oleh S. Arutchelvan

Jentera Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk PRK N24 Semenyih ingin merakamkan kekecewaan kami kerana debat yang sepatutnya dianjurkan oleh BERSIH 2.0 telah dibatalkan dengan alasan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu hadir ke debat tersebut.

Kami difahamkan oleh pihak BERSIH 2.0 bahawa mereka telah berusaha untuk mengadakan debat ini, namun keengganan pihak BN dan PH memaksa BERSIH 2.0 untuk membatalkan debat yang sepatutnya berlangsung pada 25 Februari 2019. Mengapa perlu membatalkan debat hanya kerana calon BN dan PH enggan menyertainya sedangkan calon PSM dan calon bebas bersedia untuk berdebat? Tindakan pembatalan ini seakan-akan menunjukkan bahawa parti yang besar dan berkuasa sentiasa mempengaruhi keputusan sama ada debat akan diadakan atau tidak.

Dari segi semangat asalnya, debat ini diadakan untuk memberikan peluang yang sama kepada semua pihak untuk mengemukakan idea masing-masing dan membolehkan rakyat menilai prestasi setiap calon secara dekat dan secara adil. Biasanya parti yang lebih besar mempunyai kelebihan kerana mereka mempunyai sumber dan dana kewangan yang lebih besar. Melalui debat ini, ia memberikan sedikit keadilan kepada parti kecil dan calon bebas untuk mengutarakan pandangan mereka kepada satu kumpulan sasaran yang besar.

BERSIH 2.0 sepatutnya memberikan peluang untuk pihak-pihak yang berani berdebat ini untuk terus meneruskan debat dan mengutarakan idea mereka. Dengan membatalkan debat ini, ia hanyalah satu kemenangan sekali lagi kepada pihak-pihak yang enggan hadir. Pilihanraya ini bukan PH dan BN sahaja yang bertanding tetapi pihak alternatif pun harus diberikan peluang untuk berdebat. Mungkin ini akan memberikan satu pengajaran kepada calon BN dan PH.

Kami dari PSM melihat sebarang platform untuk debat adalah sesuatu yang penting kerana ini adalah ruang untuk pengundi Semenyih mengenali calon yang akan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri nanti.

Keenganan calon PH dan BN untuk berdebat menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia untuk membawa suara rakyat Semenyih ke dalam DUN Selangor. Persoalanya, jika mereka tidak menunjukkan kepimpinan sebelum pilihanraya, apakah mereka mampu memberikan kepimpinan sekiranya mereka menang nanti?

PSM juga kecewa dengan kepimpinan Pakatan Harapan yang tidak berjaya  menyakinkan calon mereka untuk menyahut cabaran. Dengan tindakan PH enggan berdebat, PH tidak lagi mempunyai sebarang legitimasi untuk mengutuk atau mempersendakan mana-mana pihak lawan yang tidak mahu berdebat dengan mereka dalam mana-mana isu pada masa depan.

==========

Ini ialah kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jentera Kempen PSM untuk PRK Semenyih pada 22 Februari 2019.

S. Arutchelvan ialah Pengarah Kempen PSM PRK N24 Semenyih. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

One thought on “PSM kecewa dengan pembatalan debat calon

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *