jikalau manfaat yang diterima perkerja serba kurang dan perbelanjaan majikan direndahkan. Kaedah mencapai hasrat ini senang sahaja – membanjirkan pasaran dengan pekerja yang sanggup menerima gaji rendah.

Pada kelazimannya, perbincangan “Town Hall” yang diadakan oleh Kementerian Sumber Manusia  didominasikan oleh pihak majikan yang menuntut supaya kadar buruh migran ditingkatkan dan meminta supaya lebih mudah untuk membawa masuk pekerja dari luar negara. Mengapa Tun Mahathir tidak mengumumkan pada Hari Buruh tahun ini bahawa “sekarang bos patut bayar gaji yang lebih tinggi jika mahu pekerja 3D”?

Akta Gaji Minimum dan penyekatan kadar upah 

Apabila gaji minimum mula diperkenalkan pada tahun 2012, Menteri Sumber Manusia pada masa itu, Subramaniam berkata bahawa gaji minimum ini perlu kerana kuasa pasaran tidak berfungsi seperti sepatutnya dan ada pula aspek penyekatan gaji. Baru-baru ini, Bank Negara dalam laporan tahunannya 2018 menyatakan pandangan yang sama, bahawa  pekerja di Malaysia menerima gaji yang kurang berdasarkan tahap produktiviti mereka, berbanding dengan negara lain. Laporan ini mendakwa bahawa kadar gaji di Malaysia tidak sepadan dengan produktiviti pekerja.

Apa pula respon Mahathir? Tiada langsung! Sungguhpun dia enggan memperkenalkan Akta Gaji Minimum semasa dia menjadi Perdana Menteri pada 22 tahun yang pertama; sekarang dengan amat resah dan berat hati dia meningkatan gaji minimum kepada kadar yang disyorkan pihak majikan, iaitu RM1050, walaupun kadar ini jauh lebih kurang daripada yang dituntut oleh MTUC dan PSM. Dia juga tidak mengendahkan langsung cadangan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji. Bukankah ini kelakuan yang berbahaya (dangerous) dan kotor (dirty) terhadap golongan pekerja? Mengapa pula Mahathir pada Hari Buruh tahun ini tidak menuntut supaya majikan meningkatkan kadar gaji minimum dan kurangkan sikit untung lumayan yang diterima mereka?

Kesatuan pekerja ditindas

Apa pula yang boleh kita harapkan daripada seorang Perdana Menteri, yang pada tahun 1982 pernah menyindir kesatuan pekerja sebagai organisasi yang tidak berguna. Di bawah Mahathir, hak kesatuan pekerja disekat lebih lanjut lagi. Dia memastikan bahawa pekerja kilang elektronik tidak boleh menubuhkan kesatuan pekerja kebangsaan. Menurut hasrat pelabur Jepun dan Korea, hanya kesatuan pekerja dalaman kilang (in-house) dibenarkan.  Hanya di bawah Najib pada tahun 2009, kabinet membenarkan pekerja kilang elektronik membentuk kesatuan pekerja di empat rantau di Malaysia.

Pada bulan Julai 1990, kerajaan yang di bawah Mahathir membenarkan pembentukan Malaysian Labour Organization (MLO) dengan tujuan melemahkan Kesatuan Kongres Sekerja Malaysia (MTUC) selepas MTUC mengambil langkah yang kontroversi dengan meletakkan calonnya sendiri dalam Pilihanraya Umum tahun 1990. MLO hanya dimansuhkan selepas Presiden MTUC Zainal Rampak menyertai UMNO pada tahun 1996. Bukankah ini taktik kotor?

Pada bulan Disember lalu, Mahathir sekali lagi mengancam kesatuan pekerja, dengan berkata bahawa kesatuan pekerja patut menjadi “jambatan” antara pekerja dan majikan, dan tidak lagi berdemonstrasi untuk menuntut hak pekerja. Dia mengeluarkan kenyataan ini, walaupun undang-undang Malaysia sudahpun direka supaya menyekat kebolehan kesatuan pekerja untuk bermogok. Pada masa ini, keahlian kesatuan pekerja hanya 6% daripada jumlah Tenaga kerja. Kesatuan pekerja tidak dibenarkan untuk melindungi pekerja daripada penindasan, kerana reka bentuk undang-undang hubungan industri dan undang-undang kesatuan pekerja tidak menggalakkan pembentukan kesatuan pekerja.

Mengapa pula Mahathir pada Hari Buruh tahun ini tidak mengumumkan bahawa kesatuan pekerja itu mustahak, dan patut dibenarkan untuk didaftarkan secara automatik supaya dapat merundingkan persetujuan yang lebih baik bagi pihak golongan pekerja?

Pekerja berkorban, bos bebas cukai

Mengapa pekerja perlu buat kerja 3D? Mengapa pekerja tidak boleh menuntut upah yang lebih tinggi? Mengapa pula Mahathir tidak mengutuk pihak majikan pada Hari Buruh tahun ini, tetapi sebaliknya membuli dan mengancam pekerja Malaysia yang sudah serba tertindas?

Pada bulan November tahun lepas, Hassan Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) bertanya di Parlimen, mengapa kerajaan “takut” untuk memperkenalkan cukai baru dan meningkatkan kadar cukai bagi golongan yang kaya? Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjawab bahawa kerajaan tidak sudi memperkenalkan cukai kekayaan, cukai harta pusaka, cukai keuntungan modal dan kadar cukai korporat yang lebih tinggi kerana tidak mahu mengejutkan pasaran modal.

Mengapa pula Mahathir tidak menuntut bahawa bos-bos membayar cukai yang lebih demi kesejahteraan rakyat? Mengapa pula Mahathir tidak mengumumkan langkah berani ini pada Hari Buruh supaya golongan kaya harus membayar kadar cukai yang lebih tinggi untuk memastikan rakyat jelata Malaysia menikmati peningkatan taraf hidup?

Mengapa pula Tun Mahathir sangat menyusahkan golongan pekerja dan tidak sanggup menyusahkan golongan bos? Mengapa pula pekerja tetap menerima kadar upah yang menghina dan pada masa yang sama, hak mereka untuk membantah disekat? Syarikat antarabangsa diberikan perlindungan cukai, pekerja Malaysia pula disuruh buat kerja 3D.

Pada zaman dahulu, perjuangan pekerja memenangi pengurangan jam kerja kepada kerja 8 jam sehari. Walaupun pada zaman ini ada banyak perkembangan teknologi, sains dan perubatan, namun kebanyakan rakyat di setiap negara masih bersusah payah demi menerima upah yang cukup dan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perumahan yang memadai. Jurang pendapatan di dunia ini kian lama kian melebar, pada masa yang sama orang biasa terpaksa bekerja 12 jam, hanya boleh kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Amat sedih bahawa pada abad ke- 21 ini, Perdana Menteri suruh kita buat kerja 3D kalau tidak mahu menganggur. Ternyatalah bahawa bagi rakyat jelata, hidup ini amatlah bahaya, kotor, dan susah (dangerous, dirty and difficult), sedangkan golongan yang tertentu meraih untung yang amat lumayan daripada kesengsaraan orang biasa.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *