53588339_2043839582320173_2446564692089372672_n.jpgMELAKA – 6 MAC 2019: Mahkamah Tinggi Melaka telah memutus pada hari ini bahawa 12 orang pekerja kawalan keselamatan yang berkhidmat di sekolah-sekolah di Melaka harus dibayar pampasan oleh majikan lama mereka, kerana gaji tidak dibayar mengikut pengiraan yang sepatutnya. Majikan lama pekerja-pekerja ini, syarikat Aura Security, diarahkan oleh Hakim Dato Azman untuk membayar pampasan sebanyak RM3,000-4,000 kepada setiap orang pekerja.

12 orang pekerja kawalan keselamatan di sekolah kerajaan yang diupah oleh syarikat Aura Security sebelum ini, telah memfailkan tuntutan terhadap majikan lama mereka ini kerana tidak dibayar mengikut kadar gaji minimum dan potongan gaji yang tidak munasabah. Pekerja-pekerja ini diupah oleh Aura Security sehingga bulan Disember 2017. Dari bulan Julai hingga Disember 2016, apabila Perintah Gaji Minimum RM1,000 mula berkuatkuasa, pekerja-pekerja yang diupah oleh syarikat Aura Security tidak dibayar mengikut kadar gaji minimum yang ditetapkan. Pada bulan Januari hingga Disember 2017, gaji pekerja dipotong sejam setiap hari dengan alasan rehat makan tengahari.

12 orang pekerja yang terlibat telah memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja, dengan jumlah tuntutan semua pekerja sebanyak RM42,000. Mahkamah Buruh telah mendengar kes ini pada 17 Ogos 2018 dan memutuskan pada bulan 28 September 2018 bahawa majikan lama perlu membayar pampasan seperti yang dituntut oleh pekerja. Namun, pihak majikan telah mencabar keputusan ini dan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Melaka. Selepas 5 bulan, pekerja sekali lagi mendapat keadilan apabila keputusan mahkamah berpihak kepada pekerja.

Pekerja-pekerja berkenaan telah diwakili oleh peguam Y. Kohila.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *