Tokoh-tokoh politik kiri pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, seperti Karl Marx, Friedrich Engels, Clara Zetkin, Rosa Luxemburg, V.I. Lenin, Alexandra Kollontai dan Leon Trotsky, telah memperkembangkan kerangka teori yang menghubungkaitkan perjuangan pembebasan wanita dengan perjuangan untuk membina sosialisme.
Marx dan Engels menjejak punca penindasan ke atas wanita yang wujud pada peranan wanita dalam keluarga nukleus di bawah masyarakat kelas. Peranan wanita sebagai “pembiak” secara biologi membawa kepada status bawahan mereka dalam keluarga nukleus, dan oleh yang demikian dalam seluruh masyarakat kelas. Engels berpendapat bahawa subordinasi terhadap wanita bukannya hasil daripada pembawaan biologinya tetapi adalah disebabkan hubungan sosial. Usaha kelas pemerintah yang didominasi kaum lelaki bagi mencapai keinginan mereka untuk menguasai buruh wanita dan bahagian tubuh seksual wanita telah diinsitusikan dalam keluarga nuklues. Di bawah masyarakat kapitalis, wanita dalam keluarga yang memiliki harta melahirkan pewaris harta, sementara wanita dalam keluarga kelas pekerja melahirkan generasi tenaga kerja untuk sistem kapitalis.
Kelas kapitalis menjadi bergantung pada cara “pengeluaran semula yang diswastakan” dalam keluarga kelas pekerja, kerana ini dapat mengurangkan tanggungjawab kewangannya untuk pengeluaran semula tenaga kerja, yang sebenarnya dibekalkan sebahagian besarnya oleh buruh domestik yang dilakukan terutamanya oleh wanita. Oleh itu, prasyarat untuk pembebasan wanita daripada penindasan secara gender adalah penghapusan buruh tidak berbayar dalam keluarga, dan ini hanya dapat dilakukan melalui transformasi sosialis dalam masyarakat. Ini tidak akan dicapai secara beransur-ansur tetapi hanya melalui proses revolusi, dalam pertempuran penentuan antara kelas.
Golongan wanita telah memainkan peranan yang penting dalam perjuangan kelas khususnya selepas dunia melangkah masuk ke dalam sistem kapitalis. Clara Zetkin dan Alexandra Kollontai, telah menegaskan bahawa pembebasan wanita perlu menjadi sebahagian daripada perjuangan kelas yang lebih luas.
Golongan sosialis menekankan pada kepentingan peranan agensi revolusioner kelas pekerja dalam memimpin perjuangan transformasi menuju ke masyarakat sosialis. Pembebasan kelas pekerja perlu dilakukan oleh kelas pekerja itu sendiri, adalah prinsip asas strategi revolusioner kiri. Namun, strategi revolusi yang berasaskan kelas ini tidak meremehkan kepentingan perjuangan menentang penindasan terhadap wanita.
Leon Trotsky, seorang tokoh revolusioner di Rusia, pernah mengatakan bahawa, “demi mengubah keadaan hidup, kita mesti belajar melihatnya daripada mata wanita.”
Sosialis yang revolusioner mengiktiraf agensi revolusioner seluruh kelas pekerja (lelaki dan wanita), dan menganggap wanita kelas pekerja sebagai komponen penting dalam mencapai potensi revolusioner kelas pekerja itu sendiri.
Sejak akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, golongan Sosialis menumpukan fokus pada nasib wanita kelas pekerja dan cuba berusaha dalam mengorganisasi gerakan wanita kelas pekerja. Golongan kiri di Eropah pada masa itu, dari Jerman ke Rusia, selalunya berada di barisan hadapan perjuangan untuk pembebasan wanita, sementara memajukan teori Marxis tentang apa yang digelar sebagai “Persoalan Wanita” pada masa itu.
Jurang perbezaan pandangan persoalan pembebasan wanita antara sosialis revolusioner dengan golongan “feminis borjuasi”, bukan disebabkan perbezaan taktik atau strategi yang kecil, tetapi perbezaan dalam prinsip politik yang penting. Misalnya di Rusia pada zaman pemerintahan Tsar, wanita daripada kelas pemerintah menyokong sepenuhnya usaha kerajaan melibatkan diri dalam perang imperialis, demi mendapatkan hak mengundi sebagai balasannya. Tindakan sebegitu ditentang oleh wanita kelas pekerja.
Sosialis yang revolusioner menyokong kuat semua tuntutan demokratik untuk kesamarataan hak wanita. Gerakan ini berbeza dengan feminis borjuasi yang bukan sahaja dalam konteks pragmatik ia membawa “tuntutan demokratik”, tetapi juga pilihannya untuk tuntutan segera yang perlu ditekankan. Gerakan wanita pekerja adalah satu gerakan kelas, di mana pembebasan wanita berlaku serentak dengan pembebasan kelas pekerja.
Selagi wanita kelas pekerja masih ditindas, kelas pekerja tidak lagi mencapai pembebasan dirinya. Selagi kelas pekerja masih ditindas, wanita kelas pekerja juga tidak akan bebas lagi.