oleh S. Arutchelvan

1 Mei ialah Hari Pekerja Sedunia. Ia menjadi hari untuk menyambut kemenangan perjuangan kaum pekerja menuntut kerja 8 jam sehari yang dimulakan sejak tahun 1886. Kejayaan ini terutamanya berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah di mana benua tersebut melalui Revolusi Industri pada masa itu.

Di Malaysia pula, dua orang pemimpin agung kesatuan sekerja yang menjadi pejuang, perintis dan pendukung perjuangan kerja 8 jam sehari telah korban pada 3 dan 4 Mei 1949.

P. Veerasenan ditembak mati oleh penjajah British pada 3 Mei 1949 yang begitu gerun dengan kebangkitan kesatuan sekerja PMFTU yang dipimpin oleh P. Veerasenan yang pernah menjadi Setiausaha Agung dan Presiden Kesatuan Sekerja Umum itu. Pada 4 Mei 1949 pula, S.A. Ganapathy digantung mati oleh penjajah British secara tergesa-gesa walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kiri negara ini dan juga di India.

5 Mei 1818 pula ialah hari jadi Karl Marx, iaitu seorang ahli fasafah, politik dan ekonomi yang terkemuka. Teori Karl Marx antaranya mengenai teori nilai buruh, perjuangan kelas, sistem kapitalis dan komunis menyebabkannya antara pemikir paling ulung dalam abad ke-19, di mana teori dan pengaruhnya masih berleluasa selepas itu sehingga hari ini.

Maka, 5 hari pertama bulan Mei amat bermakna dan mempunyai pengertian yang mendalam, terutamanya di Malaysia. Namun, 4 peristiwa ini mempunyai satu ikatan kaitan, iaitu semuanya melibatkan kaum pekerja. Marx melihat kaum pekerja sebagai kaum revolusioner yang dapat membebaskan umat manusia daripada penindasan, manakala jalan perjuangan yang diambil oleh S.A. Ganapathy dan P. Veerasenan telah mengikut haluan ini. Mereka menjadi mangsa pengorbanan perjuangan kelas dan dibunuh oleh penjajah British, iaitu suatu kuasa imperialis besar pada masa itu.

PMFTU – Kesatuan Merah yang digeruni penjajah

Di Malaya pada masa itu, perjuangan kerja 8 jam dipelopori oleh PMFTU (Pan Malayan Federation of Trade Union). Ia merupakan kesatuan sekerja umum dan dipanggil sebagai GLU (General Labour Union). Pada masa itu, kesatuan sekerja memang dipengaruhi oleh fahaman sosialis dan mereka dilabel sebagai Kesatuan Sekerja Merah. Hari ini, 90% kesatuan sekerja di negara kita pula adalah Kesatuan Sekerja Kuning yang kurang berkesan dan ada juga yang menjadi kaki bodek majikan.

S.A. Ganapathy ialah Presiden Pertama PMFTU yang mempunyai keahlian sebanyak 400,000 ribu pada masa itu. P.Veerasenan pula telah mengantikan tempat S.A. Ganapathy pada bulan Mac 1949 apabila Ganapathy ditahan oleh British. Veerasenan sebelum itu ialah ahli Kesatuan Sekerja Pelabuhan dan Presiden SGLU (Singapore General Labour Union).

PMFTU pada masa itu ialah kesatuan merah yang cukup kuat di mana 67% pekerja Malaya bernaung di bawah Kesatuan Sekerja ini. Kesatuan ini juga menguasai lebih 80% kesatuan sekerja pada masa itu, menjadikannya suatu kuasa yang cukup besar dan kuat pada masa itu. Hari ini, hanya 6% sahaja pekerja Malaysia yang ada dalam kesatuan dan kesatuan kita juga lemah.

Antara akhir tahun 1945 dan awal 1946, ia dilihat sebagai zaman kegemilangan gerakan kesatuan sekerja di Malaya. Banyak mogok dianjurkan oleh kesatuan ini, di mana pada Januari 1946, hampir 200,000 orang pekerja telah melancarkan mogok sehingga memberhentikan semua aktiviti dan trafik jalan. PMFTU juga begitu kuat dan antara mogok yang dilancarkan oleh kesatuan ini ialah Mogok Limbungan Kapal Tanjung Pagar, Singapura, Mogok lombong Batu Arang, Mogok KTM, Mogok Kilang Getah dan Mogok Pemandu Bas dan Teksi.

Antara tuntutan PMFTU adalah kerja 8 jam, kerja 6 hari seminggu, insurans/pampasan, upah samarata tanpa mengira jantina/kaum dan hapuskan sistem buruh kontrak. Lidah rasmi suratkhabar PMFTU adalah “The Vanguard” yang dikeluarkan dalam empat bahasa. Tuntutan-tuntutan yang dibawa PMFTU begitu signifikan dan sedikit sebanyak berjaya menambahbaikkan kebajikan pekerja. Hari ini, jika kita menikmati sehari rehat seminggu atau kerja 8 jam, ia adalah kerana perjuangan hebat kesatuan sekerja seperti PMFTU.

Pada 29 Januari 1946, PMFTU mengadakan mogok yang melibatkan 300,000 orang untuk membantah kerakusan kerajaan penjajah British. Pada 1 Mei 1947, PMFTU menganjurkan perarakan sambutan Hari Buruh yang paling besar dalam sejarah Malaya/Malaysia, di mana aksi tersebut disertai oleh 50,000 orang pekerja. Ini masih adalah rekod sehingga hari ini.

Pihak penjajah British tidak dapat menahan tindak-tanduk kesatuan sekerja kerana mereka dapat memberi kesan kepada keuntungan British yang mengawal banyak ladang dan kilang pada masa itu. Selain daripada itu, PMFTU juga menyertai PUTERA-AMCJA, iaitu gerakan politik alternatif kepada UMNO yang berjuang untuk kemerdekaan. PUTERA-AMCJA juga terlibat dalam aksi hartal pada 20 Oktober 1947 dan telah menggubal Perlembagaan Rakyat. Perlembagaan Rakyat ini didokong oleh majoriti rakyat biasa, iaitu kaum petani dan pekerja. PUTERA-AMCJA juga menuntut kemerdekaan 100% daripada British manakala UMNO pula menyokong Perlembagaan Persekutuan dan bersekongkol dengan penjajah British serta golongan raja.

Penjajah British ancam gerakan progresif dan kesatuan sekerja

Untuk menhancurkan PMFTU, Penjajah British telah menggunakan khidmat tentera BMA untuk menghancurkan mogok dan tunjuk perasaan pekerja. British juga menggubal pelbagai undang-undang, seperti Undang-undang Kesatuan Sekerja 1940, Undang-undang Ceroboh Kawasan untuk menghalang lesatuan daripada melawat pekerja. Antara bulan April dan Mei 1948, PMFTU pula diharamkan.

Pada 17 Jun 1948 pula, penjajah British mengisytiharkan Darurat untuk menghancurkan gerakan rakyat dan pekerja di bawah naungan PUTERA-AMCJA, walaupun British mengatakan bahawa Darurat dikenakan untuk melawan Komunis. Ekoran daripada Darurat itu, 95 % kesatuan sekerja dibubarkan dan ramai pemimpin kesatuan sekerja ditahan dan dibuang negeri. Sebahagian besar pemimpim kesatuan sekerja pula masuk ke hutan untuk menyertai Tentera Pembebasan Rakyat Malaya dalam menentang penjajahan British.

Ribuan orang telah ditahan. Pada 20 Jun 1948 sahaja, seramai 600 orang ditahan. 300 buah parti dan organisasi progresif dibubarkan. Antara organisasi yang dibubarkan dan diharamkan adalah API, PETA, AWAS, BTM, Hizbul Muslimin, New Democratic Youth League dan PKM.

Kematian 2 pemimpin utama PMFTU

Adalah dipercayai bahawa pemimpim utama PMFTU seperti S.A. Ganapathy dan P.Veerasenan masuk ke hutan setelah Darurat diisytiharkan.

Kegerunan dan keghairahan penjajah British untuk membunuh S.A. Ganapathy begitu ketara sekali. Beliau ditahan pada 1 Mac 1949 kerana didakwa memiliki senjata api. Pada 15 Mac 1949, beliau dibicara dan dihukum gantung. Pada 1 April 1949, rayuan beliau didengar dan beliau kalah. Pada 23 April 1949, diumumkan tarikh pelaksanaan hukum gantung beliau pada 4 Mei 1949 di penjara Pudu. Semuanya berakhir dalam masa 2 bulan.

Hukuman gantung ke atas Ganapathy mendapat tentangan hebat terutamanya daripada Kerajaan India dan pemimpin kiri di negara kita. SA Ganapathy pernah berucap bersama Jawarhal Nehru dan Ghandi. Di India pula, ada desakan untuk negara itu tidak menyertai Negara-negara Komanwel yang dianjurkan oleh British.

Sehari sebelum S.A. Ganapathy digantung, P. Veerasenan pula ditembak mati dekat Jelebu, Negeri Sembilan, oleh unit Gurkha British. Saat-saat akhir kematian Veerasenan mempunyai pelbagai versi.

Namun, dua orang pemimpim utama kesatuan sekerja ini hanya berumur 32 dan 22 tahun sahaja. Pengorbanan mereka begitu besar kepada gerakan pekerja di Malaysia.

Di Malaysia, sejarah mereka dan ramai pejuang berhaluan kiri sentiasa dipadamkan. Mereka telah memainkan peranan utama dalam gerakan kemerdekaan negara kita, selain daripada memartabatkan gerakan pekerja dan berjaya meningkatkan taraf hidup kaum pekerja di negara kita.

5 hari pertama bulan Mei setiap tahun harus dijadikan tarikh-tarikh utama untuk kita hayati, hadam dan menyambung perjuangan pekerja yang belum selesai.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *