international-womens-day-march-8-mar-1975-melbourne.jpg

Perjuangan pembebasan wanita bukannya perjuangan anti-lelaki, tetapi perjuangan untuk melawan sistem patriarki dan fahaman seksisme yang wujud dalam masyarakat kelas yang menindas rakyat termasuk golongan wanita.

Perjuangan menentang patriarki adalah perlawanan terhadap pembahagian kerja yang menetapkan kaum lelaki sebagai yang berkuasa di sfera awam manakala kaum wanita hanya menjadi pekerja tanpa upah di dalam rumah, dan memikul segala beban kehidupan keluarga, serta berkedudukan lebih rendah daripada kaum lelaki dalam masyarakat.

Sistem patriarki telah mengkondisikan masyarakat kita dengan ideologi yang menganggap wanita itu satu objek yang terletak di bawah dominasi lelaki. Wanita telah dijadikan “harta benda” yang dimiliki dan boleh dipindahmilik oleh kaum lelaki. Dalam masyarakat kapitalis, seperti buruh dan perkara lain, wanita juga telah menjadi komoditi yang boleh dijualbeli. Tubuh wanita dijadikan komoditi, diiklankan dalam pasaran untuk keuntungan korporat dan sebagainya. Sistem patriarki diperkukuhkan secara superstruktur oleh fahaman seksisme yang mendiskriminasi seseorang berasaskan gender.

Di dalam masyarakat kelas yang didominasi dengan fahaman patriaki, perkahwinan itu merupakan institusi sistem patriaki yang menjadikan wanita itu objek/harta milik lelaki. Surat pernikahan bagaikan kontrak jual beli seseorang wanita itu.

Feminisme lahir daripada perjuangan wanita untuk membebaskan diri daripada sebarang bentuk penindasan dan menuntut hak yang samarata bagi wanita. Feminisme itu bukannya fahaman yang benci pada lelaki tetapi satu pemikiran perlawanan yang mensasarkan sistem patriarki dan menuntut hak yang samarata tanpa mengira perbezaan gender.

Patriarki merupakan asas kepada ketidakadilan dan diskriminasi gender dalam masyarakat kita. Perjuangan menentang patriarki dalam sistem kapitalis tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan menentang sistem kapitalis. Perjuangan pembebasan wanita tanpa perspektif kelas hanya merupakan perjuangan yang tidak akan mengubah nasib wanita daripada kelas yang tertindas; manakala perjuangan kelas tanpa dimensi gender atau pembebasan wanita hanya merupakan satu gerakan yang didominasi oleh golongan lelaki yang masih berpegang pada fahaman patriarki untuk mengekalkan status quo hubungan gender.

Pembebasan wanita itu bukan untuk wanita sahaja, tetapi lelaki yang juga merupakan mangsa dalam sistem patriarki turut akan dibebaskan. Di bawah sistem patriarki, lelaki dipaksa untuk menunjukkan “kelelakian” dari segi kekuatan fizikal, kebendaan, kewangan dan kekuasaan. Oleh itu, pembebasan wanita adalah perjuangan yang tidak terhad kepada wanita, tetapi memerlukan penglibatan golongan lelaki juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *