vanesri.jpg

Vanesri Subramaniam ialah seorang pekerja pembersihan yang bekerja di Hospital Kerajaan Port Dickson. Beliau bekerja di sana unutk lebih 20 tahun.

Pada masa kini, Vanesri bekerja di bawah majikan baru, Panoramax Development Sdn Bhd, dengan kontrak selama 2 tahun. Disebabkan masalah kesihatannya, Vanesri pernah mengambil cuti sakit beberapa kali dan doktor pernah memberi satu surat kepada majikan yang menyatakan bahawa oleh sebab Vanesri mempunyai masalah kesihatan, maka pihak doktor menyarankan kepada pihak majikan supaya memindahkan Vanesri ke tempat kerja yang tidak memudaratkan kesihatannya. Sejak permintaan itu, pihak majikan, khususnya pegawai yang bertanggungjawab dalam penyeliaan, cuba mencari alasan untuk memberhentikan Vanesri.

Pada 26 Februari 2019, Syarikat Panoramax memberikan notis satu bulan untuk pemberhentian kerja kepada Vanesri, dengan alasan yang tidak munasabah. Beliau datang berjumpa dengan PSM Seremban untuk mendapatkan bantuan. Vanesri mengambil keputusan untuk memfailkan kes ini di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Negeri Sembilan.

Pada masa yang sama, penelitian terhadap keadaan kerja Vanesri mendapati Syarikat Panoramax gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2018, kerana pekerja-pekerja yang diupah oleh majikan ini masih lagi menerima gaji bulanan sebanyak RM 1,000. Syarikat tersebut mengatakan bahawa mereka hanya akan membayar gaji RM 1,100 bermula dari bulan Jun, sedangkan Gaji Minimum RM 1,100 berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

Oleh itu, Vanesri bersama dengan PSM Seremban juga memfailkan satu lagi aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Pada 19 Mac, pegawai dari JTK turun ke Hospital Port Dickson untuk membuat siasatan dan memberi amaran kepada syarikat tersebut agar mematuhi Perintah Gaji Minimum. Syarikat tersebut juga diberitahu bahawa harus membayar gaji tertunggak sebanyak RM 200 kepada semua pekerja.

Kes di JPP berlangsung pada 21 Mac 2019. Dua orang pegawai hadir mewakili pihak syarikat dan aktivis PSM Seremban, Tinagaran, mewakili Vanesri dalam proses rundingan damai. Kes ini dikendalikan oleh Pegawai Perhubungan Perusahaan Marina Binti Muhamad Isa. Setelah beberapa soalan yang dikemukaan oleh pihak pekerja, pihak majikan gagal membuktikan pemberhentian kerja itu sah dan mengaku bahawa wujud salah laku daripada pihak syarikat.

Hasil daripada proses rundingan damai di JPP, pihak majikan bersetuju untuk memulihkan kerja Vanesri kepada jawatan asalnya dengan tanpa kehilangan kekananan. Pihak majikan juga bersetuju untuk menarik balik notis penamatan kerja yang diserahkan kepada Vanesri. Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persetujuan untuk penyelesaian di hadapan Pegawai Perhubungan Perusahaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *