20190505 - 59295611_611613449303192_7244808864195936256_n.jpgIPOH, PERAK: 7 orang petani dan penternak ikan dari Kampung Kuala Kuang, Chemor, Perak, merayu pada Kerajaan Negeri Perak supaya mencampurtangan dalam menyelesaikan masalah ancaman pengusiran paksa yang sedang dihadapi oleh mereka. Mereka telah menyerahkan satu memorandum kepada Kerajaan Negeri Perak pada 3 Mei 2019.

Petani dan penternak ikan yang berkenaan telah menerima notis pengusiran pada bulan Mac lalu daripada pemilik tanah yang hendak menjalankan projek pengembangan kilang. Pemilik tanah, syarikat Uniplaster Marketing Sdn Bhd, telah mengambil tindakan mahkamah terhadap petani-petani yang sedang mengusahakan tanah tersebut. Pendengaran kes ini akan berlangsung pada 29 Mei 2019.

Ada di kalangan petani-petani ini pernah memohon hakmilik tanah daripada Pejabat Tanah sejak tahun 1990-an, tetapi tanah yang diusahakan mereka telah diluluskan kepada orang lain. Tanah berkenaan telah diberikan kepada syarikat yang hendak mengusir mereka sekarang pada tahun 2016.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Perak, petani-petani menuntut supaya pihak Kerajaan Negeri menetapkan satu mesyuarat bersama antara pihak syarikat dengan petani-petani, syarikat berkenaan menarik balik kes mahkamah, dan petani-petani yang terkesan diberikan tanah alternatif sekiranya perlu pindah.

K. Kunasekaran, Penyelaras Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak, berkata bahawa Kerajaan Negeri Perak perlu menggunakan kesungguhan politik untuk menyelamatkan petani-petani Kuala Kuang daripada pengusiran paksa, bukannya melepaskan tangan dalam isu ini dengan alasan kerajaan tidak dapat mencampurtangan kerana tanah milik persendirian. Kerajaan perlu mengambil langkah dalam melindungi hak petani dalam keadaan undang-undang yang sedia ada tidak berpihak kepada petani kecil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *