da9c49_f5db50c515634f0c903e3909e9929e4e~mv2_d_2048_1363_s_2.jpg

Dijangkakan puluhan ribu aktivis muda yang memperjuangkan isu perubahan iklim di sekurang-kurangnya 71 buah negara akan “ponteng sekolah” pada 15 Mac 2019 untuk mengambil bahagian dalam aksi mogok pelajar yang bakal dianggap sebagai salah satu protes alam sekitar yang terbesar di dunia.

Aksi protes antarabangsa melalui mogok pelajar untuk menuntut tindakan segera dalam menangani krisis iklim sedunia ini mendapat inspirasi daripada Greta Thenberg, seorang aktivis pelajar Sweden yang baru berumur 16 tahun. Greta Thenberg mengambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah dan berprotes di hadapan bangunan Riksdaq (iaitu Parlimen Sweden) setiap hari pada waktu sekolah, dari 20 Ogos 2018 sehingga hari pengundian pilihanraya Sweden pada 9 September 2018, demi menuntut pada kerajaan Sweden supaya mengurangkan pembebasan karbon mengikut ketetapan Perjanjian Iklim Paris 2015. Negara Sweden dilanda gelombang haba yang luar biasa dan kebakaran hutan yang serius pada tahun 2018 akibat daripada fenomena perubahan iklim yang semakin menjadi-jadi. Selepas pilihanraya umum Sweden, Greta Thenberg meneruskan protesnya di hadapan bangunan Riksdag setiap hari Jumaat dan aksinya mendapat perhatian dunia sehingga mencetuskan gelombang aksi mogok pelajar di banyak tempat.

Sebelum Greta Thenberg melancarkan mogok lagi, pada 30 November 2015 ketika berlangsungnya Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Paris, kumpulan pelajar sudahpun menganjurkan aksi “Mogok Iklim” (Climate Strike) dengan tuntutan seperti 100% tenaga bersih, kekalkan bahan api fosil dalam tanah, dan membantu mangsa-mangsa krisis iklim.

Tindakan Greta Thenberg mencetus kembali gelombang protes anak muda untuk membawa isu perubahan iklim kepada perhatian pembuat dasar di negara masing-masing. Pada bulan November 2018, ribuan pelajar sekolah yang mendapat inspirasi daripada Thunberg mengadakan mogok sekolah pada hari Jumaat. Mereka langsung tidak menghiraukan seruan Perdana Menteri Australia Scott Morrison untuk “lebihkan pembelajaran di sekolah dan kurangkan aktivisme”. Aksi mogok pelajar terus merebak di negara-negara seperti Austria, Belgium, Kanada, Belanda, Jerman, Britain, Amerika Syarikat dan Jepun. Pada 17-18 Januari 2019, dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 45,000 orang pelajar keluar dari sekolah untuk beraksi di negara Switzerland dan Jerman, demi memprotes terhadap dasar-dasar yang tidak mencukupi untuk menangani masalah pemanasan global.

greta.jpeg
Greta Thenberg “ponteng sekolah” dan berprotes di depan bangunan Parlimen Sweden setiap hari Jumaat

Pada bulan Februari 2019, seramai 350 orang saintis di Belanda menandatangani satu surat terbuka yang menyatakan sokongan terhadap pelajar yang bermogok di negara itu. Surat terbuka tersebut berbunyi, “Berasaskan fakta-fakta yang dibekalkan oleh sains iklim, mereka yang berkempen ini adalah betul. Itulah sebabnya kenapa kami sebagai saintis menyokong mereka.” Pada 5 Mac 2019, 700 orang penyelidik di Jerman menantangani satu petisyen untuk menyatakan sokongan terhadap mogok pelajar di negara itu. Gerakan mogok pelajar di Eropah berjaya memaksa Kesatuan Eropah untuk mengumumkan tentang hasrat membelanjakan berates billion euro yang bersamaan dengan satu perempat daripada belanjawan Kesatuan Eropah untuk menangani masalah perubahan iklim.

Walau bagaimanapun, momentum mobilisasi anak muda semakin hebat di seluruh dunia untuk mengetengahkan isu perubahan iklim yang membawa impak besar kepada generasi akan datang ini.

Dalam satu surat terbuka yang ditandangani oleh 150 orang pelajar daripada kumpulan penyelaras global untuk mogok iklim, anak-anak muda ini menyatakan bahawa,

“Kami, anak muda, amat bimbang tentang masa depan kami. Manusia sedang menyebabkan kepupusan spesies secara besar-besaran yang keenam dan sistem iklim global sedang berada di ambang krisis bencana hebat. Kesannya yang dahsyat sudahpun dirasai oleh jutaan rakyat di seluruh dunia. Namun kita masih jauh daripada mencapai sasaran Perjanjian Paris. 

Anak muda membentuk lebih daripada separuh populasi dunia. Generasi kami membesar dengan krisis iklim dan kami terpaksa berdepan dengannya untuk sepanjang hayat kami. Walaupun begitu, kebanyakan daripapda kami tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan di peringkat tempatan dan global. Kami adalah masa depan manusia yang tanpa suara.  

Kami tidak akan lagi menerima ketidakadilan ini. Kami menuntut keadilan untuk semua mangsa krisis iklim dahulu, sekarang dan masa depan, maka kami sedang bangkit. Ribuan daripada kami sudah turun ke jalanan minggu-minggu yang lalu di seluruh dunia. Sekarang kami akan membolehkan suara kami didengari. Pada 15 Mac, kami akan berprotes di setiap benua.  

Kita akhirnya perlu mengakui bahawa krisis iklim adalah satu krisis. Ia adalah ancaman terbesar dalam sejarah manusia dan kita tidak akan menerima kegagalan bertindak oleh pembuat dasar yang mengancam seluruh tamadun kita. Kita tidak akan menerima kehidupan dalam ketakutan dan kehancuran. Kita ada hak untuk menjalani hidup kita dengan impian dan harapan. Perubahan iklim sedang berlaku. Orang telah mati, sedang mati dan akan mati kerananya, tetapi kita boleh dan akan menghentikan kegilaan ini.   

Kami, anak muda, sudah mula untuk bergerak. Kami akan mengubah nasib manusia, sama ada anda suka atau tidak. Dengan bersatu kami akan bangkit sehingga kami melihat keadilan iklim. Kami menuntut pada pembuat dasar dunia untuk mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan krisis ini.  

Anda telah menghampakan kami sebelum ini, Jika anda terus menghampakan kami pada masa depan, kami, anak muda, akan membuat perubahan itu berlaku dengan diri kami sendiri. Anak muda dunia ini sudah bermula untuk bergerak dan kami tidak akan berehat lagi.”

 

FFF-Saarbrücken_Titel-720x474.png

Dalam satu laporan oleh Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada tahun 2018, saintis-saintis iklim yang utama di dunia telah memberi amaran bahawa dunia kita hanya tinggalnya tempoh masa 12 tahun untuk mengelak daripada kesan-kesan terburuk akibat bencana iklim yang tidak terkawal seperti kemarau, banjir, kepanasan melampau, sehingga kekurangan makanan, sejumlah besar orang menjadi pelarian iklim dan kemiskinan untuk ratusan juta orang.

Perjanjian Iklim Paris 2015 telah menetapkan sasaran untuk “penahanan peningkatan suhu purata global rata-rata jauh di bawah 2°C melebihi tahap-tahap pra-industri serta mencari usaha-usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 °C melebihi tahap pra-industri”.

Kajian IPCC mendapati bahawa mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 °C melebihi tahap pra-industri akan membawa perbezaan yang ketara kepada alam sekitar global dan mengelakkan dunia kita daripada mengalami bencana iklim yang tidak terkawal, antaranya:

  • Sehingga tahun 2100, paras laut dunia akan 10cm lebih rendah dengan pemanasan global 1.5 °C berbanding dengan 2 °C.
  • Gelombang haba yang ekstrim akan dialami oleh 14% penduduk dunia pada kadar sekurang-kurangnya setipa 5 tahun jika peningkatan suhu pada 1.5 °C, tetapi angka ini akan meningkat kepada satu pertiga penduduk dunia sekiranya suhu naik sebanyak 2 °C.
  • Ais laut di Artik berkemungkinan akan kekal semasa musim panas jika pemanasan global dikekalkan pada 1.5 °C, tetapi jika 2 °C, kemungkinan untuk ais laut hilang pada musim pada adalah 10 kali ganda, menyebabkan kehidupan di Artik (seperti beruang polar, ikan paus, anjing laut dan burung laut) kehilangan lebih banyak habitat mereka.
  • Jika pemanasan global dikekalkan pada 1.5 °C, terumbu karang masih akan berkurangan sebanyak 70-90%, tetapi jika suhu naik sebanyak 2 °C, hampir semua terumbu karang di dunia akan pupus.

Perubahan iklim sudahpun mendatangkan kesan kepada kehidupan kita dan semakin buruk impaknya. Di Malaysia, kita semakin hari semakin menghadapi kepanasan yang lampau dan banjir yang teruk. Cuaca yang luar biasa sudah menjadi sesuatu yang biasa kita hadapi setiap tahun. Perubahan iklim yang melampau mengancam akses kita kepada bekalan air yang bersih dan juga kemampanan aktiviti pertanian untuk menghasilkan makanan. Golongan wanita, orang asli/asal dan juga rakyat miskin akan menerima impak yang paling teruk akibat daripada bencana iklim.

Namun, masih adanya banyak kerajaan membiarkan urusan ekonomi kapitalis berjalan secara biasa, malah ada yang menganggap bahawa mekanisme pasaran kapitalis dapat membantu menyelesaikan krisis iklim. Ini adalah khayalan yang akan memburukkan krisis. Kapitalisme bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan krisis iklim, malah ia merupakan punca utama krisis iklim yang semakin teruk. Pemaksimuman keuntungan korporat dalam sistem kapitalisme menjadikannya bercanggah dengan kemampanan masyarakat dan ekologi.

Untuk mengehadkan pelepasan karbon yang menyebabkan pemanasan bumi, kita perlukan perubahan sistem secara dasar. Dunia kita mempunyai kekayaan masyarakat yang mencukupi untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi yang bersesuaian untuk pembangunan lestari. Namun, kekayaan dunia hari ini semakin tertumpu dalam tangan golongan mahakaya akibat daripada sistem kapitalis yang digerakkan oleh logik pengumpulan modal yang tiada has. Hanya dengan melepasi logic kapitalis, dan kerajaan bersedia untuk melaburkan dana awam demi memperbaiki jaminan kesejahteraan rakyat bukannya jaminan keuntungan korporat, barulah kita dapat membangunkan alternatif yang mampu menangani krisis iklim sedunia dan mengelakkan masyarakat kita daripada bencana alam yang dahsyat.

imagen.aspx.jpg

Peta aksi protes anak muda untuk iklim pada 15 Mac 2019 di seluruh dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *